Hidupku tidak pernah mudah. Aku masih kecil ketika segalanya mula hancur- ibu pergi meninggalkan aku pada usia 10 tahun. Belum sempat aku sembuh, tahun berikutnya ayah pula menyusul. Sejak itu, aku terpaksa berpindah, menyesuaikan diri dengan suasana baru, rakan baru, sekolah baru... semuanya terasa asing.
Aku membesar dengan luka yang tiada siapa nampak, kecuali diriku sendiri. Setiap malam aku berdoa, berharap ada sesuatu yang mampu membuatkan hidupku terasa kurang sepi.
Namun hidup terus menguji.
Aku berpindah lagi, membawa hati yang masih retak. Aku fikir, mungkin aku hanya perlu bertahan, sekadar menjadi pelajar biasa yang cuba melupakan kisah silamnya.
Tapi takdir selalu datang dengan cara yang tidak kita sangka.
Pada satu jamuan hari raya di sekolah, ketika aku duduk sendirian di hujung meja... dia hadir. Seorang lelaki tinggi, kurus, dengan senyuman manis dan sikap ceria yang membuatkan aku percaya, mungkin aku tidak lagi keseorangan. Dan tanpa aku sedar, hatiku kembali berdegup.
Aku menyukainya sejak hari itu.
Tapi aku masih terikat dengan hubungan lain. Aku simpan perasaan itu jauh di dasar hati, kerana aku tahu bukan masanya. Namun takdir tidak pernah silap. Ketika aku akhirnya melepaskan hubungan lama, dia tetap ada. Dia yang menemani, dia yang menghiburkan, dia yang membuat aku percaya... luka ini boleh sembuh.
Ini bukan sekadar kisah cinta.
Ini kisah tentang kehilangan yang mendidik, tentang berpindah demi mencari ruang untuk bertahan, tentang hati yang hancur namun perlahan-lahan kembali pulih... kerana kehadirannya.
Dia bukan sekadar seseorang.
Dia adalah selepas segalanya.