Series Masa : Cinta Sekali Lagi
"Sayang tahu tak kalau sayang tinggalkan abang one day, abang boleh jadi gila sebab sayang satu-satunya nyawa abang." - Rykal Izzameer
Rykal Izzameer, pewaris tunggal keluarga bangsawan, sanggup meninggalkan segala kemewahan demi cinta tulusnya pada gadis biasa, Izzara Maisara. Cinta mereka bagaikan kisah epik Edward VIII dan Wallis Simpson - berani menentang arus demi bahagia bersama.
Namun, tujuh tahun perkahwinan tanpa restu menjadi titik mula sebuah penderitaan yang perlahan-lahan merobek jiwa Izzara. Cinta yang dulunya membara kini berubah menjadi luka yang menganga apabila dia mendapati Rykal bukan hanya tidak setia, tetapi telah menyembunyikan seorang isteri kedua - yang juga merupakan sahabat baiknya sendiri, Marisa - dan seorang anak berusia hampir lima tahun.
Terhumban dalam kekecewaan, Izzara hanya mampu menyesali satu perkara: kerana terlalu percaya bahawa cinta semata cukup untuk menjamin bahagia.
"Andai saya boleh undur balik masa lalu, saya akan pastikan awak bukan masa hadapan saya." - Izzara Maisara
Namun takdir memberinya satu peluang luar biasa - dia kembali ke masa lalu, ke hari pertama pertemuan mereka di universiti. Dengan memori masa hadapan masih jelas dalam ingatan, adakah Izzara akan memilih jalan yang sama, atau kali ini dia akan mencipta takdirnya sendiri?