Bab 4

5 0 0
                                    

PAIP air dibuka, lalu dipicit sikit sabun pencuci dan dibasuh bersih tangan. Dibasuh sambil menyanyi lagu ‘Selamat Hari Jadi’. Niat di hati, semoga tiada virus yang mengikutinya pulang ke rumah.
Siapa saja yang tidak gerun mendengar berita kematian setiap hari. Tambahan pula, apabila menjadi jenazah kovid-19, segalanya hanya akan diuruskan oleh pihak hospital. Sedihnya…
Tidak dapat dibayangkan kalau perkara itu terjadi pada dirinya. Sudahlah anak yatim piatu, siapa pun tak boleh datang tengok jenazah. Serra mengesat tangan yang basah pada kain lap yang tersedia di dapur itu. Hatinya sebak sendiri.
Pandemik ini hanya makin menambahkan kesunyian di hati. Biarpun dapat lepaskan rindu dengan Kak Bahia melalui telefon, tapi tetap tak sama seperti bertemu empat mata. Semangatnya lain. Dia perlukan semangat Kak Bahia untuk teruskan langkahnya setiap hari.
Ditambah dengan kerenah Tarique. Entah ke mana sudah menghilang anak gadis itu. Sudahlah dibiarkan rumah bersepah. Serra sudah patah pinggang menyelesaikan hantaran 10 tempahan barang basah tadi.
Tiba sahaja di depan pintu, rumah macam tongkang pecah. Boleh mental kalau macam ini gaya pandemik yang harus dilalui. Dia tahu, Tarique sengaja menyepahkan rumah. Mungkin hendak menguji kesabaran dirinya.
Kerusi di meja makan ditarik, Serra melabuhkan punggung di situ. Nasi bungkus yang ditapau tadi, dibuka. Harum betul nasi lemak gerai Mak Cik Hasnah. Serra siap minta nasi tambah, untuk pastikan perutnya kenyang sampai ke petang.
Hidup tanpa pendapatan yang tetap setiap hari, memerlukan dirinya berbelanja dengan bijak.
Dia pernah memegang jawatan tetap dengan gaji yang lumayan, namun semuanya hilang dalam sekelip mata. Dia dibuang kerja kerana ekonomi syarikat merosot. Tidak banyak pampasan yang diterima kerana dia bukan pekerja lama.
Berminggu-minggu Serra cuba mencari pekerjaan baru, namun hampa. Rezeki tidak menyebelahi dirinya. Lalu, dia beranikan untuk tawarkan perkhidmatan dengan menjadi runner. Biarpun ada pasang surut dari segi pendapatan setiap hari, tetapi Serra bahagia masih mempunyai duit poket biarpun dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ini.
Baru sahaja dia hendak menyuap nasi ke dalam mulut, telefon berbunyi. Video call daripada Kak Bahia. Serra terus sahaja menyentuh skrin untuk terima panggilan.
“Serra…” Lembut suara Kak Bahia menerpa cuping telinga.
“Baru nak makan ke adik akak ni?” soal Kak Bahia dengan rasa sayu.
“Iya kak… baru aje habis job.” Balas Serra dengan senyuman.
“Que mana?” soal Kak Bahia.
Serra menjongket bahu. Jelas di telinganya suara Kak Bahia mengeluh.
“Akak telefon dia pun, tak angkat. Dah seminggu macam ni.”
“Entahlah kak, malas Serra dengan dia tu. Hari-hari ada saja idea nak semakkan rumah. Serra balik penat-penat, nak kena kemas rumah pulak. Apa yang dia sibuk sangat pun tak tahu…” Adu Serra.
“Serra… sabar ya. Insha-Allah, nanti semua dah okey, Serra datanglah sini, duduk dengan akak. Serra dengan Que jauh macam ni, risau akak.” Kak Bahia cuba mengutarakan cadangan yang sudah dibangkitkan bertahun-tahun lamanya.
“Akak… Serra tak sampai hati keluar dari rumah ni. Rumah arwah ibu dan ayah…” Suara Serra merendah.
“Banyak kenangan dekat sini.” Sambung Serra.
Matanya mula berair. “Akak tahu kan sebab lain Serra masih dekat sini,” ucapnya dengan nada yang kesal.
“Serra… benda dah lama jadi, kenapa nak diingat lagi. Akak tahu, ibu dan ayah dah maafkan Serra. Serra aje yang masih belum lupa dengan benda yang dah pernah jadi.” Kak Bahia cuba memujuk.
“Serra tak tahu, kak.” Suara Serra serak. “Serra rasa takkan mampu nak tinggalkan tempat ni, sampai bila-bila.” Sambungnya.
“Kalau dah kahwin, kena keluar daripada situ jugak kan?” soal Kak Bahia menduga.
“Kalau kak… belum tentu jadi.” Balas Serra, tidak berminat dengan topik yang hendak dibangkitkan oleh Kak Bahia di saat itu.
“Kenapa tak tentu jadi, Serra? Abang Johan nak kenenkan Serra dengan adik biras dia, awak tu jual mahal.” Kak Bahia sekadar mencuba, mana tahu hati Serra terbuka.
Serra mencebik. Tidak suka. Kalau calon yang dikatakan oleh Kak Bahia itu adalah si Nadir, Serra tak nak. Pandang perempuan macam nak makan!
“Tak naklah kak! Serra langsung tak suka si Nadir tu. Akak janganlah sebut nama dia lagi. Walaupun Serra sedih tak dapat jumpa akak sebab lockdown, tapi sebahagian hati lagi lega. Sebab tak adalah muka orang tu menempel datang sekali dengan family akak ke sini. Alhamdulillah ya Allah.” Serra menyapu sebelah tangan di muka mengaminkan doanya.
Kak Bahia tersenyum dan menggeleng kepala dengan gelagat si Serra.
“Serra, akak ada kerja ni. Apa-apa jangan lupa mesej akak. Kalau susah sangat dengan kerja tu, cakap aje dengan akak. Abang Johan boleh tolong adjust kerja dekat mana-mana.” Kak Bahia sempat mengingatkan.
Serra mengangguk biarpun tidak sudi menerima pertolongan daripada suami kakaknya itu. Dia boleh uruskan diri dan kewangannya sendiri. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa pun. Takut pula bila terhutang budi, kena balas balik dengan body.
Nanti tak pasal-pasal kena menikah dengan Nadir tu pulak. Kadang-kadang hairan Serra dengan lelaki itu. Dia itu hanyalah adik biras kepada Abang Johan, tapi sibuk menempel sekali setiap kali keluarga Kak Bahia balik ke kampung. Menyampah!

Que Sera Sera (READY FILE EBOOK)Where stories live. Discover now