Bab 1

8 0 0
                                    

PROLOG

“SERRA!”
Laju kaki Serra melangkah sambil mengesat air mata yang mengalir laju di pipi.
“Serra…”
Namanya dilaung kuat lagi. Namun, Serra tidak mahu berpaling.
“Serra, maafkan aku.” Kesal suara itu.
Serra berpaling dengan mata yang merah. Air mata terus mengalir. Bibirnya bergetar memandang wajah jejaka yang merenung dirinya dengan pandangan terkilan.
Kenapa terkilan? Bukankah ini yang dirancang? Serra mengetap bibir dengan penuh rasa geram.
“Serra…” Suara itu merayu lagi.
“Saya takkan lupa apa yang awak dah buat dengan maruah saya,” ucap Serra dengan suara yang serak.
“Ser…”
Tanpa menunggu si dia menghabiskan kata-kata, Serra berpaling dan berjalan laju.

BAB 1

DING!
Bunyi mesej diterima. Dengan penuh rasa semangat, Serra mencapai telefon pintarnya dan membuka pesanan.
- Hai, runner. Ada slot available untuk hari ni?
Serra menarik senyum. Mesej dibalas dengan senang hati.
- Ya, ada.
- Berapa caj per order?
- Upah beli barang, RM15 per trip.
- Uish... Mahainya cik. Kalah Food Panda ni!
Erk, terus kelat wajah Serra yang tadinya tersenyum manis. Ku sangka rezeki, rupanya...
- Kalau Food Panda pun kalah, cik order pakai Food Panda sajalah.
Selalunya Serra akan memilih untuk berbudi dengan soalan yang lazim sangat diterimanya itu.
Kenapa caj mahal sangat? Beli satu barang aje kot? Tapi entah kenapa hari ini, dia pun terasa hendak melayan sinis pertanyaan itu.
- Jangan marah cik, saya nak order barang. Urgent.
Serra tersenyum sinis.
Kalau dah urgent, janganlah menyindir. Ingat senang ke nak buat kerja runner? Pay slip tak ada. Guna kudrat sendiri jalan ke sana dan sini cari barang. Nak menghantar sampai ke depan pintu rumah lagi.
Itu pun masih ada yang berkira untuk bagi upah. Aku ni manusialah, bukan robot!
- Boleh hantarkan senarai barang yang cik nak dan nak beli dari mana. Hantar location rumah sekali ya? Dah siap beli saya hantar terus
Serra terus bangun daripada duduk. Jaket dan tudung yang disidai pada penyangkut, dicapai. Wajahnya dirapikan di depan cermin seketika sebelum pelitup muka disarung.
Iyalah, musim-musim virus ni, tak boleh terleka. Walaupun niat dia buat kerja runner untuk bantu diri sendiri dan orang lain, tapi kesihatan diri tetap paling utama.
Usai bersiap, Serra capai kembali telefon untuk meneliti pesanan yang diterima.
Dilihat senarai panjang yang dikirim oleh pelanggan urgent tadi. Tanpa berfikir lagi, Serra mencapai kunci kereta Perodua Kancilnya yang tergantung di dinding.
Sandal disarung dan dia menapak ke arah kereta. Saat itu, matanya menangkap lambaian Mak Cik Lin, jiran sebelah rumah.
“Serra, ada order ke?” soal Mak cik Lin sedikit kuat. Dari dalam rumah dia menjerit.
Serra mengangguk.
“Mak cik nak Serra belikan apa-apa ke?” soal Serra dengan senyuman di balik pelitup muka yang dipakai.
“Belikan dua paket gula dan satu santan kotak. Sat lagi mak cik bayar. Terima kasih tau, Serra.”
Serra mengangguk, lalu meloloskan diri ke dalam kereta. Enjin Perodua Kancil antik milik arwah ayahnya itu dihidupkan.
Minyak ditekan dan kereta terus dipandu ke Pasaraya Tesco di Seberang Jaya.

SEBUAH BAKUL bersaiz sederhana diletakkan di luar pagar rumah. Sekeping kertas A4 dicapai dan ditulis pesanan sebelum kertas itu dilekatkan pada bakul di hadapan pintu pagar itu.
Jam di pergelangan tangan dikerling, lalu dia menyeluk tangan ke dalam poket seluar dan mengeluarkan kunci motorsikal Yamaha LC miliknya.
Baru sahaja dia hendak menghidupkan enjin motor, kedengaran telefon berbunyi. Farhat mengeluarkan telefon di poket jaket yang tersarung di tubuh.
- (image) resit
- total harga barang RM175 + upah RM15. Balance ke cik, RM10.
Farhat menarik senyum nipis.
- Tak apa, balance simpan untuk order masa depan. Saya dah letak bakul depan rumah untuk letak barang, saya nak keluar.
- Baik. Selamat ya kawasan rumah cik kalau saya tinggalkan barang luar pagar?
- Inshallah, selamat. Saya dah letak pendinding pada bakul.
Dan mesej itu terus sepi tanpa balas. Farhat tersenyum lagi. Belum sempat dia hendak menyimpan telefon, ia berbunyi kuat.
“Helo.” Suara Firyal kedengaran di hujung talian. “Abang dah order barang yang Fir nak?” soal Firyal dengan nada tergesa-gesa.
“Sudah, Fir. Hang dekat mana ni? Dah on the way balik rumah ke belum?” soal Farhat dengan tenang.
“Tengah drive ni. Memulas-mulas dah perut aku ni bang, nak kena kuarantin. Risaulah pulak.” Suara Firyal sangat cemas.
“Hang boleh tak relaks dan balik dengan tenang. Aku nak kena pi kerja dah ni,” ucap Farhat sudah berkira-kira hendak mematikan talian. Tetapi suara Firyal masih kedengaran.
“Hang janganlah pi kerja, bang. Aku takut!”
“Banyak cantik muka hang, Fir. Company tu belum bertukar milik atas nama aku tau. Suka-suka hati suruh aku jangan pi kerja. Hang cuba jangan panik biawak sangat sekarang ni, bertenang! Hang tu close contact dengan result negatif. Hang duk takut macam ni, virus yang dah negatif tu boleh jadi positif tau.” Sengaja Farhat menggertak si adik yang sudah sedia cuak itu.
Siapa sajalah yang tidak bimbang jika disahkan jadi kontak rapat dengan virus yang sedang mengganas di muka bumi pada saat ini, koronavirus 2019 atau lebih popular disebut kovid-19.
Tapi, bagi Farhat, yang lebih utama adalah tuan badan sama ada pesakit atau kontak rapat itu bersikap lebih tenang supaya imuniti mereka tidak menjadi lemah.
Imun yang lemah hanya akan memudahkan virus merebak dengan lebih mudah. Dia bukanlah pakar perubatan, tetapi secara logiknya dia merasakan minda yang positif adalah perkara penting ketika tubuh diserang apa jua sakit.
“Runner tu nanti datang hantar barang, hang jangan nak keluar masa dia dah sampai pulak. Aku dah letak bakul suruh dia tinggalkan barang dekat sini,” ucap Farhat mengingatkan Firyal.
Talian sudah dimatikan. Farhat melangkah menuju ke motorsikal yang diparkir di hadapan rumah. Pelitup muka ditarik sehingga menutup hidung. Topi keledar dicapai dan disarungkan ke kepala. Baru sahaja dia hendak menghidupkan enjin motor, kedengaran bunyi enjin diberhentikan.

Que Sera Sera (READY FILE EBOOK)Where stories live. Discover now