BARU saja Nufa melangkah masuk ke dalam rumah, dia sudah diterpa Najwa. Tangannya ditarik Najwa ke sofa dan duduk. Dia sudah memandang hairan adiknya yang sudah tersengih-sengih itu. Macam ada sesuatu saja. Bukannya dia tak kenal perangai Najwa."Kenapa sengih-sengih macam tu? Ada apa-apa nak daripada akak ke?" Nufa bertanya tanpa menunggu lagi.
"Musim-musim panas ni kan, best kalau mandi sungai." Najwa senyum makin lebar.
"Jangan mengarut. Akak tak nak pergi. Wa tu berdarah manis. Tak elok kalau pergi tempat macam tu. Lagi sebulan lebih Wa dengan Aliff nak kahwin. Akak tak nak." Serta-merta Nufa melarang. Dia tak akan bersetuju dengan cadangan Najwa walaupun ada betulnya kata Najwa itu. Seronok jikalau bermandi-manda di sungai ketika musim panas begini.
"Alaa... akak. Sebulan lagi. Masih lama." Najwa memujuk sambil menayang muka simpati. Tangan kakaknya dielus-elus lembut.
"Nanti ibu ayah marah, Wa. Akak tak nak. Ibu ayah dah larang. Kalau terjadi apa-apa, macam mana?" Kali ini suara Nufa kian bertegas. Duduknya juga sudah tegak menghadap Najwa yang masih memujuk.
"Kalau akak tak nak pergi, tak apalah. Wa pergi dengan Najmi. Mi, jom teman aku pergi sungai." Najwa mengajak Najmi pula yang sedang leka bermain game dalam telefonnya.
"Malaslah aku. Apa kata Kak Nufa tu betul. Kak Wa berdarah manis. Ibu ayah dah larang tak bagi pergi situ." Najmi pula melarang.
Nufa mengangguk. Lega Najmi berpihak kepadanya. Najwa bukan tak tahu perangainya. Boleh tahan degil.
"Tak apalah. Wa pergi sendiri." Najwa bingkas bangun dan ke bilik untuk mengambil beg yang telah dia sediakan.
Terbuntang mata Nufa mendengar bicara selamba Najwa. Langsung tak takut dengan amaran ibu dan ayah. Tanpa buang masa, Nufa bangun. Tapi, Najwa terlebih dulu keluar bersama beg.
"Kau ni degillah, Wa. Ibu ayah dah larang kan." Bengang betul Nufa dengan sikap Najwa. Tak makan saman.
"Nak ikut ke tak nak? Kalau nak, pergi bersiap. Kau pun sama, Mi. Wa tunggu kat kereta." Bersahaja Najwa berkata sebelum berlalu keluar.
"Mi, jom ikut kami. Degil betul kakak kau tu," dengus Nufa tak puas hati. Tak pasal dia kena ikut serta.
"Adik akak jugak. Bukannya kakak Mi sorang." Dengan malas Najmi membuntuti Nufa. Terpaksa akur dengan kedegilan Najwa.
"KAK Nufa tak nak mandi ke?" laung Najwa yang teruja berada dalam air sungai itu.
"Mandilah korang dua. Akak tak nak." Cukuplah dia rendam kaki saja bagi merasai kedinginan air sungai. Sudah lama mereka tidak ke sini. Kali akhir mereka ke sini tahun lepas. Ketika itu ibu dan ayah mereka turut serta bersama.
Melihat air sungai yang mengalir tenang membuatkan Nufa leka seketika. Adiknya Najwa tidak lama lagi akan menamatkan zaman bujang. Untung jadi Najwa. Cantik adiknya itu. Ditemukan pula dengan seorang jejaka yang juga kacak. Sepadan dengan Najwa. Malah, Aliff juga cinta pertama Najwa.
Sedangkan dia, setiap perhubungan tidak pernah berkekal lama. Terputus di tengah jalan tanpa sempat mengenali lebih dalam. Dia tidaklah secantik Najwa. Dia juga tidaklah sepandai Najwa yang menjawat jawatan tinggi dalam sebuah syarikat. Tetapi dia, hanya seorang pembantu tadika. Itu pun dia sudah cukup bersyukur. Rezeki.
"Kak Nufa!"
Laungan daripada Najmi menyentak lamunan Nufa. Mata terus meliar mencari Najmi. Kelihatan Najmi sedang resah dan panik seperti mencari sesuatu.
"Kak Nufa, tolong! Kak Wa lemas!"
"Apa?" Bagai hendak tercabut jantung yang ada tatkala sebaris ayat itu singgah di halwa telinga. Buru-buru Nufa terjun ke dalam sungai yang sedang mengalir deras.
"Kak Wa lemas di bahagian air terjun sana," beritahu Najmi seraya menyelam ke dalam air. Cuba mencari sebatang tubuh milik Najwa. Namun, penglihatannya terhad disebabkan air yang keruh di dasarnya.
Kalut Nufa menyelam, turut sama mencari. Perkara yang dia takuti telah terjadi. Patutlah rasa hatinya tidak enak sejak dari rumah. Rupanya itu adalah satu petanda tidak baik. Kenapa kau degil, Wa?
Beberapa minit mencari, akhirnya Najmi menjumpai Najwa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
🌸🌸🌸🌸🌸
Maaflah kalau gaya saya baku.
Thankyou✨
07102023
YOU ARE READING
Biar Aku Jadi Ganti
Romance"Saya tak minta semua tu jadi." "Jadi ganti pun sebenarnya kau tak layak." Start : 07 10 2023 End : 26 10 2023 🌻Karya asli xtheaura. ❌Dilarang ciplak, plagiat dan seangkatan dengannya.