16 tahun kemudian.
Johor Bahru, Mac 2016.
HAFIZ bermaksud pelindung. Pemelihara. Penjaga. Mungkin kebetulan, maksud di sebalik sebahagian namanya itu memang kena benar dengan keperibadian si empunya nama. Sejak mengenalinya, dia tidak pernah berhenti menjaga dan melindungi. Kerana nama itu jugalah Sumayyah tidak berfikir panjang untuk menyambut huluran cintanya. 'Hafiz' itu adalah nama yang sering terbawa dalam hidupnya sejak kecil. Nama yang tidak pernah luput dari dalam ingatan dan terpahat kukuh di dalam hati. Bagi Sumayyah, walau dimiliki oleh manusia yang berbeza, seorang yang bernama 'Hafiz' pastilah membawa sejuta kegembiraan dalam hidupnya. Seseorang yang benama 'Hafiz' juga tidak bakal pernah mengecewakannya. Dan ternyata kata hatinya itu benar.
Hafidzuan Alden. Sejak mengenalinya, lelaki itu tidak pernah berhenti menunjukkan rasa tanggungjawab walau hanya untuk hal-hal yang remeh. Sering cakna dengan apa sahaja perihal diri Sumayyah. Begitulah, dari awal perkenalan sehinggalah ke saat kematiannya...
Sumayyah tidak menyangka pagi Jumaat itu menjadi detik terakhir dia menatapi wajah Hafidzuan yang memang telah banyak berubah. Walaupun melewati gerbang besar di hadapan Kompleks Penjara Kluang itu bagaikan telah menjadi rutinnya setiap minggu sejak mula-mula Hafidzuan menjadi penghuni di situ, namun entah mengapa hari itu Hafidzuan beriya-iya meminta Sumayyah membawa Ammara bersama-sama.
Penampilannya sama sahaja dengan hari-hari sebelumnya. Berpakaian khas, sama seperti banduan-banduan lain di penjara itu. Cuma yang berbeza, kopiah putih yang menutupi sebahagian rambutnya. Dan buat pertama kalinya, Sumayyah menyaksikan air mata lelaki itu meleleh melewati pipinya yang kian cengkung. Entah berapa banyak kalimah ALLAH meniti di bibir pucatnya waktu itu. Mungkin wajah Ammara yang hanya dapat ditatap di sebalik cermin itu membuat hatinya berbaur rasa. Mungkin itu saja cara dia menzahirkan rasa gembira, atau mungkin juga sedih. Mungkin terkilan, atau mungkin menyesal. Mungkin.
Dia bukan lagi Hafidzuan Alden yang Sumayyah kenali lima tahun yang lalu. Hafidzuan yang tidak pernah takutkan apa pun. Tidak pernah kenal kesedihan dan air mata, tidak pernah kenal sejadah dan tidak pernah kenal TUHAN!
Berulang kali kata-kata maaf terpacul daripada mulutnya. Tangannya mengelus-elus cermin kaca di hadapannya, seolah mengelus pipi mungil Ammara yang sesekali merengek-rengek kecil di dalam dukungan Sumayyah. Inilah kali pertama Sumayyah membawa Ammara bertemu dengan 'bapa kandungnya' setelah hampir dua tahun dia hanya mampu membawa gambarnya sahaja untuk tatapan Hafidzuan. Berulang kali juga dia mendengar Hafidzuan mengulangi ayat yang sama; 'Sayang... anak secomel ini tidak boleh dibintikan dengan namanya. Bukankah lebih manis bunyinya jika disebut Ammara binti Hafidzuan Alden dan bukannya Ammara binti Abdullah!' Dan itulah kali pertama dan terakhir Hafidzuan menatap wajah montel Ammara. Hasil hubungan terlarang yang membesar sihat di dalam kantung rahim Sumayyah Hana dua tahun yang lepas.
Sumayyah faham apa yang dirasakan Hafidzuan. Kerana dia juga begitu. Setiap kali dia menatap wajah Ammara, peristiwa hitam itu tidak pernah gagal untuk singgah dalam fikirannya. Segalanya dilorongkan dengan mudah hingga membuatkan mereka terjatuh ke lembah dosa. Peristiwa itu bagaikan berlaku begitu sahaja. Tanpa sedar. Sedikitpun tidak terlintas dalam otaknya yang bayi comel ini bakal hadir dan memalit rasa bersalah yang tidak akan kunjung padam sepanjang hidup mereka berdua.
Alor Setar,
Mei, 2016
DALAM pada sibuk melayan rasa sayu yang bergayutan di tangkai hati, bibir Hafiz Fahri masih boleh tercarik senyum. Comelnya wajah budak perempuan yang hanya dikenalinya dengan nama Mya itu. Wajahnya bulat sahaja. Masih jelas terbayang-bayang pipinya yang tembam ketika dia asyik mengunyah kuih karipap kentang kegemarannya, tika itu.
Sudah lama tubuhnya tegak di situ. Di depan jelapang padi usang yang sudah hilang fungsi. Dulu, ketika mula-mula dia sampai ke kampung itu, jelapang itu masih digunakan untuk menyimpan gemal padi. Dua tiga tahun kemudian, bila padi-padi sudah tidak disimpan lagi dan mula dibawa ke kilang-kilang sebaik sahaja dituai, rata-rata penduduk kampung sudah tidak menggunakan jelapang lagi. Kebanyakan jelapang berubah fungsi daripada rumah padi kepada stor penyimpanan barang. Arwah toknya pula memang seorang yang pembersih. Jelapang itu disapu setiap masa dan dihampar pula selembar tikar mengkuang di tengah-tengahnya. Kemudian, barulah disusun rak-rak dan peralatan yang jarang mereka digunakan. Dan Jelapang di sebelah rumah tok wannya itulah tempat dia dan Mya bertemu sehari-hari. Bermain, melukis dan berkongsi cerita.
YOU ARE READING
PEONY PUTIH BUAT MYA
RomanceSesuatu yang berlaku di dalam kehidupan manusia itu mungkin berlaku secara kebetulan atau mungkin juga dirancang. Bagi Sumayyah Hana, perjalanan hidupnya sentiasa berubah setiap kali mengenali lelaki bernama 'HAFIZ'. Hafidzuan Alden, Hafiz Fahri da...