Dua tahun kemudian,Angin lembut bertiupan membawa bayu kesedihan. Daun-daun kering jatuh luruh ke tanah. Tikar mengkuang dibentangkan di bawah pokok rendang yang terdapat di situ. Pohon kemboja putih yang merimbun menggugurkan bunga-bunganya.
Suasana sunyi sepi itu ditemani dengan bacaan yasin yang dibacakan oleh Izz Faris dan Akid Ahnaf sekeluarga. Perasaan hiba mula bertandang di hati. Pusara dihadapan mereka kini mengingatkan bahawa kematian itu pasti.
Sesungguhnya semua yang bernyawa akan mati suatu hari nanti. Seterusnya, kematian itu akan membawa rasa keinsafan kepada mereka yang masih hidup.
Bacaan yasin dibacakan sehingga ke penghujungnya dengan diketuai oleh Izz Faris. Merdu dan sayu saja kedengaran bacaan tersebut. Menyampaikan betapa rindunya mereka pada arwah. Hanya itu yang mampu dilakukan sebagai sedekah.
Bacaan yasin akhirnya ditamatkan dengan bacaan doa daripada Akid Ahnaf. Izz Faris menadah tangan. Matanya tak lepas memandang pusara dihadapannya dengan pandangan yang sarat dengan kerinduan. Mulutnya mengaminkan doa yang dibaca dengan hati yang ikhlas.
Mengharapkan doa itu diangkat oleh Tuhan dan dimakbulkan. Kelopak mata Izz Faris terpejam, menghayati maksud doa yang dibaca. Patah perkataan yang dimaksudkan membawa makna yang baik. Tidak lain dan tidak bukan dari segi kesihatan, kekayaan rezeki dan umur yang panjang.
Usai bacaan doa itu tamat, Akid Ahnaf menyiram air mawar yang dicampur dengan campuran bunga yang dibawa ke atas pusara tersebut. Dia menahan sebak di dada. Daun pandan yang sudah dibacakan surah-surah pilihan turut ditaburkan pada pusara itu.
Tindakan itu dilakukan bergilir-gilir oleh ahli keluarganya. Tok Wan turut hadir di situ. Air matanya mengalir saat menyiram air tersebut. Melepaskan kerinduan pada arwah. Masih teringat saat saat terakhir bersama arwah dahulu. Dia mengukir senyuman lemah.
"Izz..." panggil Akid Ahnaf perlahan. Sebuah lagi jug air mawar itu diserahkan pada Izz Faris. Akid Ahnaf menepuk lembut bahu sahabatnya. Tahu lelaki itu masih bersedih.
"Aku pergi dulu. Nanti dah selesai, aku ada dekat kereta. Sabar ya Izz." ucap Akid Ahnaf mahu memberikan ruang untuk Izz Faris bersendirian pada ketika itu. Ingin memberikan sahabatnya privasi untuk menyampaikan kata-kata pada arwah untuk kali terakhir.
Izz Faris mengangguk perlahan. Bibirnya naik mengukir senyuman kecil kepada Akid Ahnaf. Huluran sahabatnya disambut. Akid menarik tangannya semula yang berada pada bahu Izz. Dia mengorak langkah meninggalkan Izz bersendirian.
Izz Faris menghantar pemergian Akid Ahnaf dengan pandangan. Jug yang berisikan air mawar yang diberikan Akid sebentar tadi diletakkan disisinya. Dia mengalihkan pandangan pada pusara itu semula.
Bebola matanya bergerak pada rumput rumput yang tumbuh pada pusara itu. Tangannya pantas mencabut rumput tersebut sehingga tiada lagi yang tinggal. Batu nisan yang dipacakkan di atas pusara itu diusap oleh Izz. Jarinya menggosok kotoran yang menutup sebaris nama pemilik nama pusara tersebut.
Sebaik batu nisan itu dibersihkan, Izz Faris memandang sayu sebaris nama yang sudah lama dia tidak lihat itu. Akhirnya, pada hari ini dia diberikan peluang untuk melawat pusara milik sahabat lamanya itu. Secara tidak langsung, kenangan mereka bersama berlayar di fikiran.
"Aku... mintak maaf sebab lambat lawat kau." ucap Izz Faris memulakan bicara. Rasa sebak memenuhi dada. Berat hatinya ingin meluahkan perasaan. Rindu terasa ingin bersembang dengan arwah lagi. Dia tahu dia takkan dapat peluang itu untuk kali kedua.
Hanya kalau dia bertindak dengan lebih awal. Namun kini semuanya sudah berlalu. Dia tidak lagi dapat memutarkan masa. Dia redha dengan ketentuan-Nya. Tuhan lebih sayangkan arwah. Dia tersenyum sayu.
YOU ARE READING
C | LOVE HATE
Romance𝗥𝗼𝗺𝗮𝗻𝗰𝗲 𝗦𝗲𝗿𝗶𝗲𝘀 •°. *࿐ «2𝐧𝐝 𝐁𝐎𝐎𝐊» ©2021• ᶜᵒᵐᵖˡᵉᵗᵉᵈ ˚ ༘♡ ·˚𝐀𝐃𝐘 𝐀𝐒𝐇𝐑𝐀𝐅 𝐗 𝐀𝐑𝐈𝐀𝐍𝐀 𝐀𝐓𝐈𝐋𝐈𝐀˚ ༘♡ ·˚ Adi Ashraf dan Ariana Atilia. Adi dengan sikap bekunya manakala Ariana dengan sikap cerianya. Apa akan jadi bila Ar...