'Jodoh itu bukan tentang siapa yang kita mahukan, tetapi siapa yang mampu melengkapkan hidup kita.'
Nuh meraup mukanya berkali-kali. Sesekali gadis muda yang duduk bersimpuh di depannya itu dilirik. Sudah hampir sejam gadis itu menangis.
"Kau ingat dengan menangis semua masalah boleh selesai ke?"
"Tak." Serak suara si gadis menjawab.
"Habis tu?"
"Saya minta maaf. Saya bukan nak perangkap awak. Awak..."
"Kau diam boleh tak? Jangan nak semakkan kepala aku yang dah sedia semak ni." Nuh picit dahi pula.
Dalam masa dua hari dia sampai ke kampung ini, dia sudah selamat bergelar seorang suami. Dia datang ke situ, mahu bercuti. Tenangkan hati dan perasaan selepas putus tunang tapi musibah pula yang dia dapat.
"Saya... Saya.." Puspa tersedu. Semuanya berlaku terlalu pantas. Dua hari lepas dia ditangkap khalwat dan malam ini dia sudah selamat diijab kabul.
"Aku nak tahu kenapa kau boleh selamba masuk ke chalet aku kalau kau tak ada niat nak perdajalkan aku?"
Puspa menggeleng. Air matanya mengalir deras mengingati detik cemas malam itu.
"Saya kena kejar."
Nuh ketawa. Ketawa yang dibuat-buat.
"Kena kejar dengan pocong? Ke pontianak?"
"Manusia yang bertopengkan syaitan."
Jawapan dari Puspa mematikan senyum sinis yang bergayut di bibir Nuh.
"Saya nyaris dirogol. Ibu tiri dan kakak tiri saya..." Puspa pejam mata. Sakit hatinya mengingatkan betapa tergamaknya Maznah dan Mawar memasang perangkap untuknya berdua-duaan dengan Haji Ali.
"Lelaki tua malam tu..." Puspa tekup muka. Jijik! Sumpah dia jijik teringatkan badan Haji Ali yang tak berbaju dan mahu memeluknya.
"Dari malam kita kena cekup kau asyik sebut lelaki tua. Lelaki tua yang mana? Dia ada ke masa kita nikah tadi?"
Puspa mengangguk.
"Haji Ali."
Terangkat kening Nuh. Macam dia ada terdengar tadi nama Haji Ali.
"Yang duduk sebelah abah kau ke?"
Puspa angguk lagi.
"Kenapa kau tak cakap aje kat abah kau?"
"Abah tak percaya saya. Abah dah buang saya." Ngongoi Puspa tak berkesudahan. Sudahlah dia kecewa dengan ibu dan Mawar, abah pula boleh percaya cakap ibu dan Mawar.
"Kau kena cakap elok-elok. Ini sibuk menangis." Tempelak Nuh geram. Dah bengkak mata gadis itu menangis.
"Abah cuma percaya apa yang ibu dan Kak Mawar cakap."
"Arghh!" Nuh kusutkan rambutnya. Dia sanggup nikahi gadis muda ini kerana dia tidak mahu orang kampung memandang serong pada gadis yang tak bersalah ini. Entah kenapa dia yakin dengan Puspa. Setiap cerita dari mulut Puspa dia percaya.
"Kau buat keputusan melulu bro." Luqman yang diam sedari tadi akhirnya bersuara.
"Aku tak salah. Dia ni pun. Serius aku tak tahu nak buat apa bila abah dia desak kami kahwin."
"Saya minta.. Maaf.." Tersangkut-sangkut suara Puspa. Dia sudah mengheret seorang lelaki yang tidak dia kenali ke dalam hidupnya.
"Sekarang ni bila kena tangkap khalwat tak semestinya kena kahwin." Ujar Luqman lagi.
"Di sini kampung. Agak-agak kau kalau aku tak kahwin dengan dia, ada ke orang lain nak peristerikan dia? Silap haribulan dia kena 'pulau' sampai ke tua."
"Allah." Luqman tepuk dahi.
"Kau ni baik hati. Kau sibuk fikir pasal gadis yang kau tak kenal ni dah kenapa?" Meninggi suara Luqman. Tak faham dia dengan Nuh. Baik tak bertempat sampai sanggup korbankan masa depan sendiri?
"Orang tua tu dah sentuh kau?" Soal Luqman seraya matanya tertumpu pada Puspa.
"Dia sempat peluk. Lepas tu saya tendang dia punya tut dan lari."
