RANDOM 1 (HAMPA)

208 11 0
                                    

Aku memberanikan diri melangkah menghampiri Wan yang sedang fokus ke skrin telefon. Apabila aku betul-betul dekat dengannya, barulah Wan angkat kepala memandang diriku. Aku duduk di depan Wan dengan senyuman tipis.

“Hai...”

Wan membalas redup pandanganku.

“Kau apa khabar?” Dia menyoal.

Aku mengangguk. “Okey aje...”

Suasana jadi sepi semula. Wan tidak lagi memandang wajahku. Matanya tertumpu dengan meja makan seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

“Nak jumpa ni kenapa?” Aku menyoal.

“Tak boleh ke aku jumpa kau?” Lembut saja nada Wan menyoal.

Aku tak sampai hati mahu mengatakan tidak. Sudahnya aku hanya menghela nafas dalam. “Sebenarnya aku ada kerja lagi. Pinggan kat belakang masih bertimbun belum bercuci. Kalau kau nak cakap sesuatu, cakaplah cepat.” Aku genggam tangan erat. Hati kecilku terasa pahit apabila kata-kata yang keluar dari mulutku bernada dingin. Aku tak bermaksud nak layan Wan dengan buruk.

“Jenny, kau pernah cakap kau sukakan aku... Aku dah fikir masak-masak...”

Jantungku berdebar laju mendengar kata-kata Wan Furqan. Aku tak sanggup mendengar dia menolak cintaku dari bibirnya sendiri. Tapi aku juga tak nak kami masih dibelenggu perkara yang bakal menyakitkan hati kami berdua. Jauh di sudut hati, aku faham mungkin dia rasa bersalah terhadapku dengan apa yang terjadi. Dia ghosting aku selama seminggu selepas aku meluahkan perasaan. Dia bawa Syuhada jumpa denganku sedangkan dia tahu perasaanku terhadapnya.

Aku angguk. “Memanglah. Dah lama kita berkawan. Takkan aku nak berkawan dengan orang yang aku benci?”

“Hah?” Wan balas pandanganku dengan riak keliru.

“Aku sukakan kau. Lebih dari seorang kawan. Macam adik-beradik aku sendiri.” Jelasku dengan senyuman. Aku harap kata-kataku ini bakal menghilangkan rasa bersalah di hati Wan.

Wan jeda. Matanya seperti kosong memandang wajahku. Mungkin dia terkejut dengan kenyataanku.

Aku mengetap bibir. Rasanya alasan ini paling mengarut pernah keluar dari bibirku. Aku tahu susah untuk Wan percaya. Aku sendiri bagai nak tergelak dengan kenyataanku tadi. Bukan main try hard aku nak sembunyikan isi hatiku dari pengetahuan Wan. Tapi aku harap Wan faham niatku yang sebenar. Aku tak nak hubungan baik kami sebelum ini semakin bertambah buruk kerana rasa cintaku untuknya.

“Bukan sebagai kekasih?” Soal Wan perlahan.

Aku gigit bibir. “Aku dah couple dengan Zafran. Terima kasih kenalkan dia dekat aku.” Rasa nak menitis air mataku selepas menzahirkan kata-kata itu.

“Kau couple dengan dia?” Ulang Wan.

“Aku suka dia. Dia baik.” Aku senyum. “Kenapa kau tanya? Aku tak boleh sukakan dia ke?”

“Bukan...” Wan seperti nak cakap sesuatu. Tapi entah kenapa dia diam saja.

“Kalau tak ada apa-apa, aku masuk balik ke dalam. Aku nak sambung kerja.”  

Wan ukir senyuman paksa. “Okey,” ucapnya pendek.

Aku mengangguk. Kecewa sedikit hati ni. Aku masih berharap dia akan cakap, ‘Jenny, aku sukakan kau lebih dari sebagai seorang kawan. Kau tak boleh sukakan Zafran lebih dari kau sukakan aku.’

Tetapi hampa. Harapan terakhir aku untuk bersama dengan Wan dah hancur berkecai.

My Sweetest Pain [TERBIT]Where stories live. Discover now