part 1

1.5K 16 0
                                    

SINAR mentari pagi mula memancar, teriknya
sudah mula terasa. Angin bayu sepoi-sepoi dari arah laut dengan kicauan burung-burung, kokokan dan ketakan ayam-ayam jantan dan betina melengkapkan lagi ketenangan suasana hari itu. Pendek kata suasana kampung di pulau itu begitu damai dan nyaman. Sememangnyalah hari itu sungguh cerah dan indah.

Tetapi tidak bagi seorang gadis berperawakan
kecil dan molek, Intan binti Samad. Kerana baginya, hari cerah ataupun mendung sama sahaja. Dia tetap merasa kosong dan sepi serta duka.

Selesai menyidai semua pakaian basuhan pada
dawai jemuran, Intan melepaskan keluhan panjang.
Otot-otot tubuhnya, yang terasa sengal-sengal sejak semalaman, begitu melesukan keadaannya. Dia begitu letih dan tentulah memerlukan rehat untuk mendapatkan tenaga baru supaya dapat menjalankan kerja rumah sepanjang hari dengan sempurna.

Namun begitu, kalau dia berbuat demikian
sudah tentu mak ciknya akan melenting dan tubuhnya akan dijamah dengan jilatan mata rotan. Dia lantas mengeluh. Sesungguhnya takdir telah menentukan yang nasibnya akan menjalani kehidupan yang penuh pahit
getir dan penyeksaan.

Intan telah tinggal di pulau ini, menumpang
di rumah mak ciknya, sejak usia 10 tahun. Ketika bayi hingga usianya 9 tahun dia telah tinggal tanah besar Singapura. Tetapi hanya berdua sahaja bersama ibunya. Dia tidak pernah kenal siapa ayahnya. Pernah dia
bertanyakan tentang itu kepada ibunya, tetapi ibunya hanya memberitahu bahawa ayahnya telah pergi jauh dan tidak akan kembali.

Wajah ibunya ketika itu kelihatan sedih dan
terharu menggamit rasa simpatinya. Betapa dia begitu dahagakan dan rindukan belaian kasih sayang seorang ayah. Apabila dia melihat anak-anak kampung pulau bermesra dengan ayah-ayah mereka, kadang-kala dia berasa cemburu juga. Kesepian begitu menujah
batinnya, walaupun dia menerima kasih sayang penuh daripada seorang ibu.
Kini dia seorang diri. Ibunya telah pergi menemui Ilahi, 7 tahun yang lalu, ketika usianya 12 tahun. Dia tidak tahu punca kematian ibunya, tetapi pemergian wanita
yang sangat dikasihi dan merupakan segalanya dalam hidupnya itu amat memeritkan. Tiada lagi tempatnya untuk mengadu.

Dia tidak pernah melupakan ibunya walaupun
wanita itu telah meninggalkan dia buat selama-lamanya.

Dan setiap hujung minggu, dia akan menziarahi pusara ibunya yang telah disemadikan di tanah perkuburan, di Kampung Melayu.

Sebenarnya semenjak pemergian ibunya,
mulalah tercoret lembaran sejarah kepahitan dan penderitaan dalam titian hidupnya sebagai seorang gadis di tangan mak ciknya, Cik Kamariah, kakak kepada ibunya. Suami wanita itu, Encik Dahlan serta Rubiah,
satu-satunya anak gadis mereka dan sebaya dengannya.

Sangkaan pada mulanya, keluarga mak ciknya itu adalah orang-orang yang baik dan penyayang, tetapi sama sekali sebaliknya. Rupanya wajah mereka seolah-olah
bertopeng sahaja, ketika ibunya masih hidup.

Lebih mencengkam perasaannya, mereka
menghinanya dengan sebutan anak luar nikah. Anak haram! Apakah benar gerangan dia anak yang telah dilahirkan tanpa sebarang ikatan pernikahan? Apakah ayah masih hidup tetapi ibu membohonginya yang lelaki
itu telah mati? Dan mengapakah wajah ibu sentiasa bersedih setiap kali dia bertanyakan tentang ayah?

Persoalan itu tergantung begitu sahaja tanpa
jawapan. Kerana orang yang dapat menjelaskan persoalan itu hanya ibunya sendiri yang telah kembali ke alam barzakh. Mungkin disebabkan kemunculannya
dalam rahim ibu ketika itu membuatkan hati ibu seolah-olah diragut dan kerana itu ibu tidak mahu menceritakan bagaimana dia boleh dilahirkan.

Adakah ia disebabkan suatu peristiwa yang menggerunkan?

Adakah dia telah membuah dalam rahim ibu setelah ibu diperkosa?

Memikirkan perkara tersebut, Intan seperti
ditikam sebilah panah. Dia menjadi gerun. Mungkinkah? Sebab itukah maka ibu tidak tergamak memberitahunya? Namun begitu, dia masih tidak tahu dan tidak mahu
percaya. Tetapi jauh di sudut hatinya berlonjak-lonjak supaya dia menerima kenyataan itu. Dia mahu menangis.

Dedaun Hijau Di Angin LaluWhere stories live. Discover now