Bab 1

22 6 0
                                    

Stesen Keretapi Butterworth, Penang Sentral

"Huargh!" Ara menguap. Ini sudah masuk kali kesepuluh. Dia berdiri lalu meregangkan  sedikit sendi-sendinya. Pinggang dikilaskan ke kiri dan kanan. Tangan dinaikkan ke udara seperti menampar angin.

Dia baru sahaja tamat syif malam, terpaksa pula bergerak pulang ke kampung. Neneknya dikhabarkan berada dalam keadaan nazak.

"Aku belum sarapan lagi. Patut kurang bersemangat. Kesian kau perut, nak cepat punya pasal." Ara menepuk perlahan perutnya yang berbunyi.

Matahari baru bangkit dari tidur. Menyinari stesen keretapi yang lengang. Banyak bangku kosong, mungkin kerana hari ini hari bekerja. Jika cuti sekolah atau hujung minggu, pasti ramai.

Ara menapak ke arah koridor panjang di sebelah kaunter tiket. Menikmati pemandangan samudera, bau masinnya memenuhi rongga hidung. Burung camar terbang rendah di pinggir laut. Mencari rezeki bagi mengalas perut.

Berhampirannya, kelihatan Jambatan Pertama Pulau Pinang. Berpusu-pusu kenderaan keluar dan masuk melalui jambatan itu. Sehingga berlaku kesesakan. Matahari sedang menerobosi bangunan-bangunan pencakar langit di seberang pulau.

Ara terus berjalan ke hujung koridor. Dia sudah menempah tiket atas talian, jadi tak perlu cemas.

Deretan kedai-kedai kecil menjual pelbagai jenis jajan dan air. Ada juga gerai yang menjual jeruk. Ara tertarik di sebuah kedai menjual roti. Bau roti gebu yang baharu dikeluarkan dari oven, menggiurkan.

"Sedap juga makan roti dan minum kopi." Ara sedang membayangkan roti lembut, dikunyah perlahan dalam mulut.

Gadis itu menghampiri bekas pameran jualan roti berbentuk kaca. Dia mengambil dulang dan penyepit lalu membaca satu persatu menunya.

"Croissant, flossy bun, cheese bun.. Hmm."
Roti pilihan belum kelihatan. Dia masih gigih mencari, mukanya sudah terlekat di bekas kaca itu.

"Hah! Jumpa pun, Mexican bun!" Tersengih-sengih Ara menyepit lima ban roti ke atas dulang. Buat bekal semasa di dalam keretapi nanti.

Terus Ara menuju ke kaunter pembayaran. Dia mahu memesan secawan kopi panas.

"Mocha double shot satu. Kurang gula ya sebab senyuman saya dah cukup manis." Gadis itu tersenyum kambing.

Juruwang lelaki itu tersenyum janggal.
'Dah kenapa perempuan ni? '

Selesai pembayaran dilakukan, Ara mengambil sebuah tempat di bangku kayu panjang. Bersebelahan dengan tangga untuk turun ke platform bawah.
Mudah untuk mengetahui keretapi sudah tiba atau belum.

"Bismillah."

Selesai makan pagi, Ara membetulkan shawlnya. Kedengaran pengumuman keretapi.

"Keretapi ke Sungai Petani akan tiba 5 minit lagi. Sila turun ke platform 6 dan pastikan anda berdiri di belakang garisan kuning. Terima kasih."

Gadis itu terus bangkit dan berjalan pantas menuruni tangga. Bag baju digalas rapi. Sebelah kiri memegang kopi, sebelah kanan memegang telefon pintar.

Tiba-tiba Ara terlanggar batang tubuh seorang lelaki. Tertumpah separuh  cawankopi  ke atas baju t-shirt lelaki itu.

"Kopi aku!"

Separuh lagi Ara meminumnya sehingga habis. Takut tertumpah lagi.

"Awak kisahkan kopi berbanding minta maaf dekat saya?" Lelaki itu mencekak pinggang.

"Eh, maaf encik. Maafkan saya."

Ara menunduk beberapa kali. Terlupa yang dia telah melanggar seseorang.

"Encik ambil tisu ni dan pergi basuh di tandas ye. Saya nak cepat ni, maaf sekali lagi."

Ara terus berlari menuruni tangga menuju ke platform.
Dia melangkah masuk ke dalam koc, mengambil tempat duduk bersebelahan dengan tingkap.

'Alamak! Ada kopi terpercik kat bahagian bawah sweater aku. Haish, tak apalah. Bau kopi je.'

Pintu keretapi tertutup. Perlahan-lahan bergerak meninggalkan pulau mutiara. Dari hutan batu pelbagai ketinggian, menuju ke sawah padi kehijauan.

Fon kepala dipakai. Lagu Untukmu Ibu oleh Exist mula berdendang di gendang telinga.

Oh ibu, kau disiram bayu pagi
Kehilangan terasa kini dan kesepian
Dan aku
Bagai purnama gerhana
Di ibarat lautan kering
Tiada tempat ku layarkan

Matanya tertutup rapat. Hanyut dibuai mimpi.

***

Kelopak mata dibuka. Silau retinanya kerana matahari tegak di atas kepala. Dia melindungi wajah dengan tangan kanan.

Kedua belah kaki tenggelam sedikit ke dalam pasir. Gadis itu memandang ke depan.

Samudera seluas mata memandang. Ombak biru menghempas pantai. Angin memuput lembut wajah, turut menerbangkan sedikit hujung tudung. Pokok kelapa tinggi di kiri dan kanan, melambai-lambai pelepahnya.

"Eh, aku kat mana ni! Tadi bukan dalam keretapi ke? "

Mawar HitamWhere stories live. Discover now