Langkah diatur dengan tergesa-gesa ke dalam rumah. "Oii... Oii.. mana kau sorok kasut aku, Am?" Soal Kai yang terpaksa kembali masuk ke dalam rumah tatkala menyedari kasutnya hilang tidak dapat dikesan.
Amril hanya menayang muka selamba.
"Kasut? Kenapa dengan kasut?"
"Jangan nak buat-buat tak tahu. Bagi aku cepat. Aku tahulah kau geram sebab tak dapat ikut tapi janganlah macam ni."
Amril memandang geram ke arah Kai. Bibir dimuncungkan ke depan sebagai petunjuk untuk Kai mencari kasutnya itu.
Beria-ria dia dan Kai berkemas untuk pengembaraan mereka semalam. Segala baju dan barang-barang keperluan sudah pun dimasukkan dalam beg. Alih-alih Amril menerima panggilan dari tempat kerja, membuatkan dia tidak dapat mengikuti Kai sepertimana syarat yang dia sendiri telah tetapkan. Mahu tidak mahu, dia terpaksa akur melepaskan Kai berkelana seorang diri.
Derap kaki adiknya itu diikuti perlahan dari belakang.
"Kau pasti ke boleh pergi sendiri ni, Kai?" Soal Amril sambil menyilangkan tangan ke dada tika belakang badannya disandarkan ke bingkai pintu.
Kai yang sedang menyarung dan mengikat tali kasut dipandang Amril kosong.
Kai menoleh pandang ke arah abangnya sebelum mengangguk yakin.
Amril melepaskan keluhan berat dengan jawapan yang dia terima. Rambut di atas kepala digosok laju. Sungguh terasa berat benar mahu melepaskan Kai seorang diri merantau.
"Jaga diri baik-baik. Kalau nampak apa-apa yang pelik jangan tegur, buat macam biasa. Jaga makan minum kau, jangan dimakan sembarangan benda yang ada depan mata," pesan Amril lalu dimasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar.
Kai hanya menghadiahkan senyuman buat Amril. Beg digalas sebelum langkah kaki diambil.
Setelah beberapa ketika melangkah pergi, Kai mendengar seolah-olah dirinya dipanggil oleh Amril. Kepala menoleh spontan ke belakang, melihat abangnya terkumat-kamit menyatakan sesuatu.
Jarak yang semakin menjauh menyebabkan Amril terpaksa menguatkan lagi intonasi suaranya agar didengari Kai. "Kai, aku nak tahu. Apa sebenarnya yang kau nak cari dari dalam legenda tu?"
"Aku nak cari Nik, Ayu dan Sigma tu," laung Kai sambil melambai tangan ke arah abangnya. Dia menjadi semakin tekad untuk meneruskan pengembaraan.
Jawapan daripada Kai membuatkan Amril mengangkat kening tinggi.
Amril sedikit menggeleng. Bibir dikemam dengan rasa tidak percaya. "Budak ni. Dia tak tahu ke dia dah pun jumpa ketiga-tiga benda dia nak cari tu sebenarnya."
Rambutnya yang separas leher digosok laju. "Apa-apalah."
Amril mengatur langkah masuk ke dalam rumah.
****
Peta di tangan ditelek lagi buat kesekian kali. Kepala yang tidak gatal digarunya laju. 'Dalam banyak-banyak benda aku boleh tanya sebelum keluar tadi. Aku lupa nak tanya Am cara nak baca peta? Perlu ke aku nak patah balik ni?'
Sedetik... Dua detik...
Kepala Kai digeleng laju. 'Nak keluar dari rumah pun puas aku pujuk. Ini kalau patah balik memang tak tercapailah hasrat aku. Aishh! Bedal jelah.'
Kepala dipanggung, memandang panorama alam semulajadi yang menyinggah di kornea mata.
Keindahan gunung-ganang yang dijamah mata membuatkan dia terasa begitu bebas. Baru saja hendak memulakan langkah, kelibat sesuatu yang aneh muncul secara tiba-tiba.
