PROLOG

4 2 0
                                    

Bunga mawar yang dibawa bersama terlepas jatuh ke atas tanah. Air mata tanpa segan silu mula menuruni lekuk wajah. Berkali-kali dia menggeleng. Dia tidak percaya. Mustahil dia dikhianati wanita itu. 

Dipejam mata serapat-rapatnya. Mengharapkan semua ini hanyalah mimpi sahaja. Tapi hampa yang dia dapat apabila matanya kembali dibuka. Apa yang sedang berlaku di hadapannya tika ini adalah kenyataan. Kenyataan bahawa cinta sucinya sudah disampahkan oleh seorang wanita bernama Mawar Hidayah.

Baru setahun saja dia pergi. Pulang ke sini membawa kejutan untuk yang insan tercinta sebaliknya dia pula yang menerima kejutan. Sungguh kejam wanita itu mengkhianati janji yang mereka buat bersama.

“Mawar janji akan tunggu Danny.”

Kata-kata Mawar sebelum dia berangkat ke luar negara kembali bergema di mindanya. Berkali-kali ayat itu diungkapkan Mawar tetapi ternyata semua itu hanyalah mainan bibir wanita itu saja.    

Hatinya terasa seperti ditoreh-toreh saat melihat dahi wanita kesayangannya itu dikucup lelaki lain. Sepatutnya dia yang berada di tempat lelaki itu. Dia yang yang seharusnya mengucup dahi Mawar. Dia yang layak memeluk erat tubuh Mawar. Bukan lelaki yang tidak dikenalinya itu. 

“Danny…” panggil seseorang.

“Danny.” Sekali lagi dia menyeru apabila lelaki itu tidak memberi sebarang reaksi padanya.

Daniel dengar tapi dia tidak mahu menoleh. Matanya lebih berminat pada wajah yang sudah menghancur lumatkan perasaannya tika ini. 

Tangan dikepal kuat saat melihat bibir indah itu melebar dengan senyuman. Betapa gembiranya wanita itu menikmati hari-hari bahagia bersama insan tersayang. Sedangkan dia, merana kerana pengkhianatan yang dilakukan wanita itu.

“Andai kata satu hari nanti Mawar kecewakan Danny, Mawar nak Danny janji jangan bencikan Mawar.”

“Danny tak akan mampu bencikan Mawar. Cinta Danny pada Mawar melebihi segala-galanya sehingga Danny tak akan mampu menabur kebencian pada Mawar. Mawar jangan risau. Danny percayakan Mawar. Kita jaga janji kita ni sama-sama ya, sayang.” 

Daniel tergelak sendiri. Dia diminta agar tidak membenci jika dia dikecewakan. Dengan apa yang dipertontonkan padanya ketika ini, mampukah ditahan perasaan benci itu daripada hadir? Dia bukan seorang yang mudah memberikan maaf. Namun dia juga bukan seorang pendendam. Hari ini mungkin tidak tapi satu hari nanti dia akan memaafkan wanita itu. Mungkin ketika itu hatinya yang terluka parah ini sudah terubat.

“Danny!” 

Nada suara yang menyeru nama Daniel tadi sudah berubah rentak. Kedengaran lebih kasar dan sedikit memaksa agar Daniel memberi perhatian padanya.

“Saya yakin Mawar terpaksa, Danny.”

Barulah Daniel berpaling apabila nama Mawar menyentuh deria pendengarannya. Sekilas saja dia memandang pada Aishah sebelum kembali menghalakan pandangannya ke arah pentas di mana ratu cintanya berada. Sehingga ke saat ini, dia masih tercari-cari atas alasan apa cinta sucinya dihina seteruk ini oleh Mawar.

“Mawar tak nampak gembira. Dia nampak sedih. Dia…”

Zap!

Aishah tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila menerima jelingan tajam Daniel. Terus terkatup rapat bibirnya yang mahu membela Mawar. Melihat keadaan Daniel ketika ini, dia tahu lelaki itu sangat terluka. Tapi dia juga yakin yang Mawar sama terluka seperti Daniel. Wajah tidak berseri Mawar sudah cukup menunjukkan bahawa Mawar terpaksa melakukan semua ini. Cuma kerana apa Mawar bertindak sehingga ke tahap ini, dia tidak tahu. Ada ditanya pada Mawar tapi wanita itu hanya membisu tanpa jawapan. 

“Aku sanggup terus datang ke sini sebab nak beri kejutan pada dia. Tapi dia…” Diraup wajahnya yang basah dengan air mata. Pandangan orang sekeliling padanya, diabaikan saja. Hatinya yang berdenyut sakit ketika ini bukannya mampu mereka sembuhkan.

