Penulis : Karmila binti Razali, SMUS, Tahun 2
Irsyad merenung lama album lama keluarganya di atas meja. Dia kemudian tersenyum sendiri. Sungguh dia tidak sangka bahawa kata-katanya suatu ketika dahulu menjadi nyata. Natasha datang mendekat menyergah Irsyad yang termenung. Disuakan segelas teh kepada Irsyad yang masih lagi dalam dunianya sendiri, entah apa yang difikirkan lagi.
"Apa yang awak menungkan tu? Tersengih-sengih macam kerang busuk!" ujar Natasha bergurau.
"Takdelah, Sha. Saya teringat dulu saya selalu cakap yang saya tak akan ikut jejak langkah ayah saya tapi tengoklah sekarang, siapa yang dah termakan kata-kata sendiri?" balas Irsyad panjang.
"Apa yang ikut jejak langkah ayah awak tu?" soal Natasha, tidak dapat menangkap maksud Irsyad.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Imbas kembali 13 tahun yang lalu.
"Mama! Mama! Mamaa!" jeritan Irsyad dari jauh sudah kedengaran. Irsyad yangbaru pulang dari sekolah segera mendapatkan ibunya yang sibuk menjahit baju dibilik jahitannya dan memeluk erat ibunya.
"Kenapa ni Icad?" tanya ibunya lembut.
"Tadi dekat sekolah cikgu suruh buat pokok keluarga tapi Icad punya tak lengkap," jawab Irsyad menjelaskan keadaan mata dan hidungnya yang memerah kerana menangis.
"Tak apa Icad, Icad kan ada mama? Icad sayang mama kan? Dah, Icad pergi mandi sekejap lagi kita makan, boleh?" cubaan menenangkan dan memujuk Irsyad berjaya dengan sekali percubaan sahaja apabila Irsyad mengangguk dan berlalu ke biliknya.
Kehidupan Irsyad berbeza dengan kanak-kanak seumurnya waktu itu. Sejak ayah dan ibunya berpisah ketika dia berusia 14 tahun, ibunya bekerja keras untuk menyara kehidupan mereka berdua. Irsyad diajar oleh ibunya untuk memasak dan dilatih untuk menguruskan diri sendiri sejak kecil. Walaupun ibunya hanyalah seorang tukang jahit namun tidak pernah sekalipun mereka terputus bekalan makanan.
Menginjak dewasa, hubungan Irsyad dengan ayahnya terputus. Ayahnya menghilang dan tidak dapat dihubungi malah dijejaki. Lama-kelamaan Irsyad menjadi tawar hati dan perasaan mempunyai ayah hilang. Dia menganggap keluarganya cumalah ibunya. Dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan keluar dari kepompong kecilnya dan memberi kehidupan baru yang lebih baik kepada ibunya.
Bukan sahaja ayahnya, malah keluarga dari sebelah ayahnya juga bukan sesiapa bagi Irsyad. Pernah dia merayu-rayu kepada mereka untuk mencari ayahnya namun hampa. Mereka tidak menerima kedatangan Irsyad dengan menghinanya bertalu-talu. Dia sedar bahawa dirinya dibesarkan oleh ibunya sahaja, seorang yang berbangsa Cina tetapi agama mereka masih sama.
Sungguhpun ibunya berbangsa Cina, itu tidak dijadikan alasan untuk Irsyad tidak memahami dan menghayati agama Islam. Saudara mara sebelah ayahnya masih tidak dapat menerima hakikat bahawa ayahnya berkahwin dengan seorang wanita berbangsa Cina iaitu ibunya dan tinggal berjauhan dengan keluarga. Pada awalnya, perkahwinan ibu dan ayahnya berjalan lancar namun pelbagai dugaan menimpa sehingga keluarga ayahnya masuk campur. Ibunya yang tidak mahu memanjangkan cerita dan bersangka buruk, membawa Irsyad tinggal bersama di kampung halaman ibunya.
Irsyad dibesarkan oleh ibunya di kampung tersebut sehinggalah dia dewasa. Irsyad agak terkejut seawal pindahnya ke kampung itu kerana mereka dilayan dengan sangat baik walaupun penduduk kampung tersebut berbeza dari segi bangsa dan agama. Masing-masing menghormati antara satu sama lain dan memberi layanan yang sama rata kepada Irsyad dan ibunya.
YOU ARE READING
Bukan seperti Dia
Short StoryTersemat dalam diri Irsyad, bahawa dia tidak mahu menjadi seperti bapanya. Bersama ibunya dalam mengharungi kehidupan, Irsyad belajar nilai dan erti kekeluargaan.