Makhluk bulat berbulu halus dengan telinga panjang dan sepasang kaki kecil itu dipandang pelik oleh Kai. Seumur hidupnya, dia langsung tidak pernah didedahkan dengan makhluk-makhluk liar di Saga ini. Cukup dia hanya sekadar tahu makhluk-makhluk aneh itu wujud dan kini telah muncul satu di hadapannya.
'Wujud rupanya makhluk macam ni dalam Saga. Eh, nanti!'
Segera dia meletakkan beg yang digalas sebelum diselongkar mencari sesuatu. Namun puas dicari, tidak juga ditemui.
'Aduh, aku tertinggal.'
Ingatannya dirobek jauh ke dasar memori sebelum akhirnya maklumat yang dicari terlintas di benaknya. Dia pernah membaca tentang haiwan-haiwan Saga dalam salah satu bukunya. Adakah makhluk ini pun salah satu darinya?
Kai menumpukan sepenuh konsentrasi sambil matanya tidak lepas memandang makhluk itu. Kalau diikutkan deskripsi yang pernah dibacanya, makhluk itu dikenali dengan nama...
Sfura?
Pandangan mereka bertentang. Binatang itu sedikit pun tidak berganjak meskipun didekati oleh Kai yang menuju ke arahnya selangkah demi selangkah.
Kai semakin mendekat hingga tangannya berjaya mencecah bebulu halus itu. Namun, tetap saja binatang itu statik disitu. Kai semakin seronok apabila binatang pertama yang dia temui begitu jinak dengannya. Bulu-bulu lembut itu dielus Qai dengan penuh hati-hati.
Mindanya di kala itu memintanya lari sedang hati pula masih lagi asyik dengan penemuannya. Tidak dinafikan, Kai sendiri sudah mulai sedar yang ada sesuatu yang dia terlepas pandang pada haiwan liar ini.
Apa agaknya ya?
Selang beberapa ketika, langit yang awalnya cerah kini tiba-tiba berubah mendung. Kai segera mendongakkan kepala yang tadinya menunduk memandang sfura. Apa yang kini menyinggah di ruang penglihatannya adalah sesuatu yang langsung dia tidak terlintas di fikiran.
Sfura yang bersaiz lima meter tinggi kini muncul sedang memanah pandang ke arah Kai disusuli dengan deraman yang kuat.
Terkedu Kai dibuatnya, melihat taring sfura dewasa itu. Sfura yang diusapnya tadi berkali-kali ganda kecilnya daripada sfura bersaiz dewasa itu. Di ruangan mindanya, Kai berkira-kira sama ada mahu cuba melarikan diri atau terus berpura-pura mati.
Akhirnya pilihan pertama diambil. Perlahan-lahan badannya di bawa naik. Deraman yang semakin kuat sesekali membuatnya tersentak. Kai menarik kaki kiri ke belakang dengan penuh berhati-hati sebelum dia berpaling dan berdesup lari meninggalkan kedua-dua sfura itu.
Percaturannya sedikit tersasar apabila sfura dewasa itu malah mengejarnya laju. Nyawa yang seakan 'telur di hujung tanduk' menyebabkan Kai meningkatkan kelajuan langkah yang sedia ada.
Akhirnya jarak antara dia dan haiwan itu semakin menjauh, namun bahaya lain pula yang menimpa. Kakinya tersadung akar kayu membuatkan dia tersembam menyembah bumi sebelum terguling jatuh ke dalam gaung berdekatan.Rasa pedih yang mencucuk-cucuk dek luka akibat bergeser dengan batu-batu tajam menyebabkan Kai menyeringai kesakitan sebelum pandangan matanya beransur-ansur kabur. Hentakan kuat di bahagian kepala menyebabkan semuanya menjadi gelap. Tiada lagi sebarang bunyi yang menerjah gegendang telinga. Semuanya kini menjadi sunyi. Seolah-olah alam kini membisu.
YOU ARE READING
Sigma
FantasyGara-gara buku aneh yang ditemuinya, Kai cuba mencari pengembaraannya sendiri. Di tambah lagi dengan kisah lagenda masyarakat di situ, Kai makin nekad untuk mencari kebenaran di sebalik lagenda yang sering diuar-uarkan. "Mungkin sesuatu benda itu t...