Bab 9

36 7 12
                                    



Nurin cuma senyap sepanjang perjalanan ke klinik. Disebabkan dia dan Hakim sama-sama terjerit perkataan kau tadi, Cikgu Suip dah pandang mereka dengan pandangan hairan.

Nasib baik dia demam, jadi tak ada mood nak beramukan dengan Hakim. Hakim pun seakan memahami, langsung tak cari pasal.

Sampai sahaja di klinik, Cikgu Suip, Nurin dan pelajar tingkatan 1 itu terus turun untuk mendaftar. Cikgu Suip menunggu sehingga mereka selesai mendaftar sebelum dia mahu meninggalkan mereka di klinik. Sempat Cikgu Suip pesan pada Nurin untuk tolong tengok-tengokkan pelajar tingkatan 1 itu.

Nurin dengus. Dalam tak sihat, dia tetap dijangkiti penyakit hasad dengki. Untunglah dapat makan-makan di luar. Padahal menang main bola sahaja pun. Peringkat daerah je pula tu. Lagi satu apa istimewanya Hakim boleh naik kereta sedangkan yang lain mesti naik van sekolah.

Huh, guna autoriti dia sebagai ketua pelajarlah tu.

Tadi pun Nurin langsung tak menjeling pada Hakim. Rasanya lelaki itu tak sudah merenung dia. Entah dia pun tak pasti mengapa lelaki itu asyik melihatnya. Ataupun, dia sudah dijangkiti penyakit kedua. Perasan.

"Aqila okey ke?" Tadi sempat dia mendengar nama pelajar itu. Aqila.

Aqila menggeleng. Perut masih ditekan kuat. Nurin perhati. Bahagian bawah kanan. Teringat pula yang cikgu PBSMnya pernah beritahu yang sakit bahagian abdomen kanan itu tanda apendiks.

Segera Nurin bangun menuju ke kaunter.

"Misi, junior saya ni sakit perut bahagian kanan. Saya risau apendikslah." Jururawat itu segera bangun, memeriksa keadaan Aqila yang semakin membimbangkan. Tak lama Aqila dibawa masuk ke dalam zon kecemasan. Kelihatan beberapa petugas kesihatan yang lain turut sama mengekori gerak langkah jururawat tadi. Serta merta mereka hilang dari pandangan.

Kepala Nurin terjengah di celahan lorong, cuba mencari ruangan Maya dibawa. Senang nanti untuk dia laporkan pada cikgu Suip.

"045."

Nombornya dipanggil. Segera dia menuju ke bilik rawatan. Perlahan pintu bilik rawatan itu dibuka. Di balik pintu, dia nampak seorang doktor lelaki berpakaian kasual. Kot putihnya digantung pada standing hanger di tepi dinding.

Kacak!

Nurin terus sengih, jarang-jarang berpeluang cuci mata melihat wajah tampan. Dekat sekolahnya cuma ada budak hingusan bajet handsome sahaja.

"Ya, silakan. Ada apa datang klinik?" Lembut suara doktor itu. Handsomelah doktor ni.

"Adik?"

"Sorry, saya demam!" Laju dia jawab dengan nafas tertahan-tahan macam baru lepas ditangkap mencuri. Memang sedang mencuri pun. Curi pandang.

Doktor itu tersenyum. Nurin intai tag namanya. Dr Asyraf. Dia sematkan nama dan rupa itu dalam ingatan supaya boleh jadi bahan cerita bersama gengnya.

Selesai pemeriksaan, dia diberikan ubat demam, selsema dan ubat batuk untuk dibawa balik bersama. Dari tadi dia mencari kelibat Aqila, mahu ajak tunggu bersama di depan lobi klinik. Tetap juga Aqila tak kelihatan. Padahal hari sudah semakin gelap.

Jam di dalam klinik dikerling. Pukul 10.30 pm. Nurin rasa mahu muntah kerana terlalu lama menunggu. Dia sudah mula mengantuk. Hampir saja dia memejamkan mata, dia dengar jeritan kuat betul-betul di hadapannya.

"Tolong doktor! Tolong! Kawan saya nak pitam!"

Terbeliak terus mata Nurin, kantuknya hilang. Dia celik dan ternampak tubuh seorang lelaki yang seperti dia biasa lihat berlari masuk ke dalam klinik. Mungkin itulah budak yang jerit tadi. Terus Nurin pusing kepala mencari 'kawan' yang mahu pitam itu.

Sepakan Penalti Untuk Kapten | OngoingWhere stories live. Discover now