Shahida sibuk menyapu halaman rumah. Daun-daun kering di permukaan tanah disapu dan dikumpul di satu sudut halaman rumahnya. Anak saudaranya pula sedang cuba membaiki sebuah kereta lama di ruang garaj. Shahida berhenti sejenak menyapu halaman rumah. Anuar, anak saudaranya yang baru sahaja menutup bonet kereta dilihatnya dari jauh. Tiba-tiba Shahida mengelamun terkenangkan waktu anak saudaranya datang melawatnya di rumah dan menawarkan diri untuk menjaga dirinya yang keseorangan selepas suaminya meninggal dunia. Anuar hadir dalam hidupnya ketika dia memerlukan teman untuk mengisi kekosongan di hati.
"Mak Alang! Ada benda lain lagi tak yang Anuar boleh tolong?" suara lantang anak saudara yang bertanya dari ruang garaj secara tiba-tiba mengejutkan Shahida dari lamunannya.
Suasana halaman rumah kembali menjengah pandangan dan mindanya. Penyapu di tangan dihulurkan kepada Anuar. Anuar terus membantu mak saudaranya menyambung kerja menyapu halaman rumah. Shahida melabuhkan punggungnya di kerusi panjang dan berehat.
Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 70-an yang menunggang motosikal buruk tiba-tiba berhenti di depan rumahnya. Segera Shahida tahu lelaki tersebut adalah Haji Sudin, bapa saudaranya yang dia gelar sebagai Pak Andak. Entah apa berita yang dibawanya hari ini.
"Assalamualaikum Shahida," ucap Haji Sudin usai menanggalkan topi keledarnya.
"Waalaikumsalam Pak Andak. Pak Andak datang dari mana ni?" tanya Shahida.
"Dari warung kopi depan sana tu haa... Aku pergi makan mee rebus," jawab Haji Sudin.
"Apa khabar Tok Andak?" tanya Anuar sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
"Khabar baik... Sihat? Tak kerja ke hari ni?" tanya Haji Sudin sambil menghulurkan tangan menyambut salam cucu saudaranya yang jarang ditemuinya pada kebanyakan hari.
"Tak, hari ni cuti sebab bos masuk hospital. Tok Andak boraklah dengan Mak Alang dulu ya? Saya nak pergi menyapu di sebelah sana," kata Anuar sambil meminta diri.
"Iyalah... Tok Andak pun memang ada benda nak cakap dengan Mak Alang kau ni."
Setelah Anuar berlalu pergi, Shahida bertanya, "Pak Andak nak cakap pasal apa?"
"Sebenarnya aku datang ke sini nak menyampaikan hajat orang," ujar Haji Sudin.
"Hajat orang? Hajat nak meminang saya ke, Pak Pandak? Kan saya dah cakap hari tu, saya tak nak kahwin lagi. Belum ada orang yang boleh ganti tempat arwah," balas Shahida sambil melemparkan pandangan ke arah anak saudaranya yang sedang menyapu halaman.
"Eh, janganlah terus tolak! Fikirlah dulu. Yang meminang kau kali ni anak orang kaya Haji Deraman tau. Aku bagi kau satu minggu untuk fikir betul-betul. Rabu depan aku datang mintak jawapan dari kau. Macam mana? Boleh?" tanya Haji Sudin meminta kepastian.
"Suka hati Pak Andaklah. Saya tak nak janji apa-apa. Jadi jangan berharap sangatlah."
"Shahida, kau ni masih muda... Baru umur 40 tahun. Kalau kau tak kahwin lagi, siapa nak jaga kau nanti bila dah lanjut usia macam aku ni? Aku ni bertuah jugak masih ada Mak Andak kau. Takkan kau nak mengharap si Anuar pulak? Dia pun nanti nak ada bini. Bila dia dah kahwin nanti, nak ke dia jaga kau lagi macam sekarang ni?" tanya Haji Sudin lagi.
Shahida diam membisu seribu bahasa.
"Sekarang ni ramai lelaki kat kampung ni yang nakkan kau. Rugi kalau kau tak ambik peluang. Kau fikirlah masak-masak. Aku pergi dulu. Mak Andak kau tadi suruh beli barang sebelum balik ke rumah. Dah lambat sangat rasanya ni. Aku balik dulu. Assalamualaikum," ucap Haji Sudin sambil menghidupkan enjin motosikalnya dan berlalu pergi.
Shahida memandang bapa saudaranya yang sempat mengangkat tangan melambai Anuar sebelum dia berlalu pergi. Matanya kemudian turun ke tanah bersama seribu persoalan dan tanda tanya. Patut ke aku terima pinangan anak orang kaya Haji Deraman? Shahida berfikir sejenak. Memanglah ada beza antara hidup seorang diri dan hidup bersama seorang suami di sisi tapi sedap masa kat atas katil jelah, bisik hatinya yang sedang dilanda dilema.
YOU ARE READING
CINTA TAK KENAL SIAPA (MUSIM 1)
RomanceShahida menjanda untuk beberapa tahun setelah kematian suaminya. Anuar, anak saudaranya datang untuk membantunya menghadapi hidup yang sepi tanpa teman di sisi. Masih adakah sinar untuk hidupnya jadi lebih bermakna selepas ini?