Florenca memandang tepat ke arah papan pemanah. Matanya tajam merenung satu titik yang berada di tengah-tengah papan. Anak panah yang terpacak di tengah busur sedia untuk dilepaskan. Florenca menumpukan seluruh tenaga pada tangannya dan perhatian pada papan memanah di hadapan. Dia mentargetkan bull eye.
15 saat telah berjaya digenggam dan anak panah meluncur laju ke hadapan. Hatinya sedikit kecewa dengan kedudukan anak panah yang berada di lingkaran nombor dua di papan tetapi dia merasakan cukup untuk latihan hari ini.
Dia meneguk air yang dihantarkan dayang istana sejam yang lalu. Disusun peralatan memanah di bawah pokok tempat dia berehat. Ada alas tikar tersedia bersama makanan tengahari yang langsung tidak berusik. Dia menyusun makanan itu ke tepi tikar dan mengambil tempat di bahagian tengah. Dia berbaring sambil mata mengamati keindahan petang di belakang istana kerajaan Blossomyce.
Florenca meneliti cahaya matahari yang seakan sudah malas memancarkan cahayanya keluar diiringi dengan awan-awan yang setia dengan birunya walaupun alam sudah mula untuk menutupi keindahan mereka. Cahaya oren keperang-perangan menebarkan kehangatan disegenap ruang di tempat latihan. Angin petang yang bertiup mengelus lembut bahagian bahu Florenca yang sedikit terdedah. Hangat cahaya matahari yang malas dan kelembutan angin bertiup mengimbangi perasaan nyaman berada di situ.
Dalam dia menikmati keindahan yang terbentang dihadapan mata, fikirannya masih tidak lepas dari memikirkan nasib dirinya yang dari kecil terkecuali dari banyak perkara sebagai seorang puteri Kerajaan Blossomyce. Dirinya tidak seperti kakanda-kakandanya yang lain. Dirinya tidak seperti kerabat-kerabat diraja yang lain. Dirinya aneh dan lemah. Tidak seperti kakanda-kakanda dan sepupu-sepupu nya yang lain yang sudah dipilih dan mempunyai keistimewaan ke atas sesuatu.
Dia amat mengagumi kakanda nya yang pertama, Riesta. Riesta memiliki kuasa ke atas alam. Alam di bawah manipulasi kakandanya. Dia boleh sahaja menghancurkan keindahan di hadapan matanya dengan memanggil hujan. Pokok, angin, gunung, batuan dan hutan sekalipun menyokongnya. Alam adalah kerajaannya. Memahami bahasa alam adalah kelebihan Riesta, kakanda nya yang sulung.
Tidak kurang kakandanya yang kedua, Freesia. Puteri kedua kerajaan Blossomyce yang memiliki kuasa ke atas haiwan dan serangga. Terkenal dengan kehandalannya dalam bidang strategi peperangan menjadikan Freesia adalah puteri yang dipandang berpotensi untuk menggantikan Raja Rodion, Pemerintah Kerajaan Blossomyce sekarang sebagai seorang Ratu.
Tetapi dirinya? Apa yang dirinya ada? Tidak ada satu kuasa pun pada dirinya. Tidak ada satu pun kelebihan yang boleh dia gunakan. Tidak pernah dalam sejarah Blossomyce mempunyai puteri sepertinya yang tidak mempunyai apa-apa kelebihan.
Kerajaan Blossomyce yang dianugerahi kelebihan dalam menghubungi dimensi lain menjadikan penghuni dimensi lain tertarik untuk memilih memberikan kuasa-kuasa mereka kepada anak-anak diraja sebagai satu pertabalan kuasa dan pengisytiharan kepercayaan untuk menjadikan wilayah mereka berada di bawah naungan manusia. Penghuni dimensi lain disebut sebagai Peers atau Peersy.
Seperti hal kakanda-kakanda nya yang dapat menggunakan kuasa dan kelebihan itu dengan baik, itu kerana Peers atau Peersy mendatangi mereka seawal usia mereka sembilan dan sepuluh tahun. Peersy Vasily, entiti yang membawa kuasa dan semangat haiwan dan serangga mendatangi kakanda Freesia seawal umur kakanda sepuluh tahun. Kakandanya Riesta, Peer Parthenius yang membawa kuasa alam mendatanginya ketika dia asyik bermain air sungai dalam wujud lelaki yang terbina dari air pada usianya Sembilan tahun.
