QA’SIM membuat kerja dengan teliti. Air
keringat di wajahnya sesekali akan dilap
dengan tuala kecil.
Jauh di sudut hati, nama-nama Allah
sudah diulang sebut tak berhenti. Setelah itu, dua beg
plastik hitam mula dibuang ke dalam tong sampah.
Hari ini, dia dapat pulang awal dari waktu
kebiasaan. Oleh sebab barang basah sudah habis
terjual. Ayam, ikan… semuanya sudah tiada bekalan
dalam gerai ini. Laku keras. Barangkali hari cuti
sekolah bakal membuka tirai tidak lama nanti.
Tap! Penutup tong sampah ditutup dengan
rapat. Dua tangan menepuk antara satu sama lain.
Sempat Qa’sim panguk kepala dan melihat dada langit
di atas. Cerah! Tidak ada tanda-tanda mahu hujan hari
ini.
“Dah siap. Bolehlah aku balik.” Gerutu Qa’sim.
Derap kaki dibawa ke pintu belakang untuk masuk ke dalam gerai semula. Dapatlah dia jumpa gurunya di
masjid sebentar lagi.
“Qas!” Satu suara berteriak memanggil
namanya. Langsung Qa’sim panggung kepala. Tidak
lama itu, wajah Fadhlan bertamu di matanya.
Qa’sim tersenyum. “Lan. Assalammualaikum.
Kenapa ke mari?”
Fadhlan tersengih-sengih. Langsung dia
menerpa masuk ke dalam gerai itu. Sempat matanya
curi-curi lihat pada tempat jualan. Kosong.
“Haih… Aku nak ke gerai ayah sendiri pun
takkan tak boleh kut?” Seloroh Fadhlan bersama tawa
halus. Dia dan Qa’sim sudah berkawan sedari usia
remaja. Walau kehidupan mereka tidak sama, itu tidak
menghalang Fadhlan untuk mengenali Qa’sim lebih
dekat.
Qa’sim seorang anak yatim piatu. Kerana
ihsan, Haji Muiz mengajak Qa’sim bekerja bersama-
sama di gerai ini. Tamat sahaja pengajian, Qa’sim
mula menunjukkan sikap serius untuk berniaga.
Kesudahannya, Haji Muiz beri sahaja gerai ini kepada
Qa’sim.
“Siapa kata tak boleh? Cuma itulah… aku nak
tutup gerai dah. Barang basah dah habis. Lepas zuhur,
fikir nak ke rumah ayah kau. Nak bincang hal bekalan.”
Balas Qa’sim dengan tenang. Tuala kecil terus diletak
atas bahu sendiri.
Serentak itu, Fadhlan tengadah. Apa?
“Serius ke kau ni, Qas? Aku baru nak tolong-
tolong….” Mata Fadhlan berkelip tidak percaya. Dia
fikir tempat jualan saja yang sudah habis. Ternyata telahan dia silap.
Qa’sim tersenyum. “Betullah. Tepi sikit. Aku
nak angkat baldi ni.” Pinta Qa’sim sebelum menepuk
pinggang Fadhlan perlahan.
Spontan, Fadhlan bergerak ke tepi. Mata lurus
memandang ke arah si sahabat.
Tak betah duduk diam, Fadhlan bergerak ke
tempat rak simpanan. Bekas demi bekas, Fadhlan
tilik. Semuanya kosong! Fadhlan ternganga sendiri.
Bekalan mereka benar-benar sudah habis. Langsung
tiada seekor yang tinggal.
Dua tangan naik mencekak ke pinggang sendiri.
“Terbaik, Qas! Aku, speechless.”
Saat itu, Qa’sim tegakkan badan.
“Alhamdulillah… rezeki kau sekeluarga. Aku cuma
membantu sahaja.” Dua tangan terus dilap dengan
kain.
“Surah At-Talaq, ayat 2-3. Sentiasa yakin, di
mana rezeki itu jaminan daripada Allah. Rezeki itu
milik Allah. Semakin hati ikhlas memberi kepada orang
lain… Insya-Allah, Dia akan memudahkan lagi rezeki
hamba-Nya. Ramai orang fikir, bila rezeki tidak cukup,
perlu buat kerja lebih masa. Fikir bagaimana untuk
meluaskan kewangan apa yang patut. Sedangkan,
yang memberi rezeki itu, Allah. Cari Allah dahulu.
Kesilapan orang kita sekarang, habiskan masa
dengan mencari dunia dan tidak mencari Allah terlebih
dahulu. Rezeki Allah itu luas. Lepas kita meminta
kepada Dia, teruskan usaha apa yang patut diusahakan.
Percaya dan sabar. Allah ada.”
“Betul tapi kau memang tahu berniaga, Qas. Jangan rendah diri macam itu. Aku malu nanti.”
Fadhlan tergelak halus. Namun, hatinya tidak
berdangkal. Sememangnya, Qa’sim tahu menahu hal-
hal perniagaan.
