Hytlmnwrh_
Semua orang ada kisah.
Ada yang tertulis terang, ada juga yang tersimpan rapi di sebalik nama.
Nurul Munawirah - seorang pelajar jurusan Psikologi yang kelihatan tabah, bijak dan penuh prinsip. Namun di sebalik senyumannya, dia menyimpan kisah kehilangan, kecewa, dan luka yang belum benar-benar sembuh. Hidupnya berjalan mengikut aturan, sehingga satu hari, takdir mempertemukannya kembali dengan nama yang pernah dia kenal dan pernah dia lupakan iaitu Muhammad Nur Hafiz Ridhwan.
Hafiz, lelaki yang membawa tenang dalam tutur katanya, namun menyembunyikan beban hidup yang berat di bahunya. Perwatakan yang sederhana dan lembut itu perlahan-lahan mengisi ruang kosong dalam hidup Mun. Bukan dengan janji manis, tetapi dengan tindakan yang cukup tulus untuk menggegar hati sesiapa.
Dari perpustakaan sunyi ke deretan ujian hidup, mereka belajar erti percaya, jatuh dan bangun semula. Tetapi sejauh mana dua hati yang pernah luka mampu bertahan dalam dunia penuh realiti dan tekanan?
Dan bila nama masing-masing mula diberi makna oleh perasaan...
Adakah cinta itu akan terus mekar, atau hanya menjadi satu bab yang ditutup perlahan?
"Di Sebalik Nama" adalah kisah tentang menerima, melepaskan, dan mencintai - bukan kerana sempurna, tetapi kerana kita memilih untuk bertahan... bersama.