Bab 6

11.1K 690 44
                                    

Yara melepaskan keluhan berat. Tiga hari yang dimintanya daripada Attar telah berakhir hari ini. Kekhuatiran mengenai keputusan yang akan dibuat masih tersisa. Dengan hati yang separa rela, butang panggil pada skrin iPhone ditekan juga. Kegelisahan yang menyelubungi dirinya diketepikan buat seketika.

"Assalamualaikum, ma."

"Waalaikumussalam kak. Awat ada apa?”

Yara menggigit bibir, sedikit gelisah apabila panggilannya dijawab.

"Kak sebenaqnya nak habaq dekat mama ni…”

“Ha, habaq la. Hang nak habaq apa?”

“Sebenaqnya, ada sorang laki yang nak masuk meminang kakak." Mahu tak mahu, hal itu diluahkannya juga dengan muka yang terasa hangat.

Terdiam Puan Wahidah yang mendengar. Pasti wanita itu sukar untuk percaya dengan berita yang menyapa halwa telinganya. Anak sulung yang selalu sahaja mengelat setiap kali hal perkahwinan dibincangkan tiba-tiba menghubunginya soal kahwin? Sihat ke tidak budak ni? Tak ada angin tak ada ribut. Tiba-tiba nak berkahwin.

"Betui-betui la kak. Benda lagu ni jangan dok buat main nah. Ingat hang tak mau kawin sampai bila-bila dah. Baguih la kalau lagu tu. Kenai macam mana? Dia kerja apa? Orang mana? Hang nak habaq pon dalam telefon.” Bertalu-talu pertanyaan yang dilontarkan oleh Puan Wahidah. Siapa yang tidak terkejut kalau berada di posisinya.

"Dia kerja... kak lupa la nak tanya ma tapi dia dok KL. Mesti dia kerja elok kalau dia duduk dekat hotel lima bintang sama macam kakak. Daripada cara dia berpakaian pun boleh nampak yang dia berduit." Ahh, silapnya juga. Main redah saja. Macam mana hal penting macam ini dia boleh tak terfikir nak bertanya. Terlalu selesakah dia dengan kehadiran Attar?

"Kawin ni bukan benda main-main nah. Tanya bagi habis. Selidik bagi habis. Tengok dia kerja apa, solat dia terjaga dak, mampu dak dia nak bagi nafkah dekat hang apa semua. Family dia macam mana. Nak kawin buat cara nak kawin. Hang ni buat mama terkejut sungguh la." Bebel Puan Wahidah dalam loghat utaranya.

Ini yang Yara malas. Hubungan dia dengan mamanya tidak pernah akrab. Anak sulunglah katakan. Sudah terlalu banyak dia makan hati tapi apa yang boleh dibuat kalau dah namanya ibu. Syurga seorang Yara Ameena terletak pada Puan Wahidah. Dan dia sendiri juga sedar yang mamanya juga sudah banyak kali terluka dengan sikap dan kata-katanya yang kerap kali tak dijaga. Yara menghela nafas berat.

"Mama, balik nanti la kak cerita lain noh. Ada kerja nak buat ni." Kalau dibiar lebih lama, Yara risau seandainya nada suaranya bertukar rimas. Dia sebenarnya segan untuk bercakap tentang hal perkahwinan dengan ibunya tapi kalau bukan dengan mamanya dengan siapa lagi dia nak beritahu. Abahnya sudah meninggal beberapa tahun yang lalu disebabkan serangan jantung.

"Hang ada dekat Langkawi lagi ka ni?"

"Ya, ma. Ada kat sini lagi. Esok kak balik. Assalamualaikum ma."

"Waalaikumussalam." Jawab Puan Wahidah sebelum dia mematikan talian.

Entah kenapa tiba-tiba Yara berasa sebak. Rasa seperti mahu menghamburkan segala beban yang terbuku di hati dengan menjerit sekuat hati dan menangis semahu-mahunya. Hatinya penat dan tak ada siapa yang akan faham melainkan Allah SWT. Keluhan panjang dilepaskan.

