Deringan telefon yang nyaring mengalihkan perhatian Adif.
Waktu ini, dia sedang bersiap di hadapan cermin. Penuh senyuman dan semangat yang berkobar-kobar.Sebentar lagi, dia bakal bertunang dengan Yuna, gadis yang sangat dicintainya.
Masuk deringan ketiga, lekas Adif mencapai telefon bimbit itu. Sempat lagi dia mengemaskan rambut yang jatuh di atas dahi.
Belum sempat hendak memberi salam, si pemanggil telah terlebih dahulu mengatur kata.
"Adif, mak cik minta maaf.."
Tidak semena-mena, jantung Adif yang tadinya tenang, terus berdetak kencang.
Liur diteguk perlahan. Suara tangisan itu membuatkan lututnya hampir lembik.
"Kenapa mak cik? Kenapa minta maaf? Kenapa dengan Yuna?" bertalu-talu soalan keluar dari mulutnya. Rasa tidak sedap hati juga turut sama menyusup masuk.
"Yuna.." kata-kata Mak Nab terputus dengan tangisan yang bertali-arus.
"Kenapa dengan Yuna, mak cik?" suara Adif bergetar. Dia sudah tidak keruan. Nafas ditarik sedalam-dalamnya.
"Yuna dah tak ada, Adif.." suara Kak Ngah menyinggah gegendang telinga.
Serentak, raungan Mak Nab menghiasi ruang telefon.
"Allahuakbar!" Adif terus terjelepok jatuh dari birai katilnya.
Menatap lantai dengan rasa tidak percaya.
'Saya sentiasa doakan kebahagiaan awak..'
'Kenapa bukan kebahagiaan kita?'
'Bahagia awak, bahagialah saya..'"Yuna!!!"
.
.
."Adif, tak siap lagi ke?"
Kak Mia menguak pintu bilik selepas salamnya tidak berjawab.Risau juga, mana tahu adiknya tertidur semula.
Malam semalam, boleh tahan lambat mereka tidur. Masing-masing sibuk menyiapkan hantaran. 7 berbalas 7. Simbolik tarikh perkenalan Adif dan Yuna.Sepi. Adif tidak menjawab soalan Mia. Dia masih tertunduk menekur lantai.
Kak Mia menapak ke hadapan. Suasana ini membuatkan nalurinya merasakan sesuatu yang tidak enak.
"Adif okey tak? Kenapa tak keluar dari bilik? Kami semua dah siap dari tadi. Tunggu Adif tak turun-turun."
Suara Kak Mia yang lembut membuatkan hati Adif bertambah meluruh.Adif dengar. Tetapi dia tidak mampu melafaz kata. Lidahnya kelu.
Air mata pula menitik-nitik tumpah tanpa belas, dari tadi lagi. Dia cuba memujuk hati. Cuba menerima kenyataan yang pahit ini dalam sesingkat waktu yang ada.
Dia ingin menjadi insan yang tenang dan reda untuk sebentar lagi.
Namun...
Dadanya jadi semakin panas. Pipinya semakin berbahang. Telinganya mulai memerah.
Sesak benar menahan rasa yang tak mampu dilepaskan."Adif?" Kak Mia yang tadinya berdiri sedikit jauh terus mendekati Adif. Berdepan dengan satu-satunya adik lelaki yang dia ada.
"Adif kenapa ni? Kenapa dengan kau ni? Bagitahu kak Mia, Dif."
Kak Mia menggoncang bahu Adif. Menuntut jawapan yang dari tadi berbalas bahasa bisu.
Wajahnya sudah mula dipenuhi riak kerisauan.
Ditatap pula wajah Adif yang basah dengan airmata dan hidung, membuatkan Kak Mia sudah tidak mampu berfikir yang baik-baik.Seumur hidupnya tidak pernah dia melihat Adif sebegini rupa selepas pemergian ibu. Ya, ibu telah tiada. Dijemput Ilahi dalam lena. Tanpa pesan dan kata-kata terakhir.
