Bab 3

43 5 0
                                    

ENTAH mengapa, semenjak aku membuka hati untuk menerima Ashikin, hati aku jadi semakin tenang. Tiada lagi gelombang. Tiada lagi rasa mengkal. Aku selesa dengan perasaan sekarang.

Pagi ini aku ke perpustakaan. Pagi yang agak lengang dan menyenangkan. Ramai yang ada kelas pagi agaknya. Aku tiada kelas pagi ini. Kelas aku hanya bermula selepas zohor. Dan, akan ada satu kelas malam selepas maghrib. Mata, masih tidak lepas memandang rak yang penuh dengan buku-buku agama. Aku buntu. Terlalu banyak tajuk sehingga aku rasa serabut. Kata Ashikin, jika hendak berubah, mulakan dengan solat. Solat itu tiang agama. Jika tiangnya tidak tertegak elok, bagaimana bahagian rumah yang lain hendak kukuh.
Hmm ... memang benar. Solat aku sendiri ... masyaAllah! Bacaannya tunggang-langgang. Asal ada bunyi.
Rukun? Entahlah ... betul agaknya.

Mata masih lagi merayap ke setiap tajuk buku yang memenuhi rak. Dari atas ke bawah aku mencari, sebelum akhirnya terhenti pada satu buku berkulit tebal yang bertajuk 'Solat'. Aku tersenyum. Lega. Pencarianku berakhir.

Baru aku berkira-kira hendak mencapai, tiba-tiba satu tangan lain sudah menarik buku bertajuk 'Solat' itu daripada rak. Terkulat-kulat aku melihat. Liur kuteguk kesat. Memandang pada sesusuk tubuh tanpa adab yang 'mencuri' buku 'Solat' aku. Buta agaknya ada manusia yang berdiri di hadapan rak ini?
Mataku mengekori langkah 'si pencuri'. Sudah hampir sepuluh langkah dia pergi, aku membontoti. Dia duduk di satu sudut di perpustakaan yang agak jauh daripada manusia lain. Mungkin inginkan privasi. Tangannya sudah mula menyelak buku bertajuk 'Solat'.

"Assalammualaikum saudara. Buku itu ..."

Kata-kata aku terus mati sebaik wajahnya diangkat memandang padaku. Mamat mata sepet yang aku kenakan di dataran, semalam!

"Waalaikumsalam," balasnya tanpa melepaskan pandangan serta senyuman yang semanis kueh talam. Sah. Dia ingat aku. Aku tiba-tiba rasa nak sumpah diri jadi halimunan.

"Maaf, tidak ada apa-apa." Terus aku bergerak pergi, meninggalkan tapak 'jenayah berat' yang aku rasa akulah mangsa yang sedang disiat kulit muka yang tebal tidak tahu hendak sorok di mana.

"Sekejap!" Dia bangun menghalang laluan. Tersenyum. Senyuman yang di saat ini aku rasa bagaikan racun. Memang sah, dia cam aku. Dan, senyuman itu pasti hanyalah satu sindiran.

"Awak nak buku ini ke? Nah, ambillah. Saya boleh cari buku lain." Dia menghulurkan buku 'Solat' itu ke tanganku.

Semudah itu? Baiknya dia. Dan, dia masih tersenyum. Sudah macam model iklan ubat gigi!

"Terima kasih." Cepat aku capai buku yang dihulurnya dan kaki sudah mula ingin melangkah pergi tetapi terhalang oleh tubuh dia yang tinggi.

"Terima kasih sahaja? Nama apa?"

Perlu dibayar dengan 'nama' pula ke? Baik ada makna?

"Nama saya Zafril. Muhamad Zafril Aqil." Dia tersenyum lagi. Senyuman perkenalan.

"Oh, okey. Terima kasih, Zafril. Saya minta diri dulu."

Aku terus menyelinap di celah ruang yang tinggal di antara meja dan tubuh Zafril, si mata sepet! Hampir hendak bergesel, tetapi kemudian, dia cepat berganjak. Cepat juga aku melangkah. Takut jika dihalang lagi. Tidak kuasa aku hendak berkenalan dengan mamat mata sepet yang asyik tersenyum. Risau jika terjerat dengan ulah sendiri.

Aku kembali ke tempat duduk di mana beg dan buku-buku aku tinggalkan. Tidak jauh mana. Jika Zafril berniat ingin melunas dendam, membalas kenakalan aku, dia boleh sahaja datang dan berbuat demikian. Tetapi, dia hanya memandang dari jauh. Dan, senyumnya sudah hilang. Mungkin termalu sebab aku tak layan. Bukan sesuatu yang harus aku peduli.

Bismillah ... helaian pertama buku Solat, kubuka. Moga Allah tolong aku untuk mengubah diri.

MUKA AKU hilang darah! Semua isi beg sudah kukeluarkan. Terlambak di atas meja. Tidak puas menyeluk dan meraba beg yang sudah kosong itu, aku jengahkan pula kepala ke dalamnya.

"Woi, kau kenapa nak masuk dalam beg?"

Teguran Airin membuatkan aku hampir tersembam! Suara Airin yang memetir betul-betul dilubang telinga membuatkan aku bagai diterjah garuda.

"Muka macam tenuk tertelan biji durian ini, sudah kenapa?" Airin terus duduk di hadapan aku.

"Diari aku." Suara yang keluar sudah bercampur sendu.

"Diari kau?"

Aku hanya mengangguk sambil tangan tidak berhenti mengisai barang dan buku yang berserakan di atas meja. Sesekali, menjengah juga ke dalam beg yang sudah sedia kosong. Hati semakin walang. Cuak, cemas dan serabut - bersama-sama menguasai segenap ruang akal.

"Bila kali terakhir kau nampak diari itu?"

Aku terdiam. Bibir bawah kugigit. Kening sudah bercantum dengan anyaman kerutan di dahi. Bila ya? Semalam ... aku ...

"Di perpustakaan."

"Sudah cari di sana, ke?"

Aku menggeleng. Hati dipalu runsing. Habislah kalau ada orang yang terjumpa. Tentu orang itu akan baca.

"Habis kelas nanti, aku temankan kau pergi cari di sana. Mana tahu, mungkin ada orang terjumpa dan serahkan pada pihak perpustakaan." Airin cuba memujuk. Tanganku, digenggam. Aku hanya mengangguk. Lemah rasa hati ini bila diari yang memiliki segala rahsia, hilang.

"AQILAH, ada orang hendak jumpa!" Jeritan dari tingkat bawah kolej membuatkan aku terkocoh-kocoh menjengah.

"Baik, terima kasih!" Aku menjerit balas pada rakan sekolej di tingkat bawah.

Muka sudah mula melukis garis-garis kerutan. Tertanya siapa yang datang. Semalaman aku tidak boleh melelapkan mata memikirkan diari yang hilang entah ke mana. Baru bercadang hendak menyambung tidur di pagi Sabtu, sudah ada yang mengganggu.

"Qilah."

Aku sepatutnya sudah boleh mengagak. Tangan ayah, kusalam dan kucium. Aku masih punya adab walau hati membenci. Dia tetap ayahku.

"Kenapa ayah datang?"

"Ayah hendak menjemput Qilah balik."

"Qilah sibuk. Banyak tugasan." Aku beralasan.

"Minggu ini sahaja."

"Penting ke?"

Dia mula mengambil tempat di sisi aku. Tangannya yang cuba melingkar di bahuku, aku tolak.

"Qilah ..."

Aku hanya diam. Memasamkan muka.
Dia menghela nafas.

Aku langsung tidak memandang pada dia. Lebih rela memandang tupai yang melompat-lompat di atas pokok dan rama-rama yang berterbangan hinggap di bunga lalang berbanding memandang pada dia, ayah yang selalu menghadiahkan aku kesunyian.

"Ayah sudah beritahu pada resident staff kolej Qilah, yang ayah akan bawa Qilah pulang minggu ini. Dia kata, tidak ada masalah."

Aku menoleh kasar padanya. "Ayah memang suka buat keputusan tanpa berbincang dengan Qilah, kan? Qilah suka ke, tak suka ke ... tak penting. Baiklah, Qilah akan ikut ayah balik. Tapi jangan salahkan Qilah kalau ada yang makan hati."

Aku terus bangun berlari naik ke bilik, tanpa menanti apa yang ingin dia balas. Kalau dia tidak pernah peduli tentang perasaan aku, hormat pendapat aku ... kenapa perlu aku peduli apa yang dia rasa bila aku melawan cakap dia?

Beg sandang yang biasa kubawa ke dewan kuliah, aku hempas ke katil. Segala barang yang biasa kubawa, aku campak, aku baling ke dalamnya. Aku capai jaket kulit lalu kusarungkan ke tubuh.

Rambut, kusikat ala kadar dan kuikat satu seperti biasa. Telefon bimbit, kusumbat dalam poket seluar jean. Baru aku hendak melangkah keluar dari pintu, hati tiba-tiba teringat sesuatu. Aku berpatah semula ke meja. Mencapai pen dan secebis kertas. Kucoretkan nota memberitahu Ashikin yang aku pulang ke rumah. Aku tidak mahu dia risau. Dia baik pada aku. Aku sudah mula sayang dia lebih daripada ayah aku sendiri.

The Missing PuzzleWhere stories live. Discover now