Always forgive your enemies, nothing annoys them so much.
Sekolah Berasrama Penuh Titian Emas (SBPTE)
NASUHA berjalan dari arah aspuri ke kelas dengan rasa termengah-mengah. Beratnya yang hampir mencecah 100 kg itu membuatkan cara jalannya seperti itik pulang petang dan itik kelemasan dek tercungap kepenatan.
Sebelum sampai ke kelas, dia singgah sebentar di kantin sekolah untuk membeli kuih muih buat sarapan pagi. Saja buat kunyah-kunyah sebelum mula perhimpunan. Bukan dia tak sarapan di Dewan Makan tadi. Dah! Dia siap tambah lagi masakan acik DM yang sentiasa sedap itu.
Cuma tu la. Siapalah yang bina aspuri dengan kelas jauh sangat. Kan Suha dah penat berjalan. Bila penat berjalan, tenaga pun membakar lemak. Itu yang membuatkan dia jadi lapar semula. Jadi bukan salah dia kalau dia banyak makan. Sekolah ni yang besar sangat untuk dia!
Sampai saja di kantin, dia lihat ramai pelajar sedang berebut membeli makanan. Suha cuba menyelit di situ. Tapi tak sangka dengan sekali gerakan saja, terjelepuk seorang pelajar ke tepi dek tertolak dengan tubuh dia.
"Sorry," cicit dia penuh rasa bersalah.
Si pelajar tingkatan dua yang tertolak itu hanya menjeling sebal.
"Eii akak ni tak reti beratur ke?"
"Tapi semua tak beratur pun. Jadi akak menyelitlah jugak." Jawab Suha tak nak kalah. Sengaja dia jegilkan mata.
Dia senior tau tahun ni!
Pelajar tadi merengus sebal sebelum berlalu dengan bengisnya.
Suha senyum-senyum.
"Acik! Suha nak tiga karipap dan tiga roti sardin macam biasa tau!" laung dia dari arah belakang kerana bahagian depannya penuh dengan pelajar yang menyelit-nyelit mahu membayar di kaunter.
"Karipap habis! Roti sardin pun habis!" laung Acik kantin.
Nasuha mendadak kecewa. Mukanya tercebik sampai pipi tembam dia seakan jatuh ke bawah.
Seseorang yang terlihat reaksi gadis itu sedaya upaya menahan tawa. Pasal karipap dan roti sardin pun nak sedih macam tu sekali ke?
"Dah! Dah! Diet sikit!" sampuk suara pelajar lelaki yang lain. Kemudian mereka gelak beramai-ramai.
Nasuha paling ke tepi. Di bahagian meja-meja makan, ada segerombolan pelajar lelaki tingkatan 5 sedang ketawakan dia.
Mata menjeling tajam.
"Aku gemuk menyusahkan kau ke?"
"Memang tak susah pun. Tapi aku tak sampai hati si tengok si Fahim bersanding pelamin senget sebelah."
"Hoi!" Fahim yang tengah mengunyah karipap menjerit marahkan kawannya. Kenapa dia pula yang dikaitkan?
Nasuha cari pula Fahim. Rupanya lelaki itu ada di tepi kaunter kantin. Di tangan lelaki itu ada dua plastik kuih.
Karipap dan roti sardin!
Mesti Fahim yang beli semua kuih tu bagi habis. Makin bergelora dada Nasuha. Rasa macam nak rampas aje plastik kuih kat tangan Fahim tu.
"Dah! Dah! Jangan nak tayang muka macam setahun tak makan karipap dan roti sardin padahal setiap hari kau bedal kuih ni." Fahim datang mendekat. Muka bengang kerana Nasuha teringinkan kuih yang dia makan.
"Nah. Ambillah! Karang kempunan pulak!" Kasar Fahim menghulur plastik kuih. Karipap ada lagi satu. Roti sardin ada lagi dua.
Nasuha tersenyum lebar. Cerah biji mata dia melihat plastik yang Fahim hulur depan muka. Bersinar-sinar.
YOU ARE READING
Mr Troublemaker
ChickLitFAHIM DAN NASUHA Fahim si atlet sekolah. Suha si kaki buku. Pantang berjumpa ada saja benda yang nak digaduhkan. Tapi semuanya bermula dari Fahim yang memang terkenal dengan perangai suka perdajal orang. Bagi Suha, Fahim bukan saja menjengkelkan. T...