Sepasang Pasangan Yang Bercinta Lewat Cebisan Memori

14 2 0
                                    

Sanggul rambut yang sudah terburai diikat rapi. Laysha menyandarkan kepala beratnya di kepala sofa. Letih usai menamatkan operasi mengemas rumah. Bersih dan elok tatarias seantero rumah ini hasil titik peluhnya. Laysha senyum puas hati. Tak sia-sia mengemas walaupun terpaksa ingkar arahan suami.

Kebelakangan ini, dia kerap sakit kepala. Tidak begitu serius, hanya berdenyut pelan di bahagian pelipis kanan.

Kadang-kadang penglihatannya juga turut kabur tapi tidaklah mengalami kesan yang teruk sehingga mengganggu rutin hariannya.

Dia mengadu tentang ini kepada Haidhar dan balasan suaminya apa?

"Sayang jangan buat kerja banyak sangat. Rehat. Jangan lupa makan ubat."

"Sayang duduk aje. Tak payah buat apa-apa. Saya balik dari hospital saya buat kerja rumah kita, ya?"

Dan pelbagai lagi pesanan itu ini daripadanya. Doktor, banyaklah pantang larang dia berikan. Pantang larang yang Laysha mendengarnya, terus menarik cebik. Mana boleh dia duduk rumah tak buat apa-apa. Berehat saja makin berat pula kepalanya. Benak, tak aktif bergerak.

Tunggu Haidhar balik kerja letih-letih pula buatkan? Lagilah tak boleh dia biarkan itu berlaku.

Sekalipun lelaki itu tidak kisah tetapi dia tahu perasaan letih sepulangnya dari kerja itu bagaimana. Dia tak tergamak buat begitu. Sakit di kepalanya ini, tak teruk mana pun yang Haidhar risau bukan kepalang. Dia masih boleh berjalan ke sana ke mari dengan stabil.

Laysha diam, termenung sejenak. Tertanya-tanya juga, kenapa dia sering mengalami sakit kepala? Adakah kerana dia terlalu stres?

Kepala digeleng laju. Tidak berpuas hati dengan suara hatinya, Laysha berpeluk tubuh. Kalau dia stres, puncanya apa? Kerja pun dia tiada. Masanya banyak dipersia di rumah saja.

Pelik, tapi selagi boleh tahan, dia tahankan saja. Telan dua biji paracatemol, hilanglah sakit kepalanya.

Laysha mengadahkan kepala merenung siling bersih ruang tamu besar itu. Beginilah rutin hidup dia sepanjang hari. Bangun pagi siapkan sarapan suami, tengah hari pula kemas rumah. Tak adalah setiap hari tapi kalau sudah selalu buat, penat juga. Tapi alah bisa, tegal biasa. Letih pun sudah terbiasa.

Haidhar selalu pulang makan di rumah juga bila masuk lunch hour. Kadang datang angin Laysha malas memasak, dia angkut si isteri makan di luar. Sekali-sekala meluangkan masa bersama di luar. Dia pun tahu isterinya itu bosan asyik terperap di rumah saja.

Sedih juga hidup seorang Laysha Mayazara. Semenjak Laysha diberhentikan kerja kerana butik tempat kerjanya sebelum ini jatuh muflis, di rumah sajalah tempat dia melepak.

Bukannya dia culas hendak mencari kerja baru, sudah sedaya-upaya dia cuba mencari kerja kosong di mana-mana, tetap tak dijumpai. Mencari kerja kosong dalam zaman serba canggih ini memang sungguh mencabar.

Apa-apa pun, dia percaya, rezekinya sudah termaktub tetapi bukan sekarang. Dia pun tidak kisah sebenarnya tinggal di rumah ini. Suasananya sunyi, sunyi tapi aman. Besar, tapi selamat.

Tegakkan postur tubuh, Laysha bingkas bangun. Dia mahu membersihkan diri. Rimas kerana badan sendiri melekit-lekit.

Setengah jam selesai urusan mandi, Laysha keluar dari bilik air. Kakinya berjalan sedikit lambat dari kebiasaan.

Dia membuka gerobok yang menempatkan baju-bajunya. Begitu dia membuka, bibirnya terherot ke sisi. Dia mengeluh kecil. Satu per satu baju dalam almari– yang selalu dia sarung ke badan setiap hari, Laysha pandang melalui ekor mata. Bosan! Tiada langsung baju yang hatinya berkenan untuk pakai.

Sejenak, Laysha tersenyum senget. Terbit idea nakal di benaknya. Dia melangkah ke almari sebelah, almari milik Haidhar. Pintu dibuka. Semerbak bau wangi dan segar melintasi rongga hidung. Terpejam-pejam mata Laysha mencium bau minyak wangi yang sentiasa menjadi kesukaannya, wangian khas Haidhar. Vanilla.

[EBOOK] Jaga Aku Sehingga Syurga (Extended ver.)Where stories live. Discover now