Tetapi dirinya? Bertahun dia menunggu sehingga sekarang umurnya sudah menginjak 20 tahun, tidak ada satu pun entiti yang datang. Tidak ada satu pun peers atau peersy yang muncul memilih dirinya dan menyerahkan kepercayaan mereka kepadanya. Sudah lelah menunggu, sudah lama memamah kecewa kerana dirinya tidak dipilih. Hari demi hari, menunggu dan berharap bahawa dirinya juga istimewa. Tetapi, harapan itu yang menghancurkan keyakinan nya. Yang menambah lebat perdebatan tentang kekuatan dirinya.
Sehinggakan dia sudah menerima yang dirinya memang tidak layak untuk digelar puteri kerajaan Blossomyce kerana tidak satu pun entiti yang percaya untuk memilih dirinya. Lihat lah dirinya sekarang, berlatih berseorangan sedangkan kakanda-kakandanya yang lain berlatih sambil dipantau oleh peers dan peersy masing-masing.
Pertabalan Ratu Blossomyce akan diadakan dalam masa tiga hari lagi. Semua puteri-puteri pemerintah kerajaan Blossomyce diwajibkan untuk menyertai acara pertabalan dan itu termasuk dirinya. Setiap puteri harus diuji kemampuan dalam menakbir kerajaan dengan bertanding dalam beberapa acara. Acara yang pertama yang akan ditempuh adalah acara senjata. Setiap puteri harus berkemahiran dalam penggunaan senjata dan pada masa yang sama dibolehkan untuk menggunakan kelebihan yang ada pada diri untuk lulus dalam ujian yang dilaksanakan.
Itu yang lebih merunsingkan dirinya. Untuk teknikal setiap senjata, itu tidak mempunyai masalah baginya. Tapi untuk menggunakan kelebihan, apa yang boleh lakukan dengan dirinya yang tidak ada apa-apa kelebihan. Kakanda-kakanda nya dapat meminta bantuan peers atau peersy dalam pertandingan. Tetapi dirinya, memang seratus peratus harus menumpukan pada kemampuan dirinya. Nasib dirinya telah menerima latihan berkenaan senjata dari kecil.
Dalam asyik dia tenggelam dalam fikirannya, akhirnya matahari tadi telah tenggelam dalam kesederhanaan senja yang mencuba menjemput kegelapan malam. Florenca bingkas bangun mengemas peralatan-peralatan latihannya dan menggunakan isyarat tangan memanggil salah seorang pengawal yang mengawal tempat latihan untuk membantu dia membawa barang-barang. Dia beredar menuju ke bahagian istana paling hujung tempat tinggalnya.
Tidak salah dia, petang ini tukang masak istana ada mengadakan pemberian makanan percuma pada rakyat-rakyat yang kurang berkemampuan. Kebetulan dapur utama diraja memang berada di bangunannya. Dia melajukan langkah agar dia tidak terlepas untuk berjumpa dengan rakyat-rakyat yang singgah di halaman istana. Memang kegemarannya beramah mesra dengan rakyat-rakyat yang tidak berkemampuan. Sedikit sebanyak dapat menaikkan semangatnya apabila bersama dengan mereka.
Florenca merasakan dia tidak keseorangan. Dia juga mengagumi bagaimana rakyat-rakyatnya masih lagi bertahan hidup walaupun mereka tidak mempunyai pangkat, kuasa dan kelebihan. Persis seperti dirinya. Bezanya dirinya mempunyai pangkat. Menyantuni orang yang miskin dapat menambahkan rasa syukur dengan apa yang ada pada diri. Kerana itu, setiap hari yang dimana istana mengadakan keramaian dengan rakyat, Florenca akan cuba tidak ketinggalan. Dia bahagia bersama dengan rakyatnya.
YOU ARE READING
Ratu Kematian
FantasyFlorenca, seorang kerabat diraja Blossomyce yang dari kecil aneh dan berbeza dari kakanda-kakandanya yang lain harus masuk bertanding dalam acara pertabalan pemerintahan Blossomyce. Dapatkah dia mengharungi cabaran walaupun keadaan tidak berada di p...