PUTRA mengangkat kepala tatkala matanya menangkap kelibat tubuh yang berdiri di muka pintu bilik bacaanya. Terpandangkan wajah serius itu, Putra segera mengalihkan pandangan ke dada lap-top di hadapannya. Pura-pura sibuk dan tidak mahu mengendahkan kedatangan lelaki itu di ruang ini. Dia perlukan masa untuk bersendiri bagi menyudahkan kerja-kerjanya yang bertimbun. Tidak cukup di pejabat, kerja-kerja itu diangkut pula ke rumah. Dan dia memang sudah terbiasa berjaga sehingga lewat malam demi memastikan kerjanya siap sempurna.
"Putra, we need to talk."
Tegas suara itu menerobos masuk ke dalam telinganya. Dengan malas dia mengangkat semula kepalanya. Pen yang dipegang sejak tadi dicampak ke atas mejanya yang berselerak dengan helaian-helaian kertas. Tajam matanya memandang ke arah Datuk Hamdi yang melangkah ke arah meja kerjanya. Perlahan-lahan lelaki tua itu melabuhkan duduk di atas kerusi berhadapan dengannya.
"Talk about what? I'm busy with my things..." balasnya acuh tak acuh. Seolah-olah sudah dapat menjangka apa yang mahu dikatakaan oleh lelaki itu. Apa lagi kalau bukan syarahan yang sudah kerap benar singgah di telinganya. Naik muak dia mendengarnya, asyik ulang benda yang sama.
"Banyak benda papa nak cakap dengan kamu." Datuk Hamdi menarik nafas dalam-dalam. Reaksi dingin Putra sudah tidak berbekas lagi di hatinya, dia sudah masak dengan perangai anak tunggalnya ini.
"Kalau papa nak cakap benda-benda yang tak ada kena mengena dengan kerja, I'm not interested," ucap Putra sedikit tegas. Dia mencapai fail laporan kewangan dan membeleknya tanpa minat. Sekadar menayang betapa sibuknya dia dan dia tidak ada banyak masa mahu mendengar bebelan papanya.
Datuk Hamdi terdiam sejenak. Putra ini seratus peratus berlawanan dengan sikapnya sendiri. Mungkin juga kerana sejak kecil hubungan mereka tidak serapat mana, jadi jurang itu semakin lebar dari hari ke hari. Dan kerana kekurangan perhatianlah, Putra membesar menjadi seorang lelaki yang berego tinggi. Cakapnya tidak boleh dibantah, kehendaknya harus dipatuhi tanpa kompromi dan segala keputusannya tidak boleh dikatakan tidak.
Dalam usia dua puluh lapan tahun ini, dia berharap benar Putra boleh berubah menjadi lelaki yang lebih baik dan berhemah. Bukan sekali dua dia mendengar cerita-cerita buruk tentang anak bujangnya ini. Aduan di kalangan pekerja tentang sikap keterlaluan Putra sudah saban waktu dihadam telinganya ini. Malahan sudah berpuluh orang pekerja berhenti kerja kerana tidak tahan dengan sikap baran dan cerewet Putra yang melampau itu. Kadang-kadang memang tidak masuk akal bunyinya. Kesilapan kecil pun beria-ia Putra mahu menjatuhkan hukuman, langsung tiada rasa bersalah. Yang malunya muka dia ini juga. Perangai buruk Putra memang menjadi buah mulut rakan-rakan korporatnya. Kalau bab kerja, anaknya memang tiptop, tetapi kalau bab-bab sikap, Putra memang hancur. Tidak boleh diharap!
Dan hari ini Putra mencipta satu lagi drama sebabak dalam mensyuarat penting tadi. Dia masih ingat wajah bengis anaknya memaki hamun gadis tea lady itu. Bilalah kamu nak berubah, Putra.... Mungkinkah kerana kamu membesar tanpa belaian seorang ibu, kamu jadi begini? Hati tuanya tidak mampu mencari jawapan. Kemungkinan itu memang ada.
Nafas ditarik perlahan dengan mata masih bergayut di wajah tampan anak bujangnya. Sempurna paras rupa tidak bermakna sikap juga seiring dengan kelebihan itu. Sayang sungguh Putra tidak bijak menggunakan kelebihannya dengan betul. Kacak tetapi dibenci orang buat apa. Putra terlalu angkuh dan sombong sehingga ramai yang tidak senang dengan kehadirannya.
"Hari ni ada kamu berhentikan pekerja papa?" soalnya setelah lama menyepi.
Putra yang sedang leka membelek dokumen di tangan mengangkat kepala dengan wajah serius. Dia diam kembali merenung kertas di tangannya. Tidak berminat mahu menjawab soalan itu.
YOU ARE READING
KALAU MEMANG HARUS BEGITU (ACIK LANA)
RomanceZidan Adiputra... seorang lelaki yang berkedudukan tinggi, tampan, bergaya dan menjadi buruan gadis-gadis yang menggilainya. Kerana itu, dia merasakan dirinya layak dilayan umpama seorang 'Tuan Putera'. Justeru semua orang harus memanggilnya dengan...