Bilik Guru - Kamar Naratif
Hembusan bayu pagi yang dingin meniup seluruh tubuh saya, menyebabkan bulu roma saya meremang. Pagi itu di kelas, saya menongkat dagu sambil termenung jauh ke luar pintu — memerhatikan dan mendengar alunan rintik-rintik hujan yang jatuh ke bumi. Saya menarik nafas dalam-dalam untuk menangkap aroma hujan yang menenangkan. Kalau tak salah saya, ia dipanggil 'petrichor'.
Mata saya yang sedia berat sikit lagi ingin terkatup. Saya berusaha menahan mata dan memaksa diri saya untuk membaca buku cerita yang terbuka di atas meja. Ia sudah menjadi budaya hampir keseluruh sekolah di sini untuk mengadakan sesi membaca buku pada setiap pagi, setiap hari selama 15 minit. Kebiasaannya, waktu ini akan menjadi kegemaran saya sebagai pembaca tegar. Tetapi pada pagi itu, terpaksa berperang dengan mata yang mengantuk pula. Kalau bukan kerana saya bangun terlebih awal pada pagi itu, sudah pasti saya dapat menghabiskan sekurang-kurangnya satu bab.
Akhirnya saya tewas. Kelopak mata saya berjaya tertutup — hanya seketika, sehinggalah bunyi tapak kasut bertumit 2 inci mengganggu ketenteraman saya yang sementara. Bunyi itu datang dari sepasang kaki yang sedang menghampiri kelas saya dengan laju, Ustazah Fatonah. Sekali pandang, atau dua, beliau sama sekali tidak kelihatan seperti seorang guru agama. Wajahnya sentiasa dipenuhi mekap yang boleh dikatakan berlebihan, dengan pemakaiannya yang– sopan tetapi tidak terjangkau akan dipakai oleh seorang ustazah. Mungkin kerana saya sudah terbiasa melihat ustazah-ustazah yang lain bersederhana dalam pemakaian, semacam kurang percaya pada awalnya. Saya pernah bertanyakan pendapat seorang kawan saya tentang perkara tersebut, lalu dia menjawab, "Mungkin sebab dia muda lagi. Apa-apa pun, aku tak rasa pemakaian dia merupakan sesuatu yang perlu dijadikan isu. Lagipun, bajunya sopan dan menutup aurat. Mekapnya mungkin sedikit berlebihan. Tapi, asalkan dia tidak mengajar perkara yang salah, okey je kot."
Walau apa pun yang dipakai Ustazah Fatonah, beliau menjalankan kerjanya bagi menyampaikan ilmu dengan baik sekali. Tutur bahasanya sentiasa lembut dengan bait bicara yang indah, tetapi ada juga tajamnya kadangkala.
Ustazah Fatonah menguntumkan senyuman kepada kami sejurus melangkah masuk ke dalam kelas. Saya mengangkat kepala saya yang terlentok lalu berdiri, berucap mengikut ketua kelas.
"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Ustazah Fatonah."
"Waalaikumsalam. Semua duduk, baca doa."
"Bismillahirrahmanirrahim....
Ya Allah ya tuhanku, lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, hilangkanlah kekeluan lidahku agar mereka memahami kata-kataku.
Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan jauhkanlah kami dari azab api neraka.
Aamiin..."Ustazah Fatonah kelihatan sedikit gelisah sambil tangannya ralit membelek-belek tote bag-nya. "Hari ni sepatutnya ustazah nak pulangkan buku tulis awak semua. Tapi rasanya ustazah tertinggal lah dekat bilik guru..." Matanya melilau pula memandang ke arah para pelajar dengan dahi yang berkerut. Pandangannya berhenti tepat membalas renungan mata saya. "Kamu tahu kan rak buku yang terletak di bahagian belakang bilik guru? Boleh tak tolong pergi ambilkan buku awak dengan kawan-kawan yang lain?" Ah, sudah! Dia yang terlupa, saya pula yang kena pergi ambil. Tetapi saya tidak berdalih. Saya terus mengangguk dan berjalan ke luar kelas dengan mata yang separa tertutup. "Tidak mengapalah berjalan sikit pada pagi ni. Kuranglah sikit mengantuk dalam kelas nanti," Ujar saya sendirian, dengan nada yang sedikit rendah agar tidak didengari orang lain yang sedang lalu-lalang di laluan yang sama — koridor tingkat 2 menuju ke tangga. Risau jugak sekiranya ada yang terdengar saya bercakap seorang diri.
"...jaga mata, jaga telinga, jaga mulut, jaga hati..." Sayup suara Ustazah Fatonah kedengaran dari jauh, memulakan pengajarannya.
Saya melewati beberapa kelas tingkatan satu. Kebanyakan kelas masih belum ada cikgu yang masuk, hanya ada pengawas yang sedang menjaga. Saya melirik ke jam tangan saya — baru pukul 7:38 pagi. Padanlah masih banyak kelas yang tiada cikgu. Meskipun begitu, saya sedikit kagum dengan suasana kelas mereka yang sangat senyap. Mungkin kerana mereka masih berasa kecil dan hormat (atau takut) dengan pengawas yang sedang menjegilkan mata di hadapan kelas itu. Bengis betul muka-muka 'pengawal keselamatan tidak berbayar' (bak kata rakan sekelas saya) ni. Beberapa bulan lagi, pelajar-pelajar tingkatan satu ini pasti akan mula tunjuk taring dan melanggar peraturan. Saya yakin, sekarang pun mesti sudah ada sekurang-kurangnya seorang dua dari kalangan mereka yang begitu. Semasa zaman saya baru masuk sekolah menengah dahulu, begitulah kejadiannya murid-murid baharu. Entah dari mana datangnya sikap buruk yang tertanam dalam diri murid-murid sekolah (bukan semua). Jawapan saya yang terkuatnya, mungkin pengaruh.
YOU ARE READING
Bilik Guru - Kamar Naratif
Short StoryMaryam ditugaskan oleh gurunya untuk mengambil buku latihan di bilik guru. Di sana, dia melihat pelbagai jenis insan daripada latar belakang yang berbeza.