RENJANA: PERMULAAN

43 3 0
                                    

"RENJANA, terimalah aku. Aku janji aku akan buat kau bahagia. Sebanyak mana intan permata kau mahukan, aku akan bagi Renjana. Asalkan kau mahu jadi isteriku".

Tangan Renjana ditarik lalu digenggam dan dielus erat. Mata Adika berkaca, seakan merayu pada Renjana supaya menerimanya dan menjadi isterinya. Dia sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan Renjana, gadis idaman sejak dari dulu lagi. Hanya Renjana wanita yang dia mahukan untuk berada di sisinya.

Genggaman erat Adika pada tangannya Renjana tepis dengan kasar.

"Kau fikir aku hanya memandang hartamu, Adika? Kau berilah aku intan semahal mana pun, aku tetap tidak inginkan kau sebagai suami aku. Cukuplah kau menagih kasih aku, aku tidak mahu menjadi isteri kau".

Renjana menapak laju meninggalkan Adika. Dia tidak senang dengan perangai Adika yang asyik-asyik mendesaknya untuk menjadi isteri. Cukuplah, Renjana masih tiada kemahuan untuk menjadi isteri.

Tangan Renjana ditarik semula. Kali ini, lebih kuat dan erat sehingga gadis itu mulai meronta.

"Hei! Lepaslah!"

"Tidak, Renjana! Aku tak akan lepaskan kau melainkan kau setuju menjadi isteri aku".

"Kau memang gila, Adika! Lepaslah!"

"Aku memang gila. Kau yang buat aku gila, Renjana. Kau buat aku berharap! Kau beri aku harapan kemudian kau lenyak-lenyakkan harapan aku".

"Kau yang terlalu berharap! Aku sudah banyak kali mengatakan aku tidak mahu ada apa-apa dengan kau. Cukuplah!"

Rontaan Renjana akhirnya membuahkan hasil. Terlepas terus genggaman kemas Adika pada lengannya. Renjana mendengus geram. Adika memang biadab. Sesuka hati menyentuhnya tanpa dia rela.

Adika terus jatuh melutut. Tangannya diangkat untuk merayu pada Renjana sambil anak matanya menitiskan air mata untuk memujuk Renjana supaya bersetuju menjadi isterinya.

"Renjana, aku merayu kau terimalah aku".

Renjana hanya diam. Timbul sedikit rasa simpati pada Adika yang sedang melutut dan merayu padanya. Bibir Renjana gigit perlahan menahan rasa sebak dalam diri. Tidak langsung dia sangka Adika akan duduk melutut untuk menagih cintanya.

Cinta yang tidak pernah wujud dalam hati Renjana.

Sayangnya pada Adika hanya berasaskan tali persahabatan. Dia sayang Adika sebagai seorang kawan dan abang yang banyak menjaganya. Malah, Adika terlalu menyayanginya, sehingga sayang itu berubah menjadi cinta.

"A-Adika".

Kepala Adika yang tunduk menghadap bumi naik untuk melihat wajah Renjana, wanita yang memiliki hatinya. Renjana yang hanya tersenyum kecil membalas renungan Adika namun dengan perasaan yang berbeza.

"Maafkan aku, Adika".

Renjana terus menapak laju meninggalkan Adika dengan hati yang berat. Raungan dan jeritan Adika yang meraung memanggil namanya berulang kali Renjana terpaksa abaikan. Semakin lama, raungan itu semakin samar apabila jarak mula dicipta antara mereka. Bibir menahan rasa sebak dalam hati. Tangisan yang ingin keluar dari anak matanya Renjana tahan.

Kecewa.

Renjana kecewa dengan dirinya yang tidak mampu memberikan perasaan yang sama kepada Adika. Lelaki itu sudah melayannya dengan baik selama mereka mengenali satu sama lain. Adika tidak layak merasa kesakitan ini hanya kerana Renjana. Adika terlalu baik, malah Adika layak mendapat wanita yang jauh lebih sempurna dari Renjana.

Tapak kaki Renjana terhenti.

Bumi terasa bergegar dengan kuat. Renjana melihat di sekelilingnya. Daun-daun turut jatuh menyembah bumi kerana pokok-pokok turut bergegar bersama.

Air liur Renjana telan dengan kasar. Rasa takut mulai menyelinap dalam dirinya. Apa yang sedang berlaku ini?

Tidak lama kemudian, jeritan orang kampung didengari diikuti dengan bunyi tapak kasut orang ramai yang sedang berlari laju meninggalkan kawasan perlabuhan yang berada dekat dengan kawasan Renjana. Melihat orang kampung turut berlari, Renjana turut berlari anak ke arah rombongan tersebut. Betul sangkaannya, semua orang kampung tengah berlari laju menuju ke rumah masing-masing.

Ibu-ibu sibuk menggendong anak masing-masing, pedagang-pedagang memikul barang dagangan masing-masing di pundak sambil berlari laju, anak-anak menjerit dan menangis ketakutan sambil tangan digenggam erat oleh ibu mereka untuk turut berlari bersama.

Bahu Renjana dirempuh. Hampir terjatuh Renjana dibuatnya, nasib dia sempat menahan tubuhnya sebelum jatuh ke tanah.

"Renjana?"

"Dahlia?"

"Ya Allah, kemana kau pergi? Puas aku cari kau. Ayuh cepat!"

Lengan Renjana diraih tanpa membuang masa lagi. Renjana ditarik untuk turut sama berlari menyelamatkan diri.

"Dahlia! Kenapa semua orang berlari?", soal Renjana sambil menahan nafasnya yang tidak teratur. Terpaksa dia menjerit sedikit kerana keadaan yang kucar-kacir membuatkan suaranya tenggelam.

Dahlia menarik nafas panjang dan dalam.

"British, Renjana", jawab Dahlia tercungap-cungap.

Renjana mengerutkan dahi.

"Ada apa dengan British?"

Dahlia menarik nafas panjang lagi.

"British..."

"British sudah mendarat".

RENJANA.Where stories live. Discover now