Dahulu namanya gah. Dia dijulang sebagai wira negara di persada dunia dalam sukan berkuda. Namun, sebuah tragedi telah berlaku dalam sekelip mata dan meragut segala-galanya sehingga dia jatuh terduduk.
Kini, Delima Arwaa hanyalah seorang pekerja kandang kuda bawahan yang dipandang sebal. Kehidupannya berubah 180 darjah. Daripada seseorang yang menggalas tanggungjawab yang besar kepada sekadar mengangkat guni makanan kuda yang berat.
Bagi Syed Aiman Elias, kelab equestrian miliknya adalah lambang kesempurnaan. Statusnya dijaga rapi agar dipandang tinggi oleh semua orang. Kehadiran Delima yang serba kekurangan itu hanya menyakitkan pandangan matanya. Dia malu apabila dikatakan masih lagi menyimpan bekas atlet yang sudah tidak sempurna seperti Delima.
Setiap hari adalah cacian. Setiap waktu adalah hinaan untuk menguji maruah seorang bekas juara. Bagi Elias, diri Delima layak berada di bawah telapak kakinya. Siapa gadis itu jika hendak dibandingkan dengan pemilik kelab berkuda yang berprestij ini?
Jauh bagaikan langit dan bumi.
"Kalau aku potong gaji kau separuh pun tak jadi masalah, kan? Yalah, tangan pun sebelah je." - Syed Aiman Elias.
"Hina sangat ke jadi kudung, tuan?" - Delima Arwaa.
Elias mahu Delima melutut kalah, tetapi jiwa bekas atlet wanita itu terlalu kental untuk menyerah. Cacian dan hinaan yang dilontar tidak dia simpan dalam hati. Dibuang sejauh mungkin ke dasar laut yang paling dalam. Biar Elias tahu bahawa diri seorang Delima Arwaa bukanlah lemah seperti yang dia fikir.
Dan tanpa Elias sedari, daripada rasa benci yang meluap-luap, dia mulai jatuh taksub pada keunikan satu sayap kiri itu. Akhirnya, dia mengambil keputusan gila dengan menjerat Delima masuk ke dalam perangkapnya.
"Tuan cuba jilat ludah sendiri ke?" - Delima Arwaa.
Hak cipta terpelihara
© Iamadios
Start: 3 Jun 2026
End:
All Rights Reserved