bab 1

41 3 0
                                    

Pasir yang bermaharajalela di kakinya tidak menjadi penghalang untuk dia menikmati apa yang terbentang di hadapannya. Langit yang sudah bertukar warna menjadi tatapan matanya sekarang.

Ya, memang tidak elok jika berada di luar pada waktu sebegitu. Tapi... dia suka bila dapat lihat langit bertukar warna. Masa itulah dia mahu memuji betapa indahnya ciptaan Ilahi berkali-kali.

Ombak yang menghempas tanpa jemu juga telah menjadi halwa telinganya sejak dia tiba di pantai itu. Ia lebih indah daripada lagu-lagu yang biasa dia dengar selama ini. Baginya, bunyi-bunyi di situ tidak ternilai. Tidak mudah untuk rasa perasaan itu secara mendalam.

Dhani Akwa menguntum senyum. Kedua-dua tangannya menyeluk poket seluar. Ya, sudah lama dia tidak berasa setenang ini. Secara tidak langsung, mindanya mula teringatkan hal-hal lalu. Di mana ada kenangan yang dirasakan baik, mula menjengah fikirannya.

Tiba-tiba, kakinya terasa seperti ada benda yang telah melanggarnya. Pantas kepalanya menunduk ke bawah sebelum dia dapat lihat sebiji bola pantai sudah berada di belakangnya. Dhani menunduk dan mengambil bola tersebut.

"Abang, nak bola tu," tegur salah seorang budak yang ada di situ. Dhani menoleh daripada terus memandang bola di tangannya. Dia pasti, budak itu sedang bercakap dengannya.

Matanya memandang bola tadi. "Nah," hulurnya sambil tersenyum kecil. Budak perempuan tadi mula menunjukkan reaksi gembira sebelum mengucapkan terima kasih. Kedua belah tangannya dihulurkan kepada Dhani untuk mengambil bola yang masih berada di dalam pegangan Dhani. 

Dhani hanya beri tanpa mengeluarkan sebarang suara. Dapat saja bolanya, budak tadi terus berlari ke arah ibunya. Dhani hanya memandang. Dia masih mahu menikmati suasana pantai yang jarang-jarang dia dapat nikmati.

Kehidupannya selepas kejadian itu tidak mengubah hidup dan personalitinya sebagai seorang lelaki introvert. Dia masih memilih untuk hidup seorang diri, tanpa memberi peluang untuk orang lain mendekatinya.

Rasa macam... entahlah. Dia sudah selesa hidup sendiri.

"Ibu, inilah abang yang tolong Adell tadi!"

Suara budak perempuan tadi kembali menjengah telinga Dhani. Matanya galak mencari kelibat budak kecil itu. Bahagian kiri seluarnya terasa ditarik, dan apabila dia menunduk, budak perempuan tadi sudah berada di sampingnya. Sekali lagi dia menguntum senyuman kecil apabila mengenangkan gelagat budak yang menggelarkan dirinya sebagai Adell itu.

Dhani angkat kepala. Secara tidak sengaja, dia terpandang sang ibu yang setia berada di sebelah anaknya. Dhani hampir melatah apabila melihat cara pemakaian wanita itu. Bukan kerana takut, tetapi kagum. Dengan cuaca sekarang, dirinya masih sanggup mengenakan niqab yang telah melindung wajahnya daripada tatapan mata-mata asing.

Masih wujud wanita semahal ini, ya?

"Ah... tolong ambil bola je pun." Dhani mula bersifat merendah diri. Segan pula apabila ada budak bercerita tentang kebaikan yang dia buat. Padahal, hal kecil saja. Tapi, nilainya terlalu besar untuk budak yang memiliki hati yang suci.

Sebenarnya, Dhani segan dengan ibu kepada Adell. Yalah, dia pun bukanlah baik mana. Tiba-tiba datang wanita yang terang-terangan mempunyai personaliti yang baik. Kalau bercakap soal agama, jangan cakaplah.

"Tak, tak. Terima kasih sebab sudi tolong anak saya. Kalau tak ada apa-apa, kami balik dulu." Tangannya menarik tangan Adell dengan lembut. Risau jika tangan anaknya sakit kerananya.

Hati Dhani meronta-ronta supaya menghalang wanita itu pergi. Ada sesuatu yang menyuruh hatinya supaya melengahkan perempuan tadi daripada pergi. Lebih-lebih lagi dengan sepasang matanya yang terdedah. Dia seakan-akan kenal dengan pandangan itu.

Tapi, adakah sangkaannya benar?

"Kita pernah jumpa, ke?" Tidak dapat menahan diri, akhirnya dia bertanya. Wanita itu pusingkan tubuh menghadap Dhani sekali lagi.

"Apa?" Wanita tadi bertanya. Dia tidak dapat dengar dengan jelas dengan apa yang ditanya oleh Dhani.

Dhani geleng. "Nothing, maybe I was wrong." Dhani membetulkan silap sendiri. Mungkin betul, dia silap orang. Mana mungkin Ryn mahu muncul di hadapannya lagi. Ryn kan sudah ada hidupnya sendiri.

Wanita tadi angguk sebelum mengundur diri. Kini, Dhani keseorangan lagi. Seperti dirinya yang hanya berseorangan tanpa peneman.

Kau, semestakuWhere stories live. Discover now