Apa pun tak boleh! (bahagian akhir)

12 2 0
                                    

"Dah azan dah."

Adruja tersenyum. Kesyukuran menjalar di dalam hatinya kerana dia berpeluang untuk solat pada awal waktu hari ini. Alhamdulillah, program lawatan tadi berjalan lancar dan tamat pada waktu tengah hari.

Dia kini sampai di hadapan pintu biliknya. Segugus kunci sudah pun berada di dalam genggamannya. Tinggal saja hendak dimasukkan ke dalam lubang pada tombol pintu bilik itu. Namun, jangkaan Adruja nyata meleset.

"Astaghfirullah, tak berkunci?" Berkerut dahi Adruja menahan rasa terkejut dan risau yang kini bersilih ganti. Bertambah terpana apabila dia melihat Suraya yang sedang tidur nyenyak di atas katil.

Betapa nyenyak tidur gadis itu menimbulkan rasa kasihan pula di dalam diri Adruja. "Penat sangat agaknya si Suraya ni," bisik Adruja perlahan kepada dirinya. Dia lalu melangkah masuk ke dalam dan menutup pintu bilik.

Bunyi pintu bilik dibuka dan ditutup itu berjaya mengejutkan Suraya daripada mimpi indahnya. Sebelum sempat perasaan jengkel menjengah dan diluah, wajah Adruja tertangkap oleh sepasang matanya yang masih kuyu.

"Baru sampai ke, Ad?"

Adruja mengangguk.

"Berapa lama dah kau tidur ni?" soal Adruja dengan nada bersahaja. Tangannya sibuk menanggalkan tudung beserta kerongsang yang dipakainya tadi. Beg yang tersandang digantungkannya pada penyangkut di sebelah luar loker.

"Lamalah juga rasanya. Daripada pukul 9:00 tadi," selamba sahaja jawapan Suraya sambil dia sibuk meregangkan tubuh badannya yang terasa lenguh.

Hatinya terdetik sesuatu apabila matanya tertancap pada Adruja yang sedang sibuk bersiap-siap hendak ke bilik mandi gayanya.

"Ad."

"Hurm?"

"Kau dah balik ni, kira tamat dahlah kan cabaran yang kau bagi semalam?" Soalan Suraya itu berjaya menangkap perhatian Adruja langsung. Seluruh tubuhnya kini dihalakan ke arah rakan sebiliknya itu yang kini duduk bersila di atas katil.

"Baru separuh hari, kan?" Tercebik mulut Suraya dengan sendiri apabila mendengar jawapan balas itu. Tangannya kini disilangkan dan mula memeluk tubuh. Bagaimana mungkin Suraya mampu meyakinkan Adruja hendak melupakan saja tentang cabaran yang sungguh membosankan ini?

"Eh, kejap! Apa hal pula aku kena ikut cakap kau? Aku yang dicabar, jadi aku ada hak nak pilih untuk teruskan atau tidak." Nada percakapan Suraya beransur-ansur menjadi berang dan tegang.

Belum sempat Adruja membalas bicara, dia terlebih dulu dipotong oleh Suraya yang kini jelas berasap, "Dah. Cukup. Aku tak faham apa motifnya aku nak meneruskan cabaran kau ni. Bukannya wajib pun hukumnya. Aku nak tengok drama aku lepas ni. Jangan kacau aku."

Langkah Suraya ke arah meja belajarnya dipandang dengan hati yang berat oleh Adruja. Tuala yang terletak di bahunya dibetul-betulkan sebelum dia membuntuti Suraya yang kini sudah duduk di atas kerusi meja belajarnya.

"Wei, dengar aku bercakap kejap? Ada benda yang aku nak terangkan pada kau," tutur Adruja dengan gaya penuh diplomasi.

"Apa benda?"

"Sebelum tu, aku nak tanya kau kejap. Apa yang kau dapat belajar dan faham daripada cabaran yang aku bagi dekat kau tu?" Aneh sekali soalan Adruja itu bunyinya pada pendengaran Suraya.

"Apa lagi? Aku kena banyakkan ibadahlah kalau nak jadi lagi dekat pada Allah. Lepas tu, kena tinggalkan langsung drama, hiburan, semua yang melalaikan ni bagai," jawab Suraya jujur. Rasa menyampah yang bercambah tidak dapat dia tahan lagi.

Adruja mengangguk-angguk. Tahulah dia daripada jawapan Suraya tadi, mesej utama yang hendak dia sampaikan nyata masih belum ditangkap oleh Suraya.

"Jawapan kau tu betul, tapi sebenarnya ada sesuatu yang lagi penting yang aku nak sampaikan pada kau." Sebuah senyuman manis dan ikhlas Adruja lemparkan kepada rakan sebiliknya yang jelas sedang beremosi itu.

Bukan Adruja tidak mengerti.

Jangan disimbah minyak pada api yang marak.

"Sebenarnya, apa yang aku paling harapkan kau akan dapat daripada cabaran ni ialah hakikat yang perkara yang mendekatkan kita kepada Allah bukan sekadar ibadah khusus macam solat dan zikir semata-mata."

Suraya terkesima. Dia benar-benar tidak mengerti akan perihal yang cuba disampaikan oleh Adruja pada saat ini. Adruja yang dapat mengesan riak wajah kebingungan pada Suraya itu segera menyambung bicara.

"Hakikatnya, setiap satu benda dalam hidup kita yang kita buat ni boleh jadi satu ibadah - ibadah umum namanya - dan ia boleh menjadi asbab mendekatkan kita kepada Allah. Contohnya belajar, bersihkan bilik, dan macam-macam lagilah."

Wajah Suraya mulai tertunduk. Dia mula berasa malu apabila baru sekarang dia faham bahawa dia tidak perlu mengaji, solat dan berzikir seharian semata-mata rupanya.

"Jadi, sebenarnya boleh sajalah kalau aku buat macam biasa hari ni tapi niatkan apa-apa yang aku buat sebagai ibadah? Dah tentulah kecuali bab tengok drama dan dengar lagu semua tu."

Adruja mengangguk dan semakin lebar tersenyum.

'Alhamdulillah. Dia dah faham!'

"Aku sebenarnya nak cuba sampaikan pada kau yang agama kita ni bukan sekadar solat, puasa, zikir, dan sebagainya sahaja. Agama kita menyeluruh sifatnya. Setiap satu aspek kehidupan kita ada ajarannya dalam Islam. Contohnya macam bab bergaul dengan orang, jual beli barang, undang-undang. Agama kita bukan sekadar aspek kerohanian saja."

Suraya terkatup mulutnya. Saat ini, dia terasa bagai tertelan hempedu apabila didedahkan kepada hakikat Islam yang satu itu.

"Aku minta kau janganlah jadi malu sampai merendah diri. Aku pun macam kau, masih banyak perlu belajar. Itulah salah satu sebab kenapa aku suka usrah. Okey, panjang dah aku membebel. Nak mandi."

Kini, Suraya termenung sendiri.

"Islam tak terhad hanya pada aspek rohani." Ayat itu diulang-ulang di dalam benak fikirannya. Suraya tidak mahu lupa pengajaran yang diperolehnya itu. Hatinya tersentuh menyedari kekhilafan sendiri.

"Astaghfirullah."


You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Dec 31, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Koleksi Cerpen Tangkap ImanWhere stories live. Discover now