BAB 9 | HIS POSSESSION

415 59 8
                                    

"APA ni, Pak Abu?" Seroja mengerutkan dahi, terpinga-pinga tatkala menerima wang yang dihulurkan oleh Pak Abu. Jumlahnya boleh tahan banyak malah, lebih daripada yang biasa diterimanya. Mengapa pula kali ini lain benar? Pekerjaan yang dilakukannya di kebun Pak Abu tak setimpal dengan wang sebanyak itu. Ini... banyak sangat ni!

"Duitlah... takkan kamu dah tak kenal rupa duit macam mana, kut?" Ketawa kecil, Pak Abu menyambut huluran besen besar daripada tangan Mak Uteh. Pucuk ubi yang baru dipetik, diasingkan dalam beberapa ikat.

"Seroja tahu ni duit... tapi, banyak sangat ni, Pak Abu, Mak Uteh... Kenapa Pak Abu dengan Mak Uteh bagi duit ni kat Seroja? Untuk apa?"

Bersama kerutan yang masih jelas di dahi, matanya menyorot kepada Mak Uteh pula. Isteri Pak Abu itu sekadar senyum seraya menepuk-nepuk tangan Seroja.

"Mak Uteh dengaq, hang nak pi kerja di kolumpo. Betoi ka?" Pangkin yang terletak di bawah pohon mangga dituju. Seteko air kopi dan sepiring biskut kering menjadi hidangan petang mereka ketika itu.

Asalnya, Seroja ke rumah Pak Abu dan Mak Uteh kerana ingin menyerahkan semula cangkul yang dipinjamnya tempoh hari. Tidak menyangka pula ada rezeki lain yang diterimanya pada hari itu.

"Haah, minggu depan Seroja pergi. Hmm... Seroja berat hati sebenarnya nak ke sana, Mak Uteh... tapi, kalau Seroja tak pergi, kat mana lagi Seroja nak cari duit untuk bayar kos pembedahan mak tu? Kalau kerja kat pekan pun, Mak Uteh tahukan berapa sangatlah upahnya..."

Ada betulnya juga kata-kata Pak Abu sewaktu di kebun tempoh hari. Kalau nak dibandingkan gaji di pekan kampung dan di bandar, jauh banyak bezanya. Di Kuala Lumpur, lebih cepat Seroja dapat mengumpul duit jika dia melakukan beberapa pekerjaan dalam satu masa.

Terangguk-angguk kepala Mak Uteh. Yalah, sekiranya ada peluang yang lebih baik, mengapa mahu dilepaskan?

"Hang dah tau ka nak kerja apa kat sana nanti?" Dalam pertanyaan itu, terselit juga riak risau yang tak mampu dibendung lagi. Memikirkan Seroja yang tak berteman setibanya gadis itu di Kuala Lumpur, menambahkan kegusaran yang bermain dalam benak Mak Uteh. Lainlah ada seseorang yang boleh menemani Seroja, tidaklah Mak Uteh risaukan sangat. Sama seperti anak-anaknya yang lain, Seroja sudah dianggap seperti anak kandung sendiri. Ibu mana yang tak susah hati mahu membiarkan anaknya merantau seorang diri?

Tempat yang Seroja mahu mencari rezeki itu besar. Ramai manusia yang Seroja akan jumpa, macam-macam sifatnya. Baik dan jahat, semestinya ada.

Menjungkit bahu, Seroja menebarkan pandangan ke pokok-pokok bunga yang terdapat di halaman rumah Mak Uteh. Ada bermacam jenis warna bunga ros. Cantik-cantik semuanya. Pandai Mak Uteh menjaga tanamannya.

"Seroja pun tak fikir lagi nak buat kerja apa. Zaman sekarang ni, nak memilih kerja pun tak boleh juga. Ada orang tu, dah bertahun-tahun habis belajar, tak juga dapat kerja. Sudahnya, menganggur. Kalau tak pun, kerja jelah kat mana yang ada. Macam Seroja ni, tak naklah memilih kerja sangat. Lagipun, bukannya lama mana Seroja nak menetap kat KL tu. Dah cukup duit simpanan Seroja nanti, Seroja baliklah kampung semula." Sekeping biskut kering dicelup ke dalam air kopi yang mula suam. Sesekali, matanya mengerling ke arah Pak Abu yang sedang mengait buah rambutan.

"Hah, cakap pasal duit, Mak Uteh tak bagitahu lagi kenapa Pak Abu bagi duit ni kat Seroja? Kalau setakat upah Seroja tolong Pak Abu kat kebun, Seroja tak boleh terima. Banyak sangat ni, Mak Uteh..." Duit dalam tangan disua semula kepada Mak Uteh.

"Duit tu untuk kamu belanja kat KL nanti, Seroja. Ambillah, buat tampung apa yang perlu. Tapi, banyak tu ajelah yang Pak Abu mampu bagi kat kamu," celah Pak Abu lalu meletakkan sebakul rambutan yang baru dikait di atas pangkin. Nun di atas pokok, masih banyak lagi buah rambutan yang bergayut. Pokok dokongnya pun dah berbuah lebat. Bila tiba musim buah-buahan, memang tak terdaya nak menghabiskan kesemuanya.

4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIELWhere stories live. Discover now