Prang!
Bunyi itu lagi! Aku celikkan mata. Mula bangun daripada pembaringan. Aku menguap sebelum menggeliat kenikmatan.
Waktu tidurku terganggu gara-gara bunyi tadi. Sama seperti hari-hari sebelum ini. Malah adakalanya di tengah malam, suara tangisan bayi kecil kedengaran. Sungguh menggusarkan!
Hmm... sekarang sudah pukul berapa? Mata mencari arah jam dinding. Mata aku terbuntang. Pukul 5.45? Awal sungguh aku bangun hari ini angkara bunyi tadi. Haih... tidak mengapa. Sekurang-kurangnya dapatlah aku bersiap awal hari ini untuk solat Subuh.
---
"Mama." Sapaku. Mama yang sedang menyediakan sarapan pagi menoleh ke arahku. Serta merta dia tersenyum. "Haa... awal bangun hari ini? Ada apa-apa ke?"
Aku tayang sengih. Mula mengambil tempat di meja makan. "Mama ada dengar bunyi bising tak pagi tadi?" soalku. Manalah tahu Mama pun ada dengar. Tidaklah aku berseorangan.
"Bunyi? Bunyi apa?" Mama mengerut kening.
Mama macam tak tahu je. "Ala... bunyi macam benda pecah. Kakak rasa daripada rumah sebelah. Mama tak ada dengar apa-apa ke sebelum ni? Kakak selalu terbangun tengah malam sebab bunyi tu."
Mama diam. Tangannya masih sibuk memotong timun. Sarapan nasi lemak sahaja pagi ini. Senang dan lazat.
"Hmm... biasalah tu. Kan sekarang musim PKP. Ramai orang stres sebab terkurung dalam rumah. Lagipun apabila satu keluarga bersama dalam ruang sempit dengan tempoh yang lama, pasti ada perasaan rimas. Biasalah tu. Tak perlu sibuk ambil tahu hal mereka. Biarkanlah." Nasihat Mama.
Aku menggigit bibir. Tidak setuju dengan saranan Mama. Bagaimana sekiranya ini adalah kes dera? Sanggupkah kita berdiam diri? Tetapi, tidak sampai hati aku ingin membantah. Sudahnya aku hanya diam.
Nasi lemak sudah siap. Aroma santan yang memikat selera membuatkan perutku berdondang sayang. Mama memanggil adik dan Papa turun. Kami sekeluarga berkumpul di meja makan untuk menjamu selera.
Dalam hati, mula tertanya apakah sarapan keluarga Farhan pagi ini? Minggu lepas Mama ada memberitahuku yang ayah Farhan dibuang kerja kerana syarikatnya tidak mampu menanggung gaji pekerja disebabkan PKP.
----
Selesai bersarapan, aku mula membaringkan tubuh ke katil. Mata terpejam rapat. Berniat ingin melelapkan mata seketika. Kerja sekolah sudah siap. Hari ini hari Sabtu, tiada kelas di atas talian. Jadi, aku bercadang ingin merehatkan diriku hari ini. Gangguan bunyi bising malam tadi membuatkan aku tidak cukup tidur.
Raungan kanak-kanak mematikan lenaku. Aku bangun daripada katil. Aku mencari punca suara. Rumah sebelah lagi! Aku menuju ke tingkap untuk melihat apa yang terjadi.
Aku cuba mengintai melalui tingkap. Nasib aku baik apabila tingkap rumah sebelah terbuka. Dan apa yang berlaku di dalam rumah itu memeranjatkan aku.
Farhan, jiranku yang baru berumur 4 tahun dipukul dengan tali pinggang oleh ayahnya. Sadisnya, ibu Farhan yang melindungi anaknya turut dipukul. Walaupun jauh, namun jelas kelihatan lebam biru dimuka Farhan dan ibunya.
Selama berjiran dengan mereka, yang aku tahu ayah Farhan seorang yang berbudi bahasa dan penyayang. Peristiwa itu betul-betul memeranjatkan aku.
Aku tak sanggup untuk meneruskan aktiviti mengintaiku itu. Badan aku menggeletar ketakutan. Bayangan Farhan dan ibunya itu bermain-main di ingatan. Sungguh menyayat hati. Aku cepat-cepat menutup mata. Berharap bayangan itu menghilang dengan sendiri.
