Sejak kecil, Yeen Innara dan Kaysa Danyyah bukan sekadar sepupu, malah mereka merupakan sahabat baik yang sentiasa ada antara satu sama lain. Membesar dalam keluarga besar dengan ramai adik-beradik dan sepupu, mereka sudah terbiasa berkongsi cerita, masalah, gelak tawa dan segala suka duka kehidupan.
Apabila meningkat dewasa, Yeen dan Kaysa mula mengejar impian masing-masing. Yeen memilih bidang perubatan di Universiti Malaya, manakala Kaysa melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Walaupun belajar di universiti yang berbeza, mereka tetap memilih untuk tinggal bersama di sebuah rumah sewa.
Dalam kehidupan mereka, ada dua nama yang sudah lama wujud.
Arif Rafiq, seorang pelajar seni bina yang perlahan-lahan menjadi semakin dekat dengan Yeen.
Dan Aylan Zayden, seorang lelaki yang telah dikenali Kaysa sejak zaman SPM. Bermula sebagai dua orang pelajar yang saling mengenali, hubungan mereka semakin rapat sehingga menjadi sahabat baik. Walaupun masing-masing sudah melanjutkan pengajian ke universiti yang berbeza, persahabatan mereka tetap kekal.
Namun, kehidupan selepas dewasa tidak semudah yang mereka sangkakan.Daripada mengejar cita-cita, membina kerjaya, mengenali pasangan hidup sehinggalah membina keluarga sendiri, mereka bakal melalui pelbagai fasa kehidupan yang penuh dengan gelak tawa, salah faham, cabaran dan kenangan.
Apabila masa berlalu dan keluarga mereka semakin besar dengan kehadiran anak-anak, Yeen dan Kaysa mula menyedari bahawa kehidupan bukan hanya tentang siapa yang datang dan pergi, tetapi tentang siapa yang tetap berada di sisi ketika segala-galanya berubah.
Ini adalah kisah tentang keluarga, persahabatan, cinta dan kehidupan yang berkembang bersama masa.
Kerana ada sesetengah hubungan yang bermula sejak kecil...
dan tetap kekal menjadi rumah, walaupun masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri.
Alle Rechte vorbehalten