Misteri

50 5 3
                                    

Perpustakaan, kantin, bilik guru, tandas lelaki, termasuklah bilik pengawas pun telah Adam jejaki. Eh, di mana Arash?

"Aku tak pergi dengan dia pagi tadi ke?" gumam Adam sendirian sambil memerhatikan sekeliling. Biasanya, mereka akan berjumpa pada waktu rehat namun batang hidung kembarnya itu langsung tidak kelihatan.

Nasi goreng ayam kunyit miliknya itu dikunyah perlahan-lahan. Otaknya ligat memproses dan berfikir, seperti ada insan kecil di dalam otaknya yang sedang berlari-lari membuka laci-laci informasi. Tetapi jalan mati insan tersebut adalah sebuah lorong gelap yang dipenuhi sarang labah-labah yang banyak.

Aduhai, penatlah jika mempunyai kondisi seperti ini.

 "Mungkin Arash sibuk?" Monolog Adam lagi kemudian memerhatikan gelagat kumpulan manusia yang menjamah makanan di dewan terbuka tidak jauh darinya. Kelihatan empat orang gadis tingkatan tiga sedang tertawa gembira dan bertukar-tukar cerita. Seronoknya jika ada kawan baik. Tidaklah sunyi sahaja.

Adam menongkat dagu di atas meja batu yang didudukinya, kepalanya didongakkan ke langit, memerhatikan gumpalan awan yang menenangkan. Begitulah mindanya, tenang namun mempunyai lompong-lompong akibat kehilangan memori yang hanya boleh disimpan untuk seketika.

"Niya, jom masuk kelas cepat, loceng dah bunyi!" Suara seorang gadis yang melalui sisi meja Adam menyentak remaja itu daripada lamunannya. Keadaan dewan terbuka tersebut kini riuh kerana para pelajar mula beransur pulang ke kelas dan mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan mereka.

Adam segera bangkit, menutup bekalan makanannya semula. Buku latihan yang asalnya dibawa untuk dibuat bersama Arash lekas diambil dan dipeluk ke dada. Sekelip mata, meja batu tersebut kosong tidak berpenghuni.


📸📸📸


Berpeluk tubuh sambil merehatkan tubuhnya di selusur koridor, Adam mengeluh perlahan. Sedari tadi dia menunggu Arash untuk keluar dari kelasnya namun kelibat abangnya itu langsung tiada. Dia menunggu dan menunggu, sehinggalah kelas tersebut kosong tanpa sesiapa pun.Adam mengintai ke dalam kelas, hanya meja-meja kosong menyambut pandangan matanya. Mungkin Arash  sudah bergerak ke kelas tambahan dan tidak perasan akan kehadirannya di situ?

Jika begitu, Adam akan bergerak ke tempat letak basikal terlebih dahulu kerana dia tahu bahawa dia akan pulang berseorangan seperti biasa. Perlahan-lahan, Adam melangkah ke luar bangunan sekolah dengan penuh kecewa. Sudahlah tidak bertemu dengannya hari ini, boleh pula si Arash itu membiarkan dia pulang seorang diri?

 Adam berlari-lari anak setelah terlihat basikalnya yang bewarna oren terang. Namun dia hairan apabila tempat parkir di sebelahnya itu kosong. Dia memerhatikan sekeliling, langsung tiada basikal yang berwarna biru terang kelihatan.

"Arash balik dulu?" soal Adam sendirian pula. Dahinya berkerut-kerut padakala dia mula membuka rantai kunci basikal. Peliknya hari ini.

Tongkat yang menstabilkan basikal kini diangkat, kerusi basikal didudukinya. Pedal basikal lantas dikayuh tanpa membuang masa lagi. Adam benar-benar panas hati.Deruan angin kuat menampar wajahnya yang panas kerana marah. Sampai hati abangnya sendiri meninggalkan dia sendirian. Dia sedar bahawa dia lemah dan dibuli, tidak akanlah hanya kerana itu Arash tidak mahu berjumpa dengan dia?Adam beristighfar panjang untuk menenangkan hati.

"Jangan bersangka buruk terlebih dahulu," bisik hatinya. Pasti ada sebab Arash berbuat demikian. Tiba di rumah nanti, dia akan bertanya pada abangnya akan hal hari ini. 

'Jangan percaya sesuatu yang masih belum dilihat dengan mata kepala sendiri.' Arash selalu berpesan.

Pagar automatik dibuka, Adam memakirkan basikalnya di sebelah pintu utama rumah. Masuk sahaja ke dalam rumah, bondanya merupakan orang pertama yang dapat dia lihat. Lekas dia menanyakan soalan yang bermain di mindanya sejak tadi.

Agent Clone : Misi Pencarian (Terbit ✅️)Where stories live. Discover now