Melupakan seseorang yang telah memberimu banyak kenangan untuk diingati adalah satu hal yang sangat sulit.
KOTAK yang terisi buku-buku ketika zaman belajar dulu di tolak ke bawah meja belajar. Dia akan tinggalkan di situ buat sementara waktu kerana rumahnya hanya ada dua bilik. Satu bilik diduduki mak manakala satu bilik lagi untuknya.
Ya, rumah teres kos rendah itu agak kecil tetapi sangat nyaman bagi Suha. Setelah bertahun-tahun berada diperantauan akhirnya dia kembali semula ke sini. Selepas tamat SPM, dia diterima masuk ke UITM untuk pengajian asasi dalam bidang undang-undang. Kemudian dia sambung pula mengambil ijazah sarjana muda sehinggalah ke ijazah sarjana dalam bidang yang sama.
Dia hanya pulang ke kampung ketika cuti semester dan perayaan sahaja. Itu pun ada kala cuti semesternya dihabiskan dengan melakukan kerja sambilan berdekatan kampus membuatkan dia tak dapat pulang menjenguk mak.
Setelah tamat master barulah dia berminat untuk buat chambering di salah sebuah firma di Kuala Lumpur. Chambering tu adalah salah satu latihan yang wajib dilalui pelajar undang-undang untuk layak menjadi seorang peguam. Dan chambering atau dipanggil pupillage itu mengambil masa 9 bulan. Bertambah lagi masa berjauhan dengan mak.
Mujur mak sangat memahami dirinya. Mak biarkan dia bebas untuk menimba pengalaman hidup. Mak mahu Suha berjaya dan menjadi wanita yang kuat. Keluar dari kampung untuk berjumpa orang yang punya banyak karenah agar mendidik diri Suha menjadi lebih matang dari segi permikiran dan pembawaan diri. Yang penting iman kena sentiasa jaga.
Dan Suha dah jumpa bermacam manusia. Ada betulnya apa yang mak kata.
Bilik yang dah dia huni semenjak kecil itu direnung lama. Bilik serba merah jambu kerana dulu Suha obses dengan Hello Kitty. Dia anak tunggal abah dan mak, jadi orang tuanya ikut saja semua permintaannya. Nada Nasuha anak yang dinanti abah dan mak sejak bertahun-tahun. Ketika perkahwinan orang tuanya menginjak tahun ke 12, barulah dia hadir menyerikan lagi keluarga itu.
Suha anak manja. Ditatang dengan penuh kasih sayang. Walaupun abah hanya tukang kebun sekolah dan mak penjual sarapan pagi di depan rumah, tapi hidup mereka bertiga sangat tenang. Segalanya bagi mereka cukup.
Bilik yang hanya memuatkan satu katil bujang, almari dua pintu dan meja belajar itu menyimpan kenangan tersendiri.
Seorang lelaki yang pernah mengambil sedikit ruang di hatinya pernah menghuni bilik ini. Walaupun dah bertahun-tahun perkara ini berlalu, tapi kenangan bersama lelaki itu sentiasa tersemat diingatan.
Menjadi kenangan indah dan juga pahit untuk dikenang. Dia hilang jejak lelaki itu sejak mereka dapat keputusan SPM. Suha membawa diri setelah dia rasa dirinya tak layak bergandingan dengan lelaki itu.
Dia pipit... sedangkan lelaki itu enggang.
YOU ARE READING
Mr Troublemaker
ChickLitFAHIM DAN NASUHA Fahim si atlet sekolah. Suha si kaki buku. Pantang berjumpa ada saja benda yang nak digaduhkan. Tapi semuanya bermula dari Fahim yang memang terkenal dengan perangai suka perdajal orang. Bagi Suha, Fahim bukan saja menjengkelkan. T...