Ketika Malam Berbisik (detik kami berpisah selamanya)
oleh aisyah maimunah
Saat tidak diundang, ia datang memberi seribu memori & ketika itu, mimpiku menjadi nyata…
“Jangan cakap macam tu. Relakan dia pergi. Dia pergi untuk bejaya…” - Aisyah & Mahizan
“Lihat itu. Aku senang mendengar suaramu yang gembira. Perasaanku tentang perihal ini bagus sekali…” - Aisyah & Dharma
Manusia pergi tapi cinta boleh tinggal selama-lamanya…
“Pada detik selawat dialun, alam semesta bertasbih, bulan dan bintang terlihat teguh di dada langit, ketika itulah malam menjadi saksi…”
Sudah lama dia tidak bermain di kotak fikiranku. Sudah lama jua aku tidak mendengar khabar tentang dia. Meski jujur aku katakan bahawa aku merinduinya namun aku teguhkan hati agar melempar dia sejauh mungkin. Masih banyak urusan yang harus aku fikirkan berbanding melayan kesedihan jiwa kerana terpisah dengannya. Namun apabila Allah mengatakan Kun, maka Fayakun tercipta. Tiada apa yang dapat menghalang pertemuan kami pada malam itu dan siapa sangka bahawa itu merupakan pertemuan kami yang terakhir sebelum secara rasmi, kami akan hidup dengan kehidupan masing-masing; kehidupan alam dewasa. Dia tentang dia, dan aku tentang aku.
Diaturkan Allah SWT bahawa aku akan bertemu dengannya malam itu. Jasadku seakan terpaku tatkala melihat dia di kamar bawah namun suara sekeliling menyapa diriku yang seakan melayang entah ke mana. Kulihat dia disitu, rambutnya telah dipotong kemas, penampilannya yang segak pasti menggugat pemuda lain lalu meruntun jiwa setiap gadis yang melihatnya. Selama dia berada di kediamanku, aku hanya mampu melihatnya; melihatnya dari jauh. Ya Allah, punyakah aku kekuatan itu untuk menyapa dia agar rinduku padanya terlerai? Mampukah aku menahan sebak jika dia memandang mataku? Ya Allah, sungguh aku bicarakan, dia tetap yang pertama dalam merebut kasihku. Biar telah ramai pemuda yang aku kenal, izinkan aku berkata bahawa aku tetap memilih dia biar apapun kelemahannya kerana aku percaya bahawa manusia itu tidak ada yang sempurna. Selemah-lemah kelemahannya pada pandangan orang lain, dia tetap sempurna bagiku. Apa lagi yang perlu aku pinta tatkala aku meyakini ibadahnya terhadap-Mu, ya tuhanku?
Harus aku katakan jika dia itu berbeza dari pemuda-pemuda yang pernah aku kenali sebelum ini. Lirikan matanya, senyumnya yang indah, suaranya yang lunak dan sifatnya yang manja serta imannya yang kuyakini bisa membimbing pendampingnya kelak. Meskipun dia masih belum matang sepenuhnya, aku yakin dia akan belajar, yang pasti bukan secara mendadak kerana aku juga menjadi matang secara berperingkat.
Disaat aku tahu dia mahu pergi meninggalkan bumi Malaysia, mengapa aku merasa takut, ya Rabbi? Mengapa aku merasa seolah-olah aku telah tewas dalam mempertahankan kasihku padanya? Aku takut kehilangan dia, padahal aku belum punya hak memilikinya. Namun begitu, masih ada suara kecil yang berbisik kepadaku mengatakan bahawa kepergiannya tidak akan sia-sia. Dia bakal pulang membawa kejayaan. Dia pergi untuk menimba ilmu-Mu, ya Allah. Dan dengan itu, lindungilah dia walau di mana dia berada. Kuatkan imannya, teguhkan hatinya, cekalkan jiwanya. Jadikan dia insan yang berguna, makbulkan segala doanya agar dia tidak merasa sulit. Jauhkan dia dari segala fitnah dan syak wasangka. Rabbi yassir wala tu’assir; permudahkan urusannya, jangan dipersulitkan.
