Wabak merangkak masuk ke Kota Ace dengan senyap, namun mematikan. Seorang demi seorang tumbang, dan para tabib hanya mampu menyusun mayat. Dunia mula percaya bahawa dewa telah berpaling muka kerana tiada ramuan yang berkesan dan tiada tabib yang mampu bertahan.
"Jika keadaan ini berterusan lagi untuk beberapa purnama, tak mustahil Kota Ace akan jadi kota yang mati..." - Delaila.
Sehinggalah mereka sedar bahawa penawar sebenar bukanlah herba... tetapi Delaila sendiri. Seorang Duchess. Seorang pejuang. Dan kini, kunci kepada kelangsungan hidup seluruh kota.
"Dewa bukan manusia, Delaila... mereka tidak melihat pada keturunan, tapi pada hati." - Artha.
Ace akhirnya kembali bernafas. Beban wabak yang membelenggu rakyat, seperti kembali diangkat dengan adanya mukjizat daripada seorang wanita yang mereka gelarkan 'dewi kehidupan'.
Namun, dalam fasa Ace mulai bangkit semula untuk hidup, ada kegelapan yang masih mengintai mereka. Seseorang yang tidak menginginkan tanah itu sejahtera, sebagaimana dirinya yang terbuang di tanah Zakharan yang langitnya sentiasa murka.
Arzac Zarke, bekas Panglima Perang Ace yang jatuh kerana dendam, kini kembali dengan wabak sebagai senjatanya. Dia tidak mahu sekadar menghancurkan kota, dia mahu menundukkan Delaila!
"Sedikit masa sahaja lagi, aku dan kalian... kita akan melangkah semula ke Kota Ace! Sebagai kuasa baru! Mereka pula akan tunduk walaupun ketakutan yang memijak tengkuk-tengkuk mereka supaya sujud pada aku." - Arzac.
Cahaya kecil yang baru menyala di tengah kegelapan Ace, bagaikan terpadam semula ketika wabak menyerang lagi dengan lebih hebat. Delaila kelelahan dan mulai merasa usahanya sia-sia, seperti sedang mencurahkan air ke pasir.
"Selagi kota ini hidup, aku tetap di sini! Darahku dalam setiap runtuhan batu, dalam setiap jeritan pesakit yang nazak!" - Arzac.
Apakah Delaila mampu bertahan atau Kota Ace akan menjadi pusara terakhirnya?