8

12.6K 665 22
                                    

Mata Zuhayr masih melekat pada skrin televisyen namun fikirannya sudah hanyut entah ke mana. Tiba-tiba saja bayangan gadis itu bermain-main di minda. Tanpa sedar, bibir mengukirkan senyuman halus. Tak sangka pula mereka berdua memiliki nama yang hampir serupa. Itu pun dia tahu setelah bertegur sapa dengan gadis itu di kafe siang tadi.

Ternaik sebelah kening Sofea tatkala melihat Zuhayr sedang tersenyum-senyum sambil menonton televisyen. Anehnya, babak yang sedang ditayangkan bukannya lucu bahkan penuh dengan kesedihan. Tapi tingkah Zuhayr menunjukkan sebaliknya. Dia lantas menyiku lembut lengan ibunya yang turut leka menonton di sebelahnya.

"Apa?" soal Datin Zareena sambil mengerling Sofea sekilas.

"Cuba mummy tengok along. Dari tadi tersengih macam kerang busuk," bisik Sofea bersama matanya tidak lepas memandang abangnya.

Serentak itu anak mata Datin Zareena beralih ke arah Zuhayr. Rasa hairan mula menerjah diri. Sudah lama dia tidak melihat Zuhayr senyum seperti itu.

"Ehem, along. Ada apa senyum-senyum tu?"

Kini semua mata tertumpu ke arah Zuhayr. Teguran ibunya membuatkan lelaki itu tiba-tiba gementar. Dia segera berdeham sambil membetulkan duduknya.
Ish, boleh pula kantoi!

"Tak ada apalah, mummy. Teringat lawak hambar Ris pagi tadi," Laju Zuhayr memberi alasan seraya mengawal riak wajahnya. Gara-gara teringatkan gadis itu, dia tidak sedar yang dia boleh tersenyum sampai begitu sekali.

Aduhai, memalukan sungguh!

"Eleh, yalah tu. Fea rasa selama ni along suka buat muka bila dengar lawak hambar abang Ris."

Sofea kenal benar sikap abang sulungnya itu. Zuhayr terlalu kedekut dengan senyuman. Tapi bila sekali senyum, mana-mana gadis pasti cair melihatnya.

Puas Sofea mentertawakan lelaki itu namun senyumannya mati mendadak apabila dia menyedari pandangan maut Zuhayr. Dia mula kecut perut. Serentak itu, Sofea bingkas bangun lalu berura-ura untuk masuk ke biliknya.

"Err, Fea lupa pula yang Fea ada assignment perlu disiapkan. Fea naik dululah."

Zhareef hanya ketawa kecil apabila melihat telatah adik bongsunya. Berani sangat mengusik abang sulung mereka. Tapi serta-merta melarikan diri kerana takut dimarahi oleh Zuhayr.

"Kasihan adik angah. Nak bergurau pun tak boleh. Kau ni garang sangatlah, along," ujar Zhareef seraya menumbuk perlahan bahu abangnya itu.

"Along pun bergurau aje." Zuhayr menggulingkan mata.

Datin Zareena sekadar menggeleng. Perangai tak matang langsung! Padahal Zuhayr sudah berumur 30 tahun tapi masih lagi gemar mencari gaduh dengan adik sendiri.

"Mummy tengok along sekarang makin sibuk. Along pun dah jarang balik sini."

"Biasalah, mummy. Banyak projek perlu diselesaikan dalam masa terdekat."

"Mummy tahulah along sibuk bekerja. Orang yang rajin bekerja ni bagus. Insya-Allah rezekinya melimpah-ruah. Tapi bila pula nak bawa balik orang yang boleh sama-sama berkongsi rezeki tu? Takkan along nak rasa rezeki tu sorang-sorang aje?"

Zuhayr sudah tidak senang duduk apabila dapat menangkap maksud kiasan ibunya. Sebetulnya dia tidak berminat jika soal jodoh dibangkitkan. Sementelah, kesibukan bekerja membuatkan Zuhayr tidak mempunyai masa untuk memikirkan tentangnya.

HER BEAUTIFUL COMFORT (BAKAL TERBIT) | PBAKL 2025Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang