Bagi sesetengah orang, cinta itu bahagia.
Tapi bagi Muhammad Ariff Luqman, anggota Unit Khas Elit Negara, cinta itu perjuangan - sama getirnya dengan medan operasi yang tak pernah menjanjikan pulang.
Dulu, dia bukan siapa-siapa. Hanya lelaki biasa yang berjuang dari bawah, bermandi peluh untuk capai impian. Di waktu itu, hanya satu nama yang selalu berdiri di belakangnya - Nadia, gadis sederhana yang dibesarkan oleh seorang ibu tunggal, hidup dalam serba kekurangan tapi kaya dengan kesetiaan.
Nadia tak pernah minta lebih. Cukup bila Ariff ada - walau cuma suara di hujung talian selepas latihan, atau mesej pendek sebelum misi. Dia percaya, lelaki yang kuat melindungi negara juga tahu melindungi cinta.
Bila akhirnya Ariff Luqman berjaya - berpangkat, dihormati, berharta - dunia seolah-olah berubah. Ramai yang mendekati. Tapi bukan Nadia yang mencari tempat dalam hidup Ariff, dia malah menjauh. Takut digelar perempuan menumpang nama dan harta. Namun Ariff tetap teguh.
" saya takkan ganti awak dengan sesiapa. awak ada waktu saya tak punya apa-apa. Jadi biar dunia tahu, awak tetap satu-satunya."
Bila mereka akhirnya disatukan, ujian tak berhenti di situ. Keluarga belah ayah Nadia mula memandang hina, menuduh Nadia perempuan gila harta, malah menabur fitnah bila dia belum dikurniakan zuriat. Tapi Ariff Luqman bukan lelaki yang tunduk pada mulut manusia - dia lelaki yang menegakkan maruah isterinya di hadapan semua.