Kadang-kadang, lari dari masalah itu jauh lebih baik daripada cuba menyelesaikannya ketika emosi dan mental tidak berada dalam keadaan baik. Selagi boleh dielakkan, dia akan elak. Yara sudah terlalu lelah, atau mungkin dia seorang yang pengecut, pecundang yang lebih memilih untuk berlari ketika berhadapan dengan masalah.

Perihal lamaran Attar, hati Yara berasa semakin yakin untuk menerima lamaran jejaka itu. Dia tidak tahu kenapa dan mengapa cuma itulah hakikat yang dia cuba untuk terima. Umurnya bukan semakin muda untuk menangguh urusan pernikahan lebih lama. Kalau diikutkan rasa takut rasa itu tidak akan pernah hilang.

Bunyi notifikasi Whatsapp yang masuk mengembalikan semula perhatiannya ke alam realiti. Pandangan dialih ke skrin telefon di sebelah.

[Attar] D-day: Assalamualaikum, small butterfly. Saya dah sediakan sekotak tisu dekat sebelah saya. Harapnya, saya tak perlu guna tisu ni.

Yara mengulum senyum setelah mesej yang dihantar oleh Attar dibacanya. Wajah mula menghangat. Tanpa menunggu lama, mesej itu dibalasnya dengan senyuman yang tergores mudah di muka.

[Yara] Waalaikumussalam, Attar. Alhamdulillah, saya terima lamaran awak.

Dia sudah tidak mahu berfikir panjang lagi apabila Yang Esa sudah memberikan petunjuk kepadanya. Dengan izin Allah, Attar adalah lelaki yang tepat untuk dijadikan suami. Nalurinya tidak mungkin berbohong. Perkahwinan juga merupakan salah satu ibadah.

Sekiranya tidak kerana video yang lalu di fyp TikToknya semalam, mungkin keraguan hatinya tidak akan pudar. Kaum wanita nak masuk syurga itu mudah. Jaga empat perkara iaitu solat, puasa, maruah diri, dan taat perintah suami. Serunya, mungkin sudah sampai. Bila terfikir balik, mungkin tak akan ada lagi lelaki seperti Attar. Berani meluahkan isi hati seperti itu sampai dunianya jadi kacau beberapa hari. Entah angau atau apa, namun kepalanya cuma diisi dengan wajah Attar dan kata-kata lelaki itu.

[Attar] Alhamdulillah, Maha suci Allah. Doa saya hampir termakbul.

[Yara] Hampir termakbul?

[Attar] Selagi saya belum lafazkan akad, doa saya belum sepenuhnya makbul.

Oh… itu yang dimaksudkan Attar rupanya. Yara membaca mesej daripada jejaka itu tanpa membalasnya semula. Nak mesej lebih-lebih, mereka masih belum halal. Cukuplah sekadar yang perlu. Sekerasnya Yara tidak mahu memiliki cinta dengan cara yang salah. Tak bermakna dia baik. Dia sendiri juga sama seperti yang lain. Tidak lari daripada berperang dengan hawa nafsu.

[Attar] Lagi satu, boleh bagitau saya bila awak lapang? Jangan lupa send location sekali. Saya nak bawa ummi dengan walid jumpa keluarga awak. Terima kasih, small butterfly. Jumpa nanti.

Yara memejam kelopak matanya seketika setelah dia membaca mesej terakhir daripada Attar itu. Nampaknya, tahap keseriusan jejaka itu tidak dapat dipersoalkan lagi. Perasaan gugup mula menyerang tatkala dia memikirkan tanggungjawab yang akan digalasnya sebagai seorang isteri sekiranya hal itu benar-benar berlaku. Adakah dia sudah bersedia?

Allahuakbar! Betulkah apa yang aku buat ni? Wajahnya diraup kasar. Kuatkah mental Yara untuk menghadap satu titik perubahan yang agak besar dalam hidupnya?

Kasih Kita Sempurna (BAKAL TERBIT)Where stories live. Discover now