Cerpen pertama
"KAU KENAPA?" soal Hadi.
"Kenapa apa?" balas Adam sedikit tinggi dan terus duduk di tempatnya yang bersebelahan dengan Hadi. Kelas yang pada mulanya bising menjadi sunyi sepi apabila melihat wajah mencuka Adam dan Medina yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kelas.
"Marah aku pulak. Aku soal baik- baik. Kenapa kau lewat masuk kelas? Dah satu jam lebih waktu rehat habis," balas Hadi. Dia faham benar dengan sikap Adam yang mula dikenalinya awal tahun ini. Hampir satu tahun dia dan Adam berkawan rapat.
"Mana cikgu?" soal Adam.
"Cikgu Zainal cuti hari ini. Kenapa?"
"Bagus. Jom kita keluar. Panas aku duduk lama-lama dalam kelas ni," ucap Adam. Dia sedar hampir semua mata di dalam kelas memandang dia dan Medina. Medina pula nampak selamba berbual seoleh-oleh tiada apa yang berlaku tadi.
"Jom." Hadi akur.
***ADAM melepaskan keluhan berat. Dia dan Hadi kini berada di belakang banggunan sekolah. Buntu otaknya tika ini memikirkan masalah yang baru muncul. Dia tidak tahu apa yang akan dilakukan oleh papa dan mamanya apabila mendapat panggilan telefon dari pihak sekolah. Esok papa dan mamanya perlu datang ke sekolah. Dia tidak sangka perbuatannya tadi diperhatikan oleh Medina dari jauh.
"Cuba cerita sikit kat aku. Kita ada setengah jam je ni. Lepas ni kita nak ke makmal," ucap Hadi akhirnya. Bosan pula apabila Adam hanya membisu.
"Aku bengang betul dengan budak baru tu," beritahu Adam.
"Medina ke?"
Adam mengangguk. Medina. Sedap nama gadis itu. Tetapi peliknya nama itu tidak begitu sesuai dengan personaliti Medina. Gadis berambut pendek separas bahu dan berlagak seperti lelaki itu nampak keras. Susah sungguh gadis itu hendak tersenyum. Medina baru sahaja berpindah ke sekolah ini bulan lepas. Selama ini dia memang tidak mengambil peduli hal Medina, tetapi sejak kejadian tadi, perasaan marah terhadap Medina begitu meluap-luap.
"Kenapa dengan dia?"
"Dia report ke cikgu."
"Report apa?"
"Aku merokok belakang kantin tadi," beritahu Adam sebelum menoleh pada Hadi yang sudah tergangga.
"Kau merokok?" susah hendak Hadi mempercayainya.
"Aku tak pernah beritahu kau ke?" soal Adam bersahaja. Bukan sahaja dia bakal dikenakan tindakan disiplin, malah abang kantin yang turut sama merokok bersamanya tadi bakal dibuang kerja.
"Kau tak pernah cakap. Aku tak pernah tahu."
"Sorry Hadi. Bukan aku tak mahu beritahu kau. Tapi... aku pun baru belajar. Aku curi rokok abang aku," balas Adam.
"Bodoh!" Kepala Adam diketuk kuat.
"Woi, sakitlah!" Pantas Adam mengusap kepalanya yang sakit.
"Tahu pun sakit. Kau buat kerja gila tu kenapa? Kita ni baru 13 tahun. Lama lagi nak hidup. Sekarang kau dah mula hisap rokok... kau tak sayang hati kau ke?" soal Hadi geram.
Adam tersengih."Aku bukan buat lawaklah. Aku tak sangka kau boleh buat sampai macam tu. Memang padan muka kau Medina report ke cikgu. Baru kau rasa. Punya banyak iklan kat TV, suruh kita jangan merokok. Kau boleh nak sia-siakan kesihatan kau... sebab rokok?" Bertubi-tubi Hadi meluahkan kata-kata.
"Kau nak melenting ni kenapa? Aku baru mula nak hisaplah."
"Sekarang kau hisap rokok. Nanti kau hisap benda lain pulak," balas Hadi.
YOU ARE READING
Seindah Takdir
Romance"KAU KENAPA?" soal Hadi. "Kenapa apa?" balas Adam sedikit tinggi dan terus duduk di tempatnya yang bersebelahan dengan Hadi. Kelas yang pada mulanya bising menjadi sunyi sepi apabila melihat wajah mencuka Adam dan Medina yang baru sahaja melangkah m...