Pada detik aku yakin bahawa itu adalah peluang terakhirku bertemu dengannya sebelum 4 tahun mendatang, aku memujuk hati. Memujuk hati agar terus kuat dan tabah dalam mencari cinta sejati. Cinta sejati berakhir dengan perpisahan. Itu yang pernah aku dengar. Jika kita mahukan hati seseorang, usah minta pada tuannya tetapi mintalah pada Pencipta hatinya. Dan aku yakin Penciptaku mendengar doaku. Ya Allah, andainya telah Dikau aturkan dia bertemu jodohnya yang telah tertulis di Luh Mahfuz, buatkan hatiku redha menerimanya pergi. Tenangkan hatiku agar tiada rasa iri atau cemburu menguasai jiwaku. Biar aku sabar dan ikhlas. Kerana aku tahu Dikau sedang berbicara denganku tentang sabar dan ikhlas. Sabar dan ikhlas, itu Islam.
Ya Allah, jika bukan dia jodohku yang Dikau tulis, jauhkan rasa kasihku buatnya. Hilangkan rasa sayangku padanya dan seandainya dialah pendampingku yang tertulis di Luh Mahfuz, dekatkan kami, Ya Allah. Timbulkan bibit-bibit kasih yang Dikau redhai, Ya Allah. Perdengarkan doaku ini, Ya Allah. Aku hanya mampu berusaha menjadi yang terbaik, menjadi wanita solehah. Itu kerana aku meyakini janji-Mu, ya tuhan. Perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitu sebaliknya. Yakini bicaraku bahawa dia adalah lelaki yang baik. Oleh itu, izinkanlah dia mendapatkan wanita yang baik. Namun, meski aku memohon seribu tahun, jodoh itu rahasia Allah.
Bukan hanya untuk dia aku menadah tanganku memanjatkan doaku tetapi juga buat diriku yang sering keliru. Meski dia berada di bumi Australia dan aku di bumi Malaysia, jangan pernah Dikau palingkan hati kami dari cahaya-Mu, Ya Allah. Rendahkan nafsu kami kerana dugaan iman itu pasti ada dimana-mana. Kayakan hati kami dengan lantunan zikir kepada-Mu, ya Allah. Moga dia sentiasa ingat akan pesan ibu. Jangan biarkan kami lalai dari berbuat ibadah terutamanya dia yang jauh dari sisi keluarga. Dan apabila aku berbicara tentang jodoh, hanya satu yang aku yakini, setiap orang memiliki jodohnya masing-masing. Dan sekali lagi aku berdoa, agar dia menjadi jodohku.
Yang seperti aku pelajari dari seorang ustaz sebelum ini, jika kita rindukan seseorang, baca Al-Fatihah sambil tangan di dada. Dan berzikir kepada Allah dengan niat semoga dia merasai rindu kita padanya. Ada juga kebiasaan lain yang sering aku praktikkan dalam kehidupan seharianku, yakni berdoa untuk orang yang aku sayang. Kerana doa itu hadiah yang paling indah. Doa itu merupakan kekuatan segala umat di dunia.
Aku redha jika malam itu menjadi malam terakhir pertemuan kami sebagai teman yang belum menemukan jodoh. Aku menerima dia pergi meski berat kerana ada rasa yang tidak terungkapkan. Jika itu yang Dikau hendakkan, takdir-Mu itu harus aku jalani kerana hatiku meyakini bahawa aku merancang, dia merancang tetapi Ilahi adalah sebaik-baik perancang. Apapun yang hatiku sedihkan ketika ini, aku masih bersyukur kepada-Mu kerana memberi aku peluang bersua dengannya sebelum dia berlepas pergi. Sekurang-kurangnya, wajah indah itu dapat aku tatap buat kali terakhir sebelum jiwa menanam rindu. Biar dia pergi dengan gembira dan aku tinggal dengan tenang.
Sepanjang dia berada jauh dari kami, Dikau mudahkanlah pelajarannya. Biarkan dia sentiasa berada dalam pengawasan-Mu, ya Ilahi. Jangan gelapkan hatinya dengan dusta, terangi jiwanya dengan cahaya keimanan yang teguh. Ringankan bibirnya melantun selawat dan zikir agar hatinya tidak kosong dan rapuh. Jaga tuturnya, jaga hatinya, jaga jiwanya, jaga imannya.
Hanya itu yang mampu Aisha berikan dari jauh. Hanya doa kerana doa itu hadiah yang paling indah.
Moga dia merasa rinduku padanya. Assalamualaikum, cinta.
Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz
Allah pasti akan menanamkan rasa kasih dalam hatiku juga hatimu
Itu janji Allah.
2013 February 23rd, Saturday, 3:34 am
aisyah maimunah