Usai menyalin pakaian, Dian lantas mengatur langkah untuk pulang. Namun langkahnya mati tatkala susuk tubuh seseorang yang sedang duduk di hujung kafe sendirian mula menyapa pandangan. Senyuman kecil diukirkan seraya menghampiri gadis itu.
"Apa yang kau tengah buat tu, Zuha?"
"Err… aku cuma update blog aje. Tak ada apa pun," balas Zuha bersahaja.
Zuha berdeham sambil mengawal rentak di dada. Dia kurang gemar berkongsi cerita mengenai hobinya itu pada Dian. Sementelah, Dian merupakan salah seorang novelis yang agak dikenali ramai. Sudah tentu dia segan jika gadis itu membaca setiap coretannya.
"Kalau kau perlukan editor, boleh beritahu aku. Mana tahu suatu hari nanti cerita kau tu boleh dijadikan sebagai manuskrip lengkap? Bolehlah kau terbitkan novel macam aku pula."Sengaja Dian menawarkan diri demi menyelidik apa yang ditulis oleh Zuha selama ini. Gadis itu terlalu bijak menyembunyikan rahsianya. Rasa ingin tahu kian membuak-buak setiap kali dia melihat Zuha mula tenggelam dalam dunianya.
Mendengarkan tawaran itu, Zuha lantas terkekeh kecil. Skrin komputer riba segera dimatikan.
"Alah, tak perlulah. Aku menulis untuk suka-suka aje. Lagipun blog aku taklah famous mana. Tak ada orang pun nak baca apa yang aku tulis."
"Tapi kau nampak ralit sangat. Mesti seronok apa yang kau tulis tu, kan?"
"Mana ada. Aku cuma merepek aje. Eh, kau dah nak balik ke?"
Laju Zuha mengalihkan topik perbualan mereka. Dia tidak mahu Dian bertanya lebih lanjut. Tidak dinafikan mereka berdua agak rapat tapi Zuha lebih selesa simpan rahsia itu untuk dirinya sendiri.
Dian hampir menepuk dahinya. Baru teringat tujuan asalnya untuk bertemu Zuha.
"Aku baru teringat. Sebenarnya aku nak ajak kau pergi ke bengkel penulisan minggu depan. Kau free tak?"
"Bengkel penulisan? Berapa yurannya? Setahu aku benda macam ni berbayar. Harga pun boleh tahan juga."
Komputer riba lantas disimpan semula ke dalam beg sandang. Zuha kemudian memusingkan tubuh untuk menghadap Dian sambil menanti jawapan daripada gadis itu.
"Bengkel tu percuma. Aku dapat jemputan daripada pihak penganjur sebab aku pernah terbitkan buku bawah penerbitan diorang. So, kau nak ikut tak?"
Zuha diam sejenak. Wajahnya jelas ragu-ragu untuk memberikan jawapan. Fikirannya mula berputar sambil mempertimbangkan pelbagai perkara.
Melihatkan Zuha yang masih teragak-agak, Dian lantas merangkul lembut lengan gadis itu demi memujuknya. Dian tidak mahu menghadiri bengkel itu sendirian tapi dia sudah terlanjur janji dengan pihak penerbit. Sekurang-kurangnya biarlah ada Zuha sebagai peneman.
"Please, Zuha. Lagipun mana tahu kau boleh dapat inspirasi baru dekat sana. Kau kan suka menulis?"
Sudahnya Zuha menjatuhkan kepala perlahan-lahan. Meskipun hatinya berat untuk menerima ajakan tersebut, namun dia tidak sampai hati untuk menghampakan gadis itu.
"Okeylah. Aku ikut. Tapi aku tak nak masuk sesi depan-depan bercakap. Aku cuma datang sebab nak jadi pendengar aje."
"Tak kisah. Janji kau temankan aku."

ANDA SEDANG MEMBACA
HER BEAUTIFUL COMFORT (BAKAL TERBIT) | PBAKL 2025
Roman d'amourStatus: complete (Previous title: Her Beautiful Consolation) Zuha Mahfuzah x Zuhayr Muqri [Karya ketiga dari snowdreamm] Blurb: Di sebalik senyuman Zuha, tersembunyi luka lama yang masih berdarah. Hidupnya tenang namun seakan sepi, di mana sepi itu...