Apa yang harus aku buat sekarang ini? Patutkah aku membiarkan sahaja peristiwa itu berlalu dengan sendirinya? Seperti apa yang Mama nasihatkan sebelum ini? Ya, aku tak patut sibuk akan hal orang. Kalau tak, inilah padahnya. Aku dihurung rasa bersalah yang teramat sangat.
Aku cuba untuk tidak mengendahkan peristiwa itu. Namun bayangan Farhan dan ibunya menangis asyik menerpa di mindaku.
Memikirkan tentang peristiwa itu pun aku sudah menggigil, apatah lagi orang yang mengalaminya. Pasti setiap saat berada dalam ketakutan. Bukan sahaja fizikal, mental mereka juga terdera.
Aku tak tahu kenapa aku rasa sebegini, tetapi aku rasa begitu bersalah sekiranya aku tidak melakukan sesuatu. Seperti aku tidak menunaikan tanggungjawabku sebagai jiran. Apatah lagi aku sudah tahu kesengsaraan yang mereka hadapi.
Tetapi, sampai sekarang aku tertanya-tanya mengapa ibu Farhan tidak melaporkannya kepada polis? Dan gigih aku mencari sebabnya di laman sesawang. Banyak sebab yang dilampirkan.
Antaranya, perasaan malu untuk membuat aduan tentang kepincangan keluarga sendiri dan takut berlaku perceraian akibat laporan itu.
Aku juga melayari maklumat tentang emosi kanak-kanak yang didera dan kesannya. Antaranya, mereka akan memendam amarah, rasa keliru, kemurungan, sering menyalahkan diri sendiri. Akhirnya, mereka mempunyai keyakinan diri yang sangat rendah dan akan mengalami kesukaran untuk bergaul dengan masyarakat.
Perasaan bersalahku semakin menggunung. Aduh! Semakin lama aku simpan perkara ini, boleh jadi gila agaknya. Apakah....
Bunyi bising kedengaran lagi. Kali ini raungan Farhan makin kuat. Bunyi kaca terhempas pula kedengaran. Aku menutup telinga. Tak sanggup untukku membayangkan keadaan Farhan dan ibunya. Bunyi bising semakin kuat.
Tak! Ini sudah melampau. Aku tak sanggup lagi menyimpan segalanya. Semakin kerap Farhan dipukul sekarang berbanding pada minggu pertama PKP. Aku mesti beritahu Mama! Biar Mama yang selesaikan. Aku berlari menuju ke kamar Mama. Tanpa mengetuk pintu, aku semberono masuk.
"Mama kena tolong kakak."
"Tolong apa sampai masuk bilik Mama tak ketuk pintu? Penting sangat ke?"
"Ma, yang ni memang penting. Kakak dah tak boleh tahan!" aku mula bercerita tentang peristiwa tersebut. Segalanya diluahkan termasuk hasil carian aku di laman sesawang. Senang cerita semua aku beritahu. Daripada A-Z.
"Kakak akan rasa bersalah sekiranya kakak tak buat apa-apa. Macam kakak ni jiran yang tak berguna. Dan kakak rasa terganggu. Mental kakak terganggu dengan bunyi bising. Waktu tidur pun tak cukup. Itu baru kakak. Cuba bayangkan apa yang dilalui oleh Farhan dan ibunya?" penuh emosi aku bercerita.
Mama mengangguk. "Betul. Nampaknya perkara ini semakin serius Kita sebagai jiran perlulah membantu apa yang patut. Baiklah. Kita telefon Talian Kasih. Biar pihak atasan yang selesaikan masalah. Kita hanya membantu apa yang patut."
Aku lega mendengar respon Mama.
Mama lantas menghubungi talian 15999 dan memberitahu butiran-butiran penting. Beberapa minit kemudian, talian dimatikan. Senyuman Mama menandakan segalanya sudah selesai. Aku menarik nafas kelegaan.
"Apa-apa pun, Mama nak puji sikap kakak yang cakna akan hal sekeliling. Mama bangga dengan anak Mama ni." Dan aku hanya tersenyum. Berharap usahaku ini membuahkan hasil dan keluarga Farhan kembali ceria seperti yang ku kenal dulu.