Meraung Adif saat memeluk jasad ibu yang sudah sejuk dan kaku."Adif..cakap Adif..cakap dengan Kak Mia. Kenapa dengan Yuna?"
Demi mendengarkan nama Yuna meluncur dari mulut Kak Mia, Adif terus memeluk kakaknya seerat yang mungkin. Air matanya semakin lebat.
Katalah dia lelaki rapuh. Dia sudah tidak hiraukannya. Dia memang terlalu rapuh.
Rapuh dibebani rasa kehilangan yang tidak terganti.Mengapa Tuhan menjemput insan yang disayanginya terlalu awal?
Tidakkah Tuhan punya sedikit belas untuk
dia merasa secebis kebahagiaan?
Mengapa dia tidak dapat memiliki cinta yang sangat dimahukannya?"Mengucap Adif. Ingat Allah. Allah Maha Baik.."
Bagai memahami pergolakan di dalam fikiran Adif, Kak Mia memujuknya persis anak kecil yang hilang dahan berpaut."Yuna dah tak ada Kak Mia..Dia dah tak ada.."
.
.
."Kita gerak pergi ke rumah Yuna sekarang."
Kak Mia memegang kedua-dua belah bahu Adif. Dia sedih. Tipu dia tiada rasa itu. Malahan jiwanya meruntun melihat Adif yang kosong tanpa semangat.
Tetapi dia harus kuat. Dia harus kuat demi adiknya."Adif tak kuat Kak Mia," lemah longlai balasan Adif. Dia tidak mampu melihat jasad Yuna yang sudah tidak lagi bernyawa.
Kak Mia bukan tidak faham. Dia cuma mahu Adif rasional pada waktu getir ini.
"Adif..Dengar cakap kakak..Adif kena tengok Yuna buat kali terakhir. Dengan cara tu, Adif lebih kuat untuk pujuk hati terima kenyataan. Ini semua takdir Allah. Kita cuma hambaNya. Kita tak ada daya dan upaya."
"Adif dah hilang orang yang Adif sayang kak. Macam ibu tinggalkan Adif. Sekarang ni Yuna.."
"Kak Mia ada. Adif masih ada kami sekeluarga. Anak-anak buah Adif yang sayangkan Adif. Kami ada dengan Adif. Tiba masa, kita semua akan pergi Adif. Cepat atau lambat je."
"Allahuakbar."
Adif meraup wajahnya. Tiada yang benar selain dari apa yang diperkatakan oleh Kak Mia.Setiap zat yang hidup pasti akan merasakan mati.
"Lama lagi ke Mia? Adif tak siap lagi?" kali ini Abang Im pula menjengulkan wajahnya ke dalam bilik Adif.
Melihat riak wajah isteri dan adik iparnya, dia yang merupakan seorang detektif tahu benar akan sesuatu hal yang tidak terduga telah berlaku.
Namun hatinya tertanam kegusaran.
Rahsia yang tersimpan membuatkan dia jadi lebih serba salah.Dia tidak pernah menasihatkan apa-apa kepada Adif soal hubungan cintanya. Apatah lagi menyampaikan pengetahuan yang ada kepada si isteri. Tetapi dia mahu benar mengatakan bahawa Yuna bukanlah wanita baik yang Adif sangkakan.
Yuna hanya mempergunakan Adif demi kepentingan dirinya!
"Yuna dah tak ada abang."
Lemah suara Mia memberitahu tentang bakal tunangan adik iparnya.Imran membatu.
Berita itu membuatkan rasa tenang dan kusut bercampur-baur di dalam hatinya.'Percaturan apa yang sedang Kau tunjukkan, ya Allah.'
YOU ARE READING
PCDR oleh DALILA ZAMRI
Non-FictionAdif hanyalah insan biasa yang dambakan cinta dan kasih sayang tulus ikhlas di dalam hidupnya. Namun, dia diuji oleh kehilangan abadi saat cinta dan sayangnya memuncak. Pemergian ibu tanpa pesan membuatkan jiwa Adif rapuh dan sunyi. Kehadiran Yuna y...