1

2 0 0
                                    

Usai solat Maghrib, saya diberi pautan ke sebuah program, berlangsung via Google Meet. Pautan tu dihantar melalui seorang kenalan yang sudah lama saya mahu sekat. Alasannya, dia menganggu. Saya tak suka dipaksa-paksa menyertai program anjuran dia dan rakan-rakan kumpulannya. Ianya menjengkelkan bila selalu dihantar jemputan ke program yang tidak digemari. Tapi, saya rasa ianya salah saya juga. Saya terlalu takut untuk menolak dan memberitahunya supaya berhenti menganggu saya lagi. Bukan apa, saya takut yang nanti saya akn mengguris perasaanya. Seseorang pernah memberitahu saya yang dengan kata-kata juga manusia boleh menikam. Barangkali itu yang buat saya takut meluah apa-apa dan sekadar ucap 'Terima kasih, nanti kalau ada masa saya pergi'. Tapi saya tidak pergi pun. Langsung tidak. Hinggalah malam ini.

Saya masih ada masa untuk dibunuh. Kebetulan, saya sedang menunggu waktu Isyak dan buku-buku saya semuanya sudah habis dibaca. Isyak masih malu untuk tiba, saya ambil keputusan untuk hadiri program via Google Meet itu.

Ambil masa dua-tiga minit juga untuk buka laptop dan masuk ke dalam program. Dalam Google Meet, ada beberapa orang yang membuka kameranya. Boleh dikira pakai jari jumlahnya. Seorang sahaja yang membuka mikrofon dan bercakap. Seorang lelaki dewasa. Pakaiannya jubah dan kopiah putih. Dia ada janggut sejempul. Nada percakapannya semacam hendak menangis tetapi tidak pula keluar air matanya. Barangkali memang sudah begitu gayanya. Lelaki itu, mungkin seorang ustaz, berkongsi ilmunya tentang Para Nabi dan Rasul. Juga tentang Syurga dan Neraka.

Daripada skrin, saya lihat beberapa orang lelaki muda - mungkin sebaya - yang berpakaian kopiah putih dan baju melayu angguk-angguk macam burung belatuk. Saya tak mengerti akan apa yang mereka anggukkan. Daripada kaca mata saya, kuliah ini bosan. Sungguh.

Beberapa minit berlalu, Ustaz beritahu yang topik kuliah sudah tamat dan kini dia buka ruang untuk sesiapa bertanya. Ada beberapa orang yang bertanya. Saya pula mahu tapi malu. Tapi peluang tidak boleh dipersia. Tapi adakah molek soalannya kalau berbunyi begini: Ustaz, daripada mana sumber hadis-hadis sahih yang Ustaz berikan dalam kuliah tadi?

Mungkin tidak. Saya mungkin akan diserang pengikutnya. Dia (Ustaz itu) semacam popular. Suaranya semacam familiar. Mungkin pernah muncul dari dalam telefon makcik-makcik. Saya pernah kena (serang) dulu. Di tempat kuliah agama itulah saya dicemuh dengan perkataan 'bodo'. Hai, memang kata-kata ulamak memang tidak bisa dipersoal? Bisa jatuh syirik?

Lamunan saya terhenti. Mata saya menghadap semua skrin. Kuliah masih belum tamat dan Isyak masih segan silu untuk hadir. Ustaz bercerita akan sesuatu:

"Kemudian malam tu nak tidoq, saya berdoa dekat Allah. Saya kata: Ya Allah, boleh dok tunjuk sorang nabi daripada hat ramai tu. Tak mau Nabi Muhammad. Hat ramai-ramai tu, teringin nak tengok." Ujar Ustaz. Suaranya kedengaran sebak tapi ini bukan cerita malankolia. Dia sambung lagi, "Kendian, malam tu tidoq,  Allah tunjuq sorang dalam mimpi. Dan muka nabi tu ada satu muka, ada di Malaya, ulamak. Tapi tak boleh habaq sapa dia dan dia masih hidup. MasyaAllah."