"See. Tak sentuh. Bukan nak mengandung pun. Kau pula bodoh pi galas tanggungjawab buat apa?" Luqman letak dua-dua tangan ke kepala. Sampai ke dia sekali sakit kepala fikirkan masalah Nuh.
"Saya betul-betul minta maaf. Malam itu pintu chalet ni terbuka, tu saya masuk sebab nak minta tolong."
"Kebetulan Si Nuh pula tengah mandi. Keluar dari bilik air dengan bertuala dan nampak kau dengan baju koyak kat bahu. Hebat! Dah macam jalan cerita dari dalam novel. Kau ingat aku nak percaya?" Sindir Luqman lagi.
"Luq.." Nuh menggeleng. Luqman makin buat kepala dia serabut.
"Sekarang ni dia dah jadi isteri kau. Aku tak nak ambil tahu dah apa nak jadi lepas ni. Aku nak balik chalet aku. Mengantuk." Luqman berlalu keluar dari ruangan chalet yang dihuni Nuh. Hari pun dah lewat malam.
Semasa akad nikah Nuh tadi, dia yang menjadi saksi. Terkejut? Memang dia terkejut. Dia langsung tak sangka dengan tindakan drastik yang Nuh ambil. Sangkanya Nuh akan menolak. Takkan kerana kecewa dengan Nayli, Nuh mahu mengakhiri zaman bujangnya tanpa berfikir panjang?
Nuh bangkit dari kerusi.
"Aku nak mandi dan solat. Kau tidurlah dulu."
"Saya.." Puspa turut bangkit berdiri. Takut-takut dia memandang wajah lelaki yang bergelar suami.
"Pakaian saya.." Puspa melirik pada badannya yang tersarung baju kurung riau berwarna merah jambu. Dia tiada baju untuk diganti.
Tak mungkin ibu atau Kak Mawarnya mahu datang menghantar baju. Abahnya lagilah tak mungkin.
"Kau boleh pakai baju aku. Sekejap." Nuh bergerak ke beg pakaiannya di tepi dinding. Sehelai tshirt putih dan seluar track hitam ditarik keluar lalu dihulur kepada Puspa.
"Kau pakailah. Tidur. Jangan tunggu aku." Nuh masuk ke dalam bilik air.
Sebaik pintu bilik air ditutup, Nuh sandarkan belakang badannya ke pintu. Hatinya masih berbelah bahagi. Betul ke keputusan yang dia ambil ini?
Terngiang-ngiang di telinganya bebelan Luqman siang tadi. Marah betul Luqman. Namun apakan daya, dia sudah terlanjur menyatakan persetujuan.
Melihat Puspa dipukul dan dimaki hamun oleh ibu tiri dan kakak tirinya saat mereka dicekup oleh orang-orang kampung, dia dapat rasakan Puspa perlu dilindungi.
Entah kenapa dia rasa kasihan dengan gadis itu.
"Puspa Sari." Nuh menyeru perlahan nama gadis yang dia nikahi.
Diluar sana, Puspa gelisah sendiri. Baju tshirt besar dan seluar track yang labuh buatkan kakinya langsung tak kelihatan. Nak berjalan pun payah.
Lantas dia melipat hujung kaki seluar hingga ke betis. Puas hati dengan penampilan diri, pantas Puspa sarungkan kembali tudung yang dia pakai semasa akad nikah tadi ke kepala. Dia tidak selesa untuk menayang rambutnya pada Nuh.
Sekilas pintu bilik air yang masih tertutup itu dipandang. Sudah lama lelaki itu di dalam sana. Mesti lelaki itu tidak selesa mahu berdua-duaan di dalam satu bilik dengannya.
Puspa hembus nafasnya panjang. Rasa bersalahnya tidak pernah surut. Andai dengan kata maaf dapat menenangkan hati lelaki itu, dia sanggup meminta maaf sepanjang malam.
Letih tercegat di tengah-tengah ruang bilik tidur itu, Puspa henyakkan punggungnya ke sofa.
Sejujurnya, hari ini hari yang cukup memenatkan. Walaupun tiada hantaran atau kenduri-kendara, dia tetap penat. Dari duduk bersandar perlahan-lahan badannya melorot. Kelopak matanya pula semakin lama semakin memberat sebelum semuanya berubah gelap.
YOU ARE READING
cinta hati CINDERELLA
RomanceKerana terpedaya dengan kata-kata ibu tiri dan kakak tirinya, Puspa terperangkap. Terperangkap di jalan yang kelam dan penuh liku. Dan disebabkan mahu menjaga nama baik serta maruah abahnya, dia mengalah walaupun berkahwin bukanlah sesuatu yang pern...