Special Chapter

9 0 0
                                    

"ASSALAMUALAIKUM, abah." Azraq mengelus lembut batu nisan putih di hadapannya.

Usai sahaja tahlil ringkas Bersama Seroja dan anak-anak lelaki mereka, Azraq minta isterinya itu masuk ke dalam kereta dahulu setelah menjelaskan masih ada perkara yang mahu dia lakukan. Memahami niatnya, Seroja akur dan memesan agar jangan terlalu lama.

"Apip datang lagi dengan Seroja, hari ni."

Kini, Azraq menatap redup kubur arwah bapa mertuanya itu.

"Saya tak reti sangat bab bermanis mulut ni tapi... saya ada benda nak cakap dengan abah."

Wajahnya tunduk memandang genggaman kedua-dua tangannya. Entah kenapa, rasa gugup hendak menyatakan hasratnya.

"Seroja... cantik sangat masa nikah hari tu. Kalau abah tengok mesti abah pun terkejut! Apip sampai tak perasan langsung along dah hulur tangan nak akad nikah masa tu." Azraq tertawa kecil. Namun tawanya terasa palsu.

Secebis rasa sayu dan rindu menggigit jiwa. Azraq menarik nafas dalam sebelum menghembusnya.

"Terima kasih... sebab besarkan Seroja, abah. Saya tak adalah baik sangat tapi... Izinkan saya jaga anak abah ya?" Di hujung kata, suara Azraq berubah serak. Tubir mata mula bertakung mutiara jernih.

Argh... Azraq tidak pernah pun berjumpa susuk lelaki dengan panggilan 'abah' ini. Jadi mengapa hatinya seakan terkilan dengan ketiadaan gerangan ini di sisinya dan Seroja kala ini?

Sekurang-kurangnya... Sekurang-kurangnya Azraq mahu abah menjadi saksi saat ijab kabulnya dilafazkan buat Seroja. Azraq mahu menyentuh tapak tangan abah dan bersalaman setelah dia bergelar menantu abah. Azraq mahu melihat wajah dan susuk tubuh insan yang sudah menatang Seroja bagai minyak yang penuh. Cuma sekali... sekejap pun tidak apa.

Tetapi Azraq sedar keinginannya yang itu tidak akan tergapai. Takdir sudah termaktub buat abah. Manusia biasa sepertinya tiada kuasa hendak melawan ketentuan-Nya.

Reda. Itu yang harus dia pilih.

Pipi yang lembap dibasahi air mata, Azraq lap menggunakan lengan baju. Nafas dihembus.

"Apip pergi dulu ya, abah? Assalamualaikum," ucap Azraq. Lalu batu nisan putih pada hujung kubur itu direnung buat kali terakhir.

Waiz bin Abdul Wahid, lahir pada 24.01.1965. Kembali ke rahmatullah pada 17.06.2023.




__ TAMAT __



You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 26 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Aksara ke AngkasaWhere stories live. Discover now