Tingkap dibiarkan terbuka luas, Hannah berdiri di tepi tingkap sambil matanya memandang langit malam yang gelap gelita itu.
Sepi. Itu yang dirasakan Hannah. Langit yang tidak disinari oleh sebarang bintang mahupun bulan seakan berpihak kepadanya. Kelam dan tampak suram. Hati Hannah menjerit kesedihan yang tidak berkesudahan.
Lima tahun dia menunggu lelaki itu. Lima tahun, bukan waktu yang singkat untuk dia bertahan. Tidak juga mudah untuk dia jalani kehidupan bersama Jihyun tanpa kehadiran Taehyung.
Tapi dengan berkat Jungkook, Hannah dapat atasi segala perit dan dugaan yang datang di masa lalu. Hannah bersyukur dipertemukan dengan lelaki sebaik Jungkook. Kerana lelaki itulah, dia masih bertahan sehingga ke hari ini.
Ya, walaupun sejujurnya dia tidak kuat. Tapi sekurang-kurangnya bayi yang hampir dia gugurkan dahulu masih kekal hidup. Sudah pun besar menjadi anak yang baik dan comel.
Hannah mengeluh, berat dan panjang kedengaran. Dia akui kesilapan itu, anaknya yang kini sudah berusia lima tahun hampir dibunuh olehnya sendiri. Akibat tekanan hidup, ditambah pula dirinya ditinggalkan, jujur.. Hannah hampir-hampir kehilangan waras.
Bayangkan, jikalau dia tidak bertemu dengan Jungkook di lereng bukit lima tahun lalu, pasti kewujudan Jihyun tidak akan ada. Dan kemungkinan besar, dirinya juga turut terbunuh.
Kesedihan semakin kuat menguasai diri. Hannah akhirnya menitiskan air mata. Dadanya dipegang lama seraya kepalanya menunduk ke bawah.
Bunyi esakan kecil bergema tidak lama kemudian, tubuhnya terhenjut perlahan sambil mengalirkan air mata.
"Mana awak pergi, Tae? Kenapa buat saya macam ni? Awak tahu tak Jihyun cari awak" kata Hannah berselang seli dengan nada tangisan.
Dadanya kian digenggam erat. Tubir matanya semakin banyak mengeluarkan air mata. Hannah terjerit kecil. Dada dipukul serentak saat hatinya tidak kuat untuk menahan lagi.
"Saya benci awak, Taehyung!" tutur Hannah dalam nada bergetar.
Dari kejauhan, Jungkook menyaksikan segala-galanya dari sebalik pintu.
Wajahnya turut berubah sayu. Pilu menyelubungi diri. Dadanya berdetak laju. Rasa sakit tidak mampu dikawal tatkala melihat perempuan itu berani mengalirkan air mata untuk lelaki tidak berguna seperti Kim Taehyung.
"Kau dah janji takkan menangis lagi. Tapi kenapa kau tetap menangis juga?"
Jungkook genggam kuat penumbuk kosong. Gigi di ketap. Matanya hanya memandang susuk tubuh Hannah dalam kegelapan samar itu.
"Berhenti menangis. Aku benci dengar suara sedih itu" monolog Jungkook di luar bilik. Ikutkan hati mahu sahaja dia berlari masuk ke dalam. Memeluk tubuh itu dan memujuknya agar berhenti menangis.
Tapi Jungkook sedar, dalam hati Hannah hanya terukir nama Kim Taehyung sahaja. Tidak kira berapa kali dia cuba memikat Hannah, ianya memang takkan berjaya.
Perempuan itu cakap sahaja benci tapi sebenarnya hatinya masih mencintai Kim Taehyung. Dia rindukan lelaki itu sehingga sanggup menaruh harapan tinggi. Buktinya, sampai ke hari ini dia masih menunggu kepulangan kekasih hatinya. Ya, tidak kira berapa lama harus menunggu. Hannah tetap akan menunggu.
"Dia takkan pulang. Aku jamin, Hannah"