“Sabar Danny. Mungkin awak patut dengar alasan Mawar dulu. Dia sendiri pun nampak tak gembira dengan semua ni.” Aishah cuba memujuk. Dia bersimpati pada keduanya.

Waktu dia menemani Mawar bersolek, dia boleh lihat betapa suramnya wajah sahabat baiknya itu. Kalaulah Mawar tahu Daniel akan muncul hari ini, mungkin majlis tidak akan berlangsung. Tapi sayang sekali Daniel sudah terlambat. Mawar sudah menjadi milik orang lain. 

“Alasan apa lagi? Aku baru pergi setahun, dia dah curang. Konon beri janji nak setia pada aku tapi belum apa-apa dah sibuk kahwin dengan lelaki lain.” 

Panjang Aishah menarik nafasnya. Dia tahu emosi Daniel tidak baik ketika ini. Silap bicara dia pula yang menerima kemarahan daripada lelaki itu.

“Dia betul-betul buat aku rasa terhina. Aku buat semuanya untuk dia tapi sekelip mata dia hancur lumatkan perasaan aku pada dia. Aku menyesal jatuh cinta pada dia.” Dipijak sekuat hati bunga mawar yang dibawanya untuk Mawar. Tidak perlu bunga mawar ini terus mekar di matanya apabila Mawar yang dipujanya sudah mekar berkembang di dalam hidup lelaki lain.

“Aku nak jumpa dia.” Air mata yang masih bersisa dibiarkan saja. Laju kakinya melangkah menuju ke arah pelamin yang tersergam indah itu. Adakah dia mahukan alasan daripada Mawar? Jawapannya adalah tidak. Dia tidak perlukan sebarang alasan daripada Mawar. Apa jua alasan yang diberi Mawar tetap tidak akan mengembalikan semula Mawar padanya. 

“Jangan burukkan keadaan, Danny. Saya tahu awak tengah marah tapi tolong kasihankan Mawar. Ini majlis dia. Tak akanlah awak nak rosakkan pula. Awak balik dulu, ya. Saya janji akan bawa Mawar jumpa awak.” Langkah Daniel ditahan Aishah. Lengan lelaki itu ditariknya kuat. 

“Jangan tahan aku, Ecah.” Tangan Aishah yang memaut lengannya, ditepis kasar. Tapi Aishah degil. Masih mahu memaut lengannya agar tidak bertemu dengan Mawar. Lantas direntap kasar lengannya sehingga Aishah jatuh terduduk di atas tanah.

“Hormatkan majlis orang Danny.” Aishah bersuara geram. Habis kotor pakaiannya gara-gara tindakan kasar Daniel padanya. Tahulah hati tu tengah sakit tapi janganlah dia yang tidak berdosa ini dijadikan mangsa amarah Daniel. 

“Aku tak perlu hormat majlis perempuan curang macam dia. Berani dia beri janji untuk setia dengan aku. Sedangkan dia sendiri yang ludah semua janji-janji tu.” Daniel menggeleng. Kesal sungguh kerana terlalu setia pada janji yang dibuatnya bersama Mawar. Dia begitu ikhlas mencintai tapi Mawar tega menduakan cintanya yang tulus suci itu.

“Kita tak tahu apa yang jadi. Jangan tuduh dia macam tu.”

“Habis tu kau nak aku tengok aje dia bahagia dengan suami dia atas pelamin sana. Aku ni macam mana? Merana seumur hidup sebab perempuan tu. Macam tu ke Ecah?” Dirempuh begitu saja tubuh Aishah yang menghalangi jalannya. Sudah jatuh terduduk pun masih gigih bangun semula semata-mata mahu menahannya.

“Jangan Danny. Awak tak boleh pergi sana.” Aishah masih berusaha menghalang Daniel daripada menemui Mawar. 

“Jangan halang aku Ecah. Aku tak bodoh nak rosakkan majlis orang. Aku cuma nak dia tahu yang aku ada di sini. Dia perlu tengok muka lelaki yang dia dah kecewakan ni.” Tubuh Aisah ditolak ke tepi. Langkah disusun semula menuju ke arah pelamin. Jeritan Aishah padanya dibiarkan saja. Yang dia tahu ketika ini, dia hanya mahu bertemu dengan Mawar yang diraikan sebagai raja sehari hari ini.

Melihat langkah Daniel yang semakin menghampiri pelamin, wajah Aishah berubah riak. Laju dia berlari mahu mendapatkan Daniel. Namun ternyata usahanya hanya sia-sia sahaja. Daniel sudah naik ke atas pelamin berdepan dengan Mawar.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 02 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

BERTAUT KEMBALIWhere stories live. Discover now