Qa’sim sekadar menggumam. Kerja membersih
dibuat dengan tekun. Terasa segan bila Fadhlan mahu
memujinya. Walhal, dirinya ini biasa-biasa saja.
“Terima kasih.”
“Sama-sama. Oh! Ya… kau nak tahu, Syura
dah jadi janda.” Tiba-tiba Fadhlan buka cerita. Dua
tangan naik menyilang ke dada.
Pantas Qa’sim menoleh. “Ya? Suaminya
meninggal ke?” Sekadar mahu tahu. Inikah punca
Puan Myra dan Puan Sally bergaduh di gerai sebelah
beberapa hari lepas? Sehinggakan ada selipar termasuk
dalam gerai sini.
Fadhlan menggeleng.
“Tidaklah. Suaminya nak kahwin lagi. Itu yang
berpisah. Perempuan mana suka dimadukan.” Lanjut
Fadhlan lagi. Biasalah, bila orang kaya dah tak tahu
nak menggunakan duit, tentu menikah lagi. Tambah
cawangan dalam hidup sendiri.
Qa’sim terangguk-angguk. Dia bergerak ke
singki untuk mencuci tangan.
“Kesian. Moga keluarga bilal baik-baik
saja lepas ni.” Ungkap Qa’sim lembut. Usai itu, dia
menanggalkan baju dari tubuh untuk menggantikan
dengan pakaian yang baru. Pantas dia membelakangi
Fadhlan. Segan!
Fadhlan langkau pandangan ke tempat lain.
“Orang tu dah kahwin. Cerai pun sudah. Kau tu saja, Qas. Bila nak menikah? Aku ni ada dah anak-anak.”
Bukan nak jadi penyibuk tapi usia Qa’sim sudah 38
tahun. Lama benar hidup membujang. Haih.
Qa’sim hanya tersenyum.
“Belum ada yang sampai.” Dia ketawa kecil.
Ikut hati, memang dia mahu kahwin. Siapa saja tak
mahu dirikan masjid? Namun, Qa’sim berjaga-jaga.
Dia maklum tak semua orang sudi menerima dirinya
seadanya.
Saat itu, Fadhlan mencemik. “Yalah tu! Itu
cucu Nek Salwa berkenan sungguh dengan kau. Fikir
aku tak tahu? Belum ada yang sampai sangat!” Balas
Fadhlan geram.
Qa’sim tergelak. Pakaian kotor terus disimpan
ke dalam beg kertas. Tahu! Tapi hatinya pula yang tak
terasa apa-apa. Ada saja cucu orang tua itu menghantar
surat. Belum sempat dia nak baca, kucing jiran sebelah
dah rampas bawa lari. Macam mana?
“Orang kaya tu, Lan. Mana mahu dia nak hidup
dengan aku yang biasa-biasa ni.” Ujar Qa’sim bersama
gelengan.
Saat itu, Fadhlan mengerutkan dahinya. “Orang
kaya ke?”
“Kayalah…. Dah pakai kereta besar.” Balas
Qa’sim menyergap. Dia tersenyum lucu. Bukan dia
tidak tahu abang-abang gadis itu bagaimana? Tak
mahu dia panjangkan cerita. Haru.
Pantas Fadhlan menjuih bibir ke depan. “Alah!
Tetap hidup dalam kampung kita. Kalau kaya, tiada
makna abang-abangnya mahu duduk sama dengan
Nek Salwa. Ke kau takut kena reject?” Manalah tahu,penangan Bilal Tahir menghantui Qa’sim dalam diam.
Serta-merta Qa’sim menggeleng. “Tidaklah, Lan. Kau jangan risau. Ada yang sampai, aku ajak kau
hantar rombongan. Lagi pula… eh, kau datang seorang
saja ke? Anak-anak mana?” Soal Qa’sim pelik. Dua
keningnya sudah bercantum.
Kebiasaannya, kembar itu ada saja mengikut
Fadhlan ke mana-mana tapi kali ini tak ada pula. Ada
di rumah agaknya.
Serentak itu, Fadhlan terdiam. Dia memandang
Qa’sim bersama tubuh yang mengeras. Alamak!
Serentak itu, Fadhlan berlari keluar dari gerai. Laju.
“Ya Allah, anak aku! Aku terlupa! Aku pergi
dulu. Jumpa dekat masjid nanti. Assalammualaikum!”
Habislah! Ini kalau bini tahu yakin dirinya bakal kena
smack down ala-ala Bruce Lee.
Qa’sim membatu di situ. Eh?
YOU ARE READING
DRxRC Publication | HER MUHAMMAD
Любовные романыNOVEL I Nur Ma'wa Firdaus. Rupa yang ada, secantik nama sendiri. Bertubuh tinggi lampai dan sentiasa up to date fesyennya. Nur ma'wa seorang gadis berkerjaya arkitek. Bekerja di dalam sebuah syarikat milik sang keluarga membuatkan nur ma'wa mempuny...