BAB 4 | HIS POSSESSION

481 37 1
                                    

MASUK pusingan yang ke-10, ketiga-tiga jejaka itu menghentikan larian. Tercungap-cungap Wafiq menghirup oksigen. Letihnya bukan main lagi. Rasa seperti mahu tercabut semua otot dan sendinya. Zariel dan Remy dipandang. Dua sahabat baiknya itu kelihatan selamba meregangkan otot. Wafiq saja yang nampak tak bermaya. Apa tidaknya, sudah lama dia tidak menghabiskan masa dengan berjoging. Lainlah Zariel dan Remy. Dua lelaki itu tak pernah culas dengan rutin yang satu itu.

"Macam tak cukup nyawa je kawan kita ni, Ril..."

Tawa Zariel dan Remy pecah. Geli hati melihat Wafiq yang sudah melabuhkan duduknya di atas bangku panjang bersama posisi tubuh sembilan puluh darjah.

"Huh, sedap kau orang mengata aku ya?" Penutup air mineral dibuka kasar. Sakit pula hati Wafiq ditertawakan oleh kedua-dua orang temannya. Tahulah dia tak fit seperti mereka. Tapi, tak payahlah gelak seperti itu. Kecil hati tahu!

"Tak pernah-pernah kau join kita orang joging, Fiq. Selalu kalau kami ajak, ada je alasan kau. Keluar dengan tunanglah, nak beli barang kahwinlah. Harini, apa cerita pula? Tak ajak Intan dating?"

Zariel mengambil tempatnya di sebelah kanan Wafiq. Sambil meneguk minumannya, Wafiq dikerling selintas. Pertanyaan Remy itu tidak disambut oleh si teman. Wafiq membisu. Ketenangan di wajahnya turut luntur.

Melihat keruh pada air muka Wafiq, Zariel dan Remy saling berbalas pandangan. Dahi mereka berkerut. Aneh dengan kelakuan Wafiq hari ini. Si teman lebih selesa mendiamkan diri. Selalunya, mulut Wafiqlah paling becok antara mereka bertiga. Nampaknya, ada sesuatu yang sedang mengganggu fikiran si teman.

"Bro, kau okey tak ni? Lain macam je muka tu. Kau ada masalah ke?" soal Zariel seraya menepuk perlahan paha Wafiq.

Kalau Wafiq ada masalah, dia dan Remy sedia untuk membantu. Hampir 18 tahun bersahabat baik, mana mungkin Zariel dan Remy buat tidak endah andai Wafiq benar-benar memerlukan pertolongan mereka. Sungguh tak rasa lengkap hari Zariel kalau Wafiq terus membatu begitu.

"Intan... dia minta aku putuskan pertunangan kami ni." Setelah lima minit berjeda, Wafiq akhirnya meluahkan kusut yang menyesakkan kepala. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Setelah itu, kepala dijatuhkan dan tubuhnya dicondongkan ke depan. Kedua belah tangannya dibawa mengurut pelipis.

Terkebil-kebil mata Remy mendengar masalah yang ditanggung Wafiq tika ini. Sekejap-sekejap Wafiq yang sedang menunduk itu dipandang dan lensa mata kembali dipusatkan kepada Zariel. Terkejut. Otak tengah mencerna apa yang baru diluahkan oleh si teman.

Intan, tunangan Wafiq mahu memutuskan tali pertunangan yang telah diikat selama setahun itu? Biar betul? Setahu Zariel, Intan dan temannya itu saling mencintai. Apa sebenarnya yang telah terjadi? Mustahil Intan mempunyai teman lelaki lain. Atau kemungkinan yang Zariel fikirkan itu benar-benar berlaku? Memikirkan itu, hati Zariel seperti dihiris belati. Dia tak mahu apa yang menimpa dirinya sepuluh tahun lalu turut sama terjadi kepada Wafiq. Cukuplah Zariel saja yang merasai bagaimana sakitnya menanggung kepedihan lampaunya.

"Apa yang berlaku sebenarnya, Fiq? Kalau setakat bergaduh hal kecil, takkanlah sampai nak minta putus?" Wafiq dipandang hairan.

Lambat-lambat, Wafiq menggelengkan kepalanya. Tasik yang terbentang di depan mata, diamati bersama hati yang walang. Dapat dilihat beberapa orang pengunjung sedang bersantai bersama ahli keluarga di depan tasik tersebut. Hujung minggu begini memang ramai yang akan datang ke situ. Sambil menikmati keindahan alam seiring untuk melapangkan minda.

"Aku pun tak tahu nak kata pergaduhan kami ni disebabkan hal besar atau kecil. Puncanya sebab aku terlalu sibuk uruskan hal di pejabat. Aku jarang luangkan masa dengan Intan. Tambah pulak, majlis nikah kami tak sampai sebulan pun lagi. Dia ingat aku malas nak ambil tahu tentang persiapan majlis kami sebabnya... aku banyak habiskan masa di ofis berbanding uruskan hal pernikahan kita orang."

4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIELWhere stories live. Discover now