Prolog

33 7 10
                                    

Pada malam yang gelap gelita, burung-burung berkicauan pun tidak lagi kedengaran kerana sudah pulang ke pangkal jalan setelah mencari rezeki buat keluarga. Namun, tidak pula pada seorang gadis yang umurnya telah mencecah 20-an kini masih bergentayangan di hutan yang belantara. Baginya, orang lain mungkin lebih aktif pada siang hari kerana malam adalah waktu mereka berehat dari bekerja tetapi dia, memilih malam untuk mencari sesuatu yang dia inginkan sejak dari kecil.

Tudung bawal berwarna biru gelap yang elok terlilit kemas di kepala terselak sedikit angkara angin malam yang mula beralun menerusi dirinya. Keris yang berada di tangan juga disimpan semula pada sarungnya. Mata meliar sekeliling bagi memeriksa sama ada tempat itu selamat baginya atau tidak. Apabila terasa selamat, nafas lega dihela. Teringat pula asbab dia kesini, buatkan dia mendecit tak puas hati.

"Semua ini tidak betul. Apa yang dia lakukan sekarang tidak berguna langsung! Tidak memberi impak yang bağ us untuk penduduk sekampung." Diludah rasa tidak puas hati pada sebatang pokok besar yang daun-daunnya sudah layu malah menunggu masa untuk jatuh ke tanah buana. Tetapi itu semua dusta, apa yang ada di pokok tersebut akan sentiasa kekal dan tiada perubahan hingga ada seseorang yang batalkan sesuatu.

"Kamu pasti, wahai gadis?" balas seorang wanita yang berada di atas dahan pokok besar itu. Matanya yang tajam mencerlung gadis itu. Gadis itu mendongak melawan pandangan. Dia diam sambil langkahnya di undur. Sebelah tangannya membetulkan keris dipinggang. Dia tak terkejut jika wanita ini muncul. Kerana sememangnya dia memanggil wanita ini untuk membincangkan sesuatu dengannya.

"Apakah perkara yang aku lakukan sekarang tidak membuahkan hasil? Kamu biar betul, anakku? Bondamu ini seorang ahli sihir yang terhebat di buana ini! Sudah pastinya bonda bisa melakukan apa sahaja yang bonda inginkan!" Wanita itu turun dari pokok dan menghampiri gadis itu merangkap anak perempuannya sendiri bersama tongkat sakti yang kukuh di pegangan tangan.

"Tapi Embun tak mahu kuasa bonda mewarisi Embun! Embun tidak ingin jadi jahat seperti bonda! Embun mahu mewarisi nenda sahaja. Kuasa dia lebih baik dari bonda. Lebih banyak manfaatnya jika Embun gunakan dengan tepat.."

Wanita itu tersenyum sinis. Dia pantas menekup kasar rahang Embun sehingga terdongak kepala gadis itu. "Kamu yakin, Embun Sutera? Kalau begitulah pilihan kuasa kamu, bonda tetap akan halang! Walau bagaimana sekalipun, bonda tetap mahu kamu jadi waris kuasa bonda! Tiada yang lain. Atau bonda sendiri yang gerakkan kamu untuk misi itu sendiri." Saja dia perangkap anaknya sendiri mengenai misi yang satu itu. Misi yang terpenting buatnya untuk terus hidup.

Tekupan dilepaskan. Wanita itu masih teguh berdiri di hadapan anaknya. Dengan pandangan mata yang bercampur aduk perasaan malah dia yakin bahawa Embun sendiri takkan pernah tahu apakah perasaan itu. "Sedar dimana kamu berada, Cendana Embun Sutera. Pastikan nama Cendana itu pergi dan takkan kembali lagi." ujar wanita itu lalu dengan kuasanya sendiri, dia hilang dari pandangan Embun.

"Dasar bonda." Embun mengetap rahangnya. Tangan dikepal penumbuk. Hampir saja dia mengeluarkan keris miliknya apabila bonda mengungkit nama Cendana mesti pergi dan takkan kembali. Baginya, itu mustahil. Cendana ialah ayahnya. Ayah kandung yang dia sangat dahagakan kasih sayang.

Di wilayah Pidana ini, nama bapa mesti berada di hadapan lalu bersertakan nama anak mereka. Itu bagi menyerlahkan identiti seorang anak berdasarkan siapa bapa mereka. Orang lain mungkin bangga apabila nama bapa mereka sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di wilayah Pidana ini. Tetapi untuk dia, Cendana Embun Sutera. Dia lebih gemar dikenali sebagai Embun Sutera sahaja.

Bukan dia tidak bangga, tapi identiti ayahnya begitu sulit didedahkan. Hanya saja dia tidak mahu berlebih-lebihan seperti mana bonda yang tidak layak memegang kuasa tersebut. Dan misi itu, hal yang dia benci dan perlu dia harungi juga. Lambat laun, bonda tetap akan paksa dia pergi.




Buana - sl dunia, jagat, bumi: maka tersebutlah pula kisah tentang Betara Kala yg pd ketika itu sedang mengedari jagat ~. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

5 march 2024, 2.10 am

Embun Elqar  |  SUWhere stories live. Discover now