Lelaki Yang Dipanggil Ayah

7 0 0
                                    

💙💙💙

Langit itu aku tatap tidak puas. Warna biru milik langit itu membuatkan aku teringat ayah dan umi aku juga amat menyukai warna itu. Warna yang tenang dan damai. Ayah dan umi banyak berkongsi benda yang sama. Antaranya warna kegemaran.

Teringat dulu, zaman telefon Nokia tengah naik. Ayah beli telefon Nokia yang aku sendiri tak ingat Nokia apa tapi warna biru. Mudah untuk ayah berurusan dengan rakan sekerja.

Beberapa minggu lepas tu, ayah beli telefon dari jenama dan jenis yang sama untuk umi warna merah. Umi suka tapi terima dengan wajah yang cemberut. Kata umi, warna merah tak sesuai untuk wanita berusia. Lagipun umi suka warna biru. Tanpa rasa ingin berdebat atau memarahi umi, ayah beri cadangan untuk bertukar telefon dengan umi. Biar ayah pakai warna merah, umi pakai warna biru. Masa tu, aku dapat lihat, senyuman terukir di wajah umi.

Umi selalu cerita yang ayah selalu beralah bila dengan umi. Waktu muda-muda dulu, tak pernah sekalipun ayah marah umi. Ayah terlalu kasihkan umi. Terlalu sayangkan umi. Cuma, bila usia semakin lanjut serta kehidupan yang semakin mencabar, ayah dan umi bergaduh. Aku menjadi saksinya. Aku duduk di bawah meja dan bermain seorang diri sambil mendengar pertengkaran ayah dan umi. Itu kali pertama dan kali terakhir aku menyaksikan ayah dan umi bergaduh.

Ayah seorang yang tegas. Aku akui itu. Tapi tidak dinafikan ayah mempunyai sifat sabar yang tinggi. Sifat yang aku sendiri tidak mampu kalahkan walaupun umi selalu berkata aku mewarisi kesabaran ayah. Ayah tidak akan marah atau membentak apabila aku atau adik-beradik aku yang lain buat silap. Tapi ayah akan bertegas. Ayah akan beritahu kenapa ini salah dan sebagainya. Ya, seperti ayah-ayah yang lain, ayah aku juga menggunakan rotan untuk mendisiplinkan anak-anak.

Ayah pernah menyuruh aku dengan abang aku tidur di pondok luar atas kesalahan yang kami berdua lakukan. Aku rasa marah dan sakit hati. Beberapa minit lepas tu, umi keluar dan mengajak kami masuk. Aku menjeling ayah yang sedang membuat kerja di bilik kerjanya. Rasa sakit hati itu membuatkan aku membentak dalam hati. Kemudian baru aku tahu, ayah yang menyuruh umi memanggil kami masuk semula ke rumah. Ya tuhan, aku bersalah kerana menyimpan rasa sakit hati pada ayah aku sendiri.

Ketegasan ayah itu yang membentuk aku menjadi seorang budak yang baik. Yang tidak membuat apa-apa masalah atau menyusahkan umi aku.

Ayah selalu keluar awal pagi dan balik tengah malam. Aku selalu tunggu tapi kebanyakkan hari, aku akan tertidur di atas sofa dan bangun-bangun saja aku dah ada di atas katil. Biasa la, pagi sekolah agama, petang sekolah kebangsaan. Malam buat kerja sekolah. Apabila jarum jam sudah menunjuk ke angka 10, mata aku sudah berat.

Hanya pada hari minggu saja aku dapat tidur lewat dari biasa. Tapi, pada hari minggu juga, ayah aku keluar bekerja. Waktunya seperti biasa. Aku akan menanti ayah aku pulang walaupun mata aku berat. Sebab hari minggu kan. Tidur awal buat apa.

Sambil itu, aku menyediakan buku lukisan serta pensel warna di atas meja. Aku suka aktiviti tengah malam bersama ayah aku. Seperti melukis. Ayah aku pandai melukis. Aku terkial-kial melukis menggunakan pensel, ayah aku pula dengan bersahaja guna pensel warna terus melakar di atas kertas lukisan.

Boleh dikatakan, kalau aku ada kerja pendidikan seni, kalau bukan umi, ayah aku yang akan membantu. Kelebihan apabila mempunyai ayah dan umi yang pandai melukis. Aku pernah dapat nombor 2 dalam kelas dalam aktiviti mewarna kerana umi aku yang bantu. Aku pernah dapat A+ untuk kerja pendidikan seni kerana ayah aku yang tolong buatkan kerja seni aku.

Aku tidak reti melukis tapi aku suka melukis. Ayah aku banyak mengajar aku. Pernah sekali, ayah balik rumah dengan membawa pensil warna yang banyak. Kata ayah, kawan ayah yang bagi. Sukanya aku ketika itu. Banyak lukisan aku dengan ayah. Kami melukis bersama-sama. Mewarna bersama-sama. Dan ya, aku mendapat A++ dalam pendidikan seni kerana ayah aku. Aku tak sangka aku dapat melukis dengan baik sekali. Semuanya atas ajaran ayah aku.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 24, 2021 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Terbang Tunduk AkuWhere stories live. Discover now