Alor Setar
Mei, 2000.
"ABANG HAFIZ..." Wajah montel seorang budak perempuan terjengol dari pintu jelapang padi yang hanya tinggi beberapa jengkal daripada kepalanya. Budak lelaki berbaju melayu hijau lusuh yang sedang duduk tersandar di dinding jelapang yang sebahagiannya dipenuhi gemal padi yang telah diperun, tidak langsung memandang. Tangannya masih belum berhenti mengusap badan Si Kurap yang sudah makin lebat bulunya. Tidak seperti ketika mula-mula mereka jumpa di tepi bendang dahulu. Kurap yang dulu memutih di telinganya juga sudah beransur hilang.
Mya duduk bertinggung di hadapannya.
"Abang Hafiz sedih lagi ke?" Gadis cilik yang baru menginjak usia lima tahun itu terus memandang, walaupun budak lelaki yang lebih tua empat tahun daripadanya itu tidak memberi sebarang respon.
"Tok Bie dah tak boleh balik sini lagi, ya? Orang dah tanam dia dalam tanah," petah mulut si kecil itu berbicara lagi. Kata-kata Mya membuatkan air mata budak lelaki yang dipanggil 'Abang Hafiz' itu kembali gugur di pipinya. Si Kurap dilepaskan perlahan, sebelum mengesat air matanya dengan belakang tangannya. Anak kucing yang berbulu jingga berbelang hitam itu tidak pergi jauh. Hanya meleser-leser di tepi kakinya.
"Abang Hafiz jangan nangis ya... Mya ada, Tuk Wan Udin ada, umi dan ayah pun ada," Mya mula duduk bersimpuh di hadapan sahabatnya itu. Plastik kecil yang dibawanya tadi dibuka. Seketul kuih karipap diambil.
"Ni, pagi tadi Mya tolong umi buat karipap..." Ujar Mya bangga.
"Kita makan sama-sama ya?" Dia tersenyum comel pula.
"Satu..." Jemari halus itu lincah sahaja merepih bahagian kelim kuih karipap ditangannya. Tak menunggu lama, dia masukkan ke dalam mulut. Budak lelaki itu hanya memandang. Memang itulah yang selalu Mya lakukannya setiap kali mereka menikmati karipap buatan ibunya bersama-sama.
"Dua..." direpih lagi dan di masukkan ke dalam mulut seperti tadi.
"Tiga!" patahan yang ke tiga, juga berakhir ke dalam mulutnya. Karipap yang gondol tanpa bahagian yang berkelim ditepinya, dihulurkan kepada budak lelaki yang sudah mula mahu tersenyum memandangnya. Saki baki air mata di pipinya direlas-relas dengan tapak tangan sebelum menyambut huluran Mya. Mya tersenyum senang melihat satu-satunya sahabat yang dia ada sudah mula menggigit karipap itu sedikit. Tanpa berlengah dia mengeluarkan sebuah buku dan sebatang pensel dari beg kecil yang dia bawa bersama.
Bulat kecil, bulat kecil, bulat yang besar,
Sayang ibu, sayang ayah, selamat malam.
Enam hari Mya tunggu, abang seorang,
Enam kali, Mya sayang... anak beruang.
Di luar jelapang padi, kedengaran sayup-sayup suara comel mengalunkan lagu yang sering sahaja menceriakan hari-hari mereka. Bait lirik yang yang meniti di bibir mungil itu dan lukisan anak beruang yang terhasil bersama nyanyian tersebut sentiasa sahaja berjaya membuat senyum terlakar di wajah Abang Hafiznya.
YOU ARE READING
PEONY PUTIH BUAT MYA
RomanceSesuatu yang berlaku di dalam kehidupan manusia itu mungkin berlaku secara kebetulan atau mungkin juga dirancang. Bagi Sumayyah Hana, perjalanan hidupnya sentiasa berubah setiap kali mengenali lelaki bernama 'HAFIZ'. Hafidzuan Alden, Hafiz Fahri da...