"Are you kidding me?!" Soal saya dalam hati. Terperanjat. Sungguh. Tetapi hadirin yang lain takjub. Mereka tidak mempersoalkan malah memuji dan melaungkan (Lebih kepada menulis komen di bahagian sembang Google Meet) 'Allahuakbar', 'Subhanallah'.

Saya rasa ini semua fucked up. Saya blah dari Kuliah online tadi. Terkejut, masih. Dan syukurlah ia semakin memudar. Usai solat Isyak, saya belek Sulalatus Salatin edisi pelajar yang berada dalam simpanan saya. Sesal saya. seharusnya saya tidak perlu terperanjat. Kerana perkara yang Ustaz alami sudah dialami kerabat raja zaman kerajaan Melayu dahulu kala. Begini bunyinya:

'Setelah berapa lamanya baginda di atas kerajaan, maka baginda bermimpi pada suatu malam, berpandangan dengan keelokan hadrat nabi mustaffa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa salam. Maka sabda Rasulullah pada Raja Kecil Besar, "Ucap olehmu: Asyhadu alla ilaha i'l Allah wa asyhadu anna Muhammad-ar-rasulullah." Maka oleh Raja Kecil Besar seperti sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa salam itu diturutnya. Maka sabda Rasulullah kepada Raja Kecil Besar, "Adapun namamu Sultan Muhammad Syah. Esok hari apabila asar matahari, datanglah sebuah kapal dari Jeddah, turun orang nya sembahyang di pantai Melaka ini, hendaklah engkau ikut barang katanya." Maka sembah Raja Kecil Besar, "Baiklah tuanku, yang mana sabda junjungan itu tiada hamba lalui."

Maka nabi sallallahu 'alaihi wa salam pun ghaiblah. Setelah hari siang, maka Raja Kecil Besar pun terkejut dari beradu, maka dicium baginda tubuhnya bau narawastu, dan dilihat baginda kalamnya pun seperti sudah dikhatankan. Pada hati Raja Kecil Besar, "Bahawa mimpi aku ini. Asyhadu alla ilaha i'l Allah wa asyhadu anna Muhammad-ar-rasulullah." Maka segala orang pun datanglah ke dalam istana baginda; sekaliannya pun hairan mendengar yang disebut raja itu. Maka kata raja perempuan, "Entah kena syaitankah raja ini, atau gilakah raja ini gerangan? Baik segera memberitahu Bendahara."

֍──────────֍

Esoknya, video Ustaz semalam - pada bahagian yang mana dia bertemu nabi Malaya - sudah tersebar macam telefon pintar dijual murah harga RM 25 di musim gaji. Ada yang di TikTok. Ada juga yang di Facebook. Instagram dan Youtube apatah lagi. Maka, datanglah manusia-manusia dari segala ceruk menyerang dengan komentar. Dari yang tua hingga ke muda. Dari yang kaya hingga ke papa. Ada yang menyokong dan ada yang mengecam. 

Tepat jam tujuh malam, Ustaz mengeluarkan video penjelasan. Dia memberitahu yang ianya salah faham. Tambahnya, nabi yang ditemui itu hanyalah punya wajah iras dengan seorang ulamak di Malaysia yang identitinya tidak bisa dimaklumkan. Sebelum nombor akaun bank meminta sumbangan terpapar, Ustaz sempat memaki orang yang menyelarnya di media sosial dengan nada lembut - supaya dianggap orang yang baik lagikan penyabar?

Isu ini diakhiri dengan: Semuanya adalah salah faham dan merupakan salah penonton yang mahu memfitnah. Tapi, nasib baiklah dan syukurlah Ustaz tidak senasib Raja Melayu Islam pertama kita. Yang akhirnya pisangnya dikupas kulitnya. Betapa ngeri jikalau dibayangkan kalau pisang Ustaz dibuang kulitnya dua kali, hasil dari mimpinya bertemu nabi itu.

Tamat

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 19, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Mimpi NabiWhere stories live. Discover now