Jawapan 'ya' yang dia terima daripada teman lelakinya menimbulkan kegirangan. Gadis itu terasa bagaikan dunia dia yang punya saat ini. Telefon bimbitnya dia peluk rapat-rapat ke dada sambil dia berpusing-pusing di dalam biliknya itu beberapa kali. Dia lalu baring di atas katilnya dengan sepasang bibir yang tersenyum lebar dan sepasang mata merenung siling.
"Tersenyum-senyum seorang. Kenapa tu? Pakwa ajak jumpa ke apa?" Melur bergurau dengan sepupunya itu sambil melangkah masuk ke bilik yang dikongsi mereka berdua. Dia lalu duduk di hujung katil bersebelahan katil gadis yang disimbah kegembiraan sejak tadi. "Bukan pakwa yang ajak, tapi Naaila. Dia setuju Naaila ajak dating esok!" Kelantangan suara Naaila bergema kuat di dalam bilik sederhana besar itu.
Hampir terjelepuk ke atas lantai Melur yang mendengar kata-kata sepupunya itu yang baru nak mengenal dunia selepas SPM. Seketika, Melur terpana. Terkejut bukan kepalang mendengarkan asbab kegembiraan Naaila yang baru dia kongsi tadi. "Ibu tahu tak Naaila nak keluar dengan kawan lelaki ni?" Dengan penuh keprihatinan Melur bertanya.
Tidak lagi berbaring, Naaila kini duduk bersila menghadap sepupunya dengan mulut yang mencebik. "Bukan kawanlah, kak Melur. Pakwe. Boyfriend. Okey?" Melur hanya menayangkan riak kosong lalu mengangguk perlahan beberapa kali. Dengan senyuman yang kembali tertampal di wajah, Naaila akhirnya menjawab soalan tadi.
"Of course-lah ibu dah tahu, sebab tu Naaila confident ajak Zahid keluar sama-sama esok." Kalau tadi Melur sekadar hendak terjelepuk di atas lantai, kini dia rasa seperti hendak menghantukkan kepalanya ke dinding. Dia benar-benar tidak mengerti. Bagaimana mungkin ibu saudaranya sungguh yakin dan berani melepaskan anak dara tunggalnya keluar berdua bersama seorang lelaki ajnabi?
Melur menjadi semakin buntu. Kalau ibu Naaila sendiri yang membenarkan anak daranya keluar bersama lelaki ajnabi, siapalah Melur hendak melarang dan menegur? Hampa yang menghambat membebankan hati Melur. "Jaga diri elok-elok esok, okey? Jaga batas pergaulan yang patut semua." Hanya pesanan itu yang mampu Melur tuturkan kepada Naaila yang sudah dia anggap sebagai adik itu.
Naaila yang duduk bersandar pada kepala katilnya menjawab sambil pandangannya tertala kepada skrin telefon bimbitnya. "Okey, kak Melur." Suasana sunyi kembali mengisi bilik itu. Melur kini terbaring di atas katilnya dalam kedudukan menghadap ke kanan dan membelakangkan Naaila. Meski dia sedang penat teramat, namun matanya tidak mahu terlelap.
Hatinya disadur kebimbangan memikirkan yang esok Naaila akan berjalan berdua bersama teman lelakinya. Akalnya menjadi bercelaru memikirkan pesanan naqibahnya kepada kumpulan usrah mereka beberapa minggu yang lepas.
Kata naqibahnya, "Ibu adalah madrasah pertama anak-anak. Kerana itu pentingnya kita mendidik orang-orang perempuan menjadi bertaqwa agar mereka membesarkan generasi muda yang juga bertaqwa."
Dengan hati yang berat, dan minda yang sarat berfikir, Melur akhirnya tertidur. Sesekali telinganya menangkap gelak tawa Naaila yang sedang bergayut di telefon. Ada dia terdengar Naaila menyebut 'sayang' dan 'rindu' tadi. Tahulah Melur siapa yang berada di hujung talian itu. Hanya berdoa di dalam hati yang mampu Melur lakukan sebelum dia akhirnya berlayar ke alam mimpi.