Genre: Fantasy, Friendship
Words: 667----------
Sesal.
Itu yang aku rasa.
Hampir setahun dia bersama denganku dan Iris tapi kami tidak menghargai kehadiran Suraya.
Kini, bila Suraya hilang lenyap dari pandangan kami berdua, baru terasa kehadirannya juga memberi makna.
Aku memandang pergelangan tanganku yang terukir dengan nama Iris dan Suraya.
Jejak Jiwa panggilannya. Mula terbentuk ketika umur seseorang mencapai 16 tahun dan akan terukir nama seseorang yang akan menjadi separuh dari jiwa raga aku.
Setahun yang lalu, hanya nama Iris yang terukir di pergelangangan tanganku.
Tapi sejak Suraya menghilang, namanya samar-samar muncul di pergelangan tanganku dan Iris.
Jejak Jiwa tiada gunanya bagi aku dan Iris jika Suraya tiada bersama.
----------------------------
Setahun lalu,
Getaran dari telefon pintarku itu menyedarkan aku dari lamunan, memikirkan perkara yang akan terjadi pada tahun aku genap berumur 16 tahun.
Sistem Jejak Jiwa
- Pertemuan Jejak Jiwa untuk kumpulan 23 akan berlaku di Taman Raga pada pukul 6 petang pada hari ini.
- Semoga berjaya menemui separuh jiwamu.
Aku mula mundar-mandir di dalam bilik, berasa teruja untuk bertemu dengan si dia.
---------------
"Iman Dahlia !" Namaku sayup-sayup kedengaran dipanggil dari hujung Taman Raga.
Aku mendekati suara itu sambil turut menyahut "Iris Kamelia?".
Aku tersenyum manis walaupun nafasku masih belum teratur akibat dari berlari kerana teruja ingin berjumpa dengan perempuan yang lebih suka dipanggil Iris itu.
"Samalah dengan Iman,"
Sejam berlalu antara pertemuan pertama aku dan Iris tapi terasa seperti sudah 10 tahun berkenalan. Kami bertukar cerita dan bergelak ketawa menghabiskan senja itu bersama.
Namun sesuatu yang tak terjangka berlaku.
"Iman Dahlia ?"
"Iris Kamelia ?"
Gema suara mencari aku dan Iris semakin dekat kedengaran. Aku memandang Iris dan akhirnya orang yang dinanti muncul di hadapan kami.
"Iman Dahlia dan Iris Kamelia ?" Dia bertanya. Aku dan Iris hanya mengangguk.
Tanpa suara, dia terus menunjukkan Jejak Jiwa yang jelas terukir IMAN DAHLIA, IRIS KAMELIA.
Aku dan Iris masing-masing keliru. Kenapa nama kami ada di pergelangan tangan Suraya tapi nama Suraya tiada di pergelangan aku dan Iris?
Aku merasakan ini mungkin ralat yang berlaku pada Jejak Jiwa. Di akhbar, ralat ini selalu menjadi tajuk laporan pada awal tahun. Selepas beberapa hari pasti nama Suraya akan terukir di Jejak Jiwa aku dan Iris.
----------------
4 bulan telah berlalu sejak pertemuan aku, Iris dan Suraya. Namun, ralat Jejak Jiwa masih belum dibaiki.
Ketika ini, aku dan Iris mula menjauh dari Suraya. Kami perlahan-lahan tidak mengendahkan kehadirannya. Setiap perbualan, aku dan Iris seakan tidak mahu dia menyertai.
Senyuman Suraya yang mulanya mekar mulai layu dan akhirnya tiada segaris senyuman terlukis di wajahnya. Aku dan Iris sedar akan perubahan tersebut tapi perasaan benci terhadapnya lebih menguasai diri.
Berbulan-bulan aku melayan Suraya seperti angin yang lalu dan pada suatu pagi, dia hilang seperti angin tanpa jejak.
Dua minggu pertama, aku dan Iris tidak merasakan kepergian Suraya. Lama baru kami mula merasakan kekosongan yang ditinggalkan oleh Suraya.
Aku dan Iris tekad untuk mencari Suraya dan melayannya seperti separuh jiwa kami walaupun tiada namanya di Jejak Jiwa kami.
--------
"Surayaaaaa!" Aku menjerit namanya.
Saat itu, Jejak Jiwaku terasa hangat. Ada sesuatu terukir samar-samar
LILI SURAYA
Mataku terbeliak memandang Jejak Jiwa dengan nama Suraya disitu. Jika nama ini terukir lebih awal, semua ini tak akan terjadi.
-------
Aku dan Iris berdiri di hadapan Taman Raga, dengan harapan tinggi untuk bertemu dengan Suraya di sini.
Aku dan Iris mencari namun kami hampa sekali lagi kerana Suraya tidak kelihatan.
"Dahlia,"
Iris menunjukkan aku seutas gelang dengan ukiran bunga Dahlia dan Kamelia terputus di hadapan sebuah pintu gerbang bewarna putih.
Aku mencapai gelang tersebut dan berjalan melalui pintu gerbang itu, merasakan Suraya berada di kawasan yang kelihatan suram itu.
Apa yang terjadi, bukan seperti yang aku fikirkan.
Kawasan yang penuh semak samun itu terus bertukar kepada kawasan yang dipenuhi dengan gerai-gerai jualan makanan seperti berada di tengah karnival.
Jauh di sana, aku melihat senyuman yang sudah berbulan aku rindu.
Aku menarik lengan Iris dan terus berlari menuju Suraya. Aku dan Iris memeluknya erat.
"Maafkan aku Suraya,"
"Aku maafkan,"
Dulu, aku terlalu menggilakan Jejak Jiwa.
Kini, aku sedar Jejak Jiwa hanya permainan orang yang tiada jiwa.
------
Setelah sekian lama akaun ni berhabuk, ada juga cerpen yang diup. Semoga semua enjoy